31 March 2014

Travellingbie : KL-Jakarta-Bandung-KL Mac 2014 ~ Day 1

Penerbangan kami pada jam 7pagi membuatkan kami tidak lena tidur malam. Seawal pagi saya perlu ke ERL dan menaiki tren paling awal sekali untuk ke LCCT. Setibanya di LCCT pada jam 530am, dan bertemu dengan kazen. Proses pemeriksaan kastam dan imigresen berjalan dengan lancar. Musafir kami di Jakarta tanpa "checked in" bagasi. Jimat kos :)

Saya senaraikan RM dan Rp yang telah dibelanjakan pada hari pertama:
  1. RM5.50 - Tren ERL dan tiket bas dari Putrajaya Sentral ke LCCT;
  2. RM13.55 - beli roti di Cafe Expresso;
  3. RM12.00 roti canai sedap di dalam penerbangan AirAsia. Mungkin juga kerana berada di atas awan. Tetapi memang diakui roti canai tersebut sedap terutamanya kari ayam. Sekiranya anda menggunakan penerbangan AirAsia, cubalah roti canai tersebut :);
  4. Rp30,000.00 ~ Setibanya di Lapangan Terbang dan melepasi kastam serta imigresen, kami terus ke kaunter pertanyaan untuk bertanyakan cara untuk ke Mangga Dua. Dimaklumkan kepada kami untuk menaiki Damri / Bas ke Mangga Dua. Setibanya di luar, ramainya yang menunggu-nunggu ketibaan pelancong seperti kami. Ada yang terus menawarkan perkhidmatan teksi masing-masing sebelum kami sampai di kaunter bas dan ada juga yang mengekori kami. Kami hanya senyum dan menggelengkan kepala sambil menjawab kami mahu naik Damri. Ada yang menawarkan khidmat teksi dengan kadar Rp200,000.00 sambil mengatakan "kalau naik Damri kene tunggu lama". Mahalnya la. Hari ini bukan soal nya lama atau sekejap. Pengalaman menaiki pengangkutan awam di Jakarta yang ingin kami rasai. Bagaimana perasaannya menjadi lokal. Di kaunter Damri, kami bertanyakan kadar untuk ke Mangga Dua. Dengan kadar Rp30k seorang, kita boleh memilih untuk ke Mangga Dua dan destinasi-destinasi lain sekitar Jakarta. Kami dimaklumkan Damri Mangga Dua akan tiba lewat setengah jam. Kami berdua bercadang untuk masuk semula ke dalam kawasan airport dan rehat sebentar. Lebih kurang 20 minit kemudiannya kami keluar, Damri Mangga Dua masih belum tiba lagi. Jadinya kami mengambil keputusan untuk menaiki Damri ke Gambir dan dari sana menggunakan pengangkutan yang lain untuk ke Mangga Dua. Sambil menunggu Damri, saya bersembang-sembang kosong dengan penjaga kaunter. Beliau memaklumkan kadar tol telah naik sebanyak 2 kali. Sebab itulah kadar tambang Damri telah naik dari Rp20k kepada Rp30k. Dahsyat juga kenaikan bagi tahun ini sehingga 2 kali. Kalau ditempat saya, kenaikan tol yang jarang-jarang berlaku pun dah kecoh satu negara dan ramai betul yang nak menggulingkan kerajaan sedia ada. Di sini, kelangsungan hidup rakyatnya sangat tinggi. Ada di antara mereka akan berbuat apa sahaja untuk hidup demi kelangsungan hidup diri dan keluarga. Damri ke Gambir mengambil masa lebih kurang setengah jam. Di Jakarta, Damri/Bas ini mempunyai jalannya sendiri dan jalan tersebut tidak boleh dilalui oleh kereta. Walaupun keadaan macet terus di Jakarta, Damri/Bas masih bergerak selesa walaupun sedikit perlahan disebabkan macet. Kebetulan pula kami tiba di Jakarta hari Sabtu, memang keadaan sesak dan menyesakkan. Bagi yang tidak biasa dengan trafik yang luar biasa ini, memang akan pening kepala, rasa nak muntah dan macam-macam lagi rasa yang ada.
  5. Rp100,000.00 ~ Setibanya di Gambir, rupa-rupanya memang betul-betul berhenti di Stesen Gambir. Di sekelilingnya adalah Monas dan Masjid Istiqlal (agak jauh sedikit). Kami membuat keputusan untuk meninjau-ninjau tiket keretapi ke Bandung pada hari Isnin. Sekiranya anda menempah tiket tersebut secara online, setibanya di Stesen Gambir, anda hanya perlu check-in sahaja. Tetapi kami membeli tiket keretapi tersebut dengan cara biasa. Yang pertama yang perlu kami lakukan adalah mengisi borang tempahan tiket yang telah disediakan dan membawa borang tersebut ke kaunter jualan tiket. Kami memilih untuk  menaiki tren executive, memikirkan keselesaan dalam perjalanan yang panjang. Kadar tiket executive pula berbeza-beza sampai kami pulak yang kompius. Ada tiket yang harganya Rp100k, murah sedikit, tetapi gerabaknya berdekatan dengan enjin keretapi dan agak bising. Bagi kadar Rp110k, gerabak nya agak jauh dari enjin keretapi. Kami memilih untuk membeli tiket berkadar Rp100k, asalkan dapat jimat sedikit dan tempat duduknya selesa. Setelah membeli tiket untuk hari Isnin, solat dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke hotel.
  6. Rp3500 ~ Untuk ke Mangga Dua, dari Gambir, kami dimaklumkan agar menunggu Busway dari Harmoni yang terletak di luar stesen Gambir. Dengan kadar tambang hanya Rp3500 memang sangat murah. Tetapi tempoh perjalanannya yang mahal sekali. Dengan keadaan macet yang luar biasa pada hari Sabtu, perjalanan kami dari Gambir ke Mangga Dua mengambil masa beberapa jam dengan beberapa transit Busway yang perlu ditempohi dalam keadaan yang menyesakkan dengan orang ramai. Route : Gambir Harmoni >> Kota >> Tg Priok >> Mangga Dua Gunung Sahari. Nasib baik kami hanya membawa haversack dan beg sandang. Itupun dah cukup berat kerana sepanjang berada di dalam Busway kami berdiri dan keadaan di transit yang menyesakkan ditambah pula dengan keadaan cuaca yang jerebu memang membuatkan kepala masing-masing pening. Pengalaman yang tidak akan dapat ditempohi di KL. Kalau kita rasa kesesakan lalu lintas di KL teruk, di Jakarta 10x teruk rasanya;
  7. Rp15k ~ Mangga Dua Gunung Sahari ~ setelah beberapa jam berada di dalam Busway dan transit beberapa kali, akhirnya kami sampai ke hentian Mangga Dua Gunung Sahari. Dari sini kami perlu berjalan sejauh lebih kurang 500m untuk sampai di hotel. Hotel pula di belakang kawasan rumah-rumah kedai dan berdekatan sangat dengan Harco Mangga Dua (pusat membeli belah barangan elektrik dan komputer). Sebelum itu, kami singgah dahulu di convenience shop membeli apa-apa yang patut. Selesai check in hotel, rehat-rehat dahulu sebelum menjenguk-jenguk kawasan persekitaran. Kadar bilik kami adalah sangat murah, 2 malam dengan kadar tidak sampai RM100. Makanya seorang untuk 1 malam lebih kurang RM25.00. Lokasi hotel agak jauh sedikit dari jalan utama. Walaubagaimanapun, memandangkan kawasan perniagaan tersebut dipagari dan ada kawalan sekuriti, kami tidak berasa bimbang dengan keselamatan masing-masing. Cuma langkah berjaga-jaga sahaja yang perlu diambil perhatian, lebih-lebih lagi musafir seperti kami ini.
  8. Rp33k ~ Selesai solat maghrib, kami mengambil keputusan untuk meninjau-ninjau keadaan persekitaran. Tempat membeli belah disini beroperasi sehingga jam 5pm. Ada juga sehingga jam 8malam. Setibanya kami di Mangga Dua Square, tidak banyak kedai yang masih dibuka. Hanya beberapa kedai sahaja yang masih dibuka dan juga tempat makan. Kami makan malam di Es Teller sahaja. Kalau dahulu saya ke Es Teller, makanannya enak dan berasa, tetapi kali ini, kurang rasa dan juga perisanya.
  9. Rp40k ~ Balik dari Mangga Dua Square, suasana sudah semakin sunyi dan dalam perjalanan ke hotel, tidak putus-putus doa dibaca. Kami singgah sebentar di kedai eMart untuk membeli keperluan harian terutamanya air mineral dan yogurt untuk supper :)
Jumlah perbelanjaan kami hari ini....kiralah sendiri. Jimat dan menjimatkan :)

Hari ini, masa kami dihabiskan di dalam Damri dan Busway sambil menikmati keindahan macet. Banyak benda yang kami belajar sepanjang masa kemacetan tersebut ~ pengalaman berharga dan dalam masa yang sama beruntungnya kami menjadi warga negara sekarang ini walaupun banyak kekurangan.

I've learned that people will forget what you said, people will forget what you did, but people will never forget how you made them feel.~Maya Angelou

30 March 2014

Travellingbie : KL-Jakarta-Bandung-KL Mac 2014 ~ Pre-Musafir (few days before)



Segala puji-pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam.
Baru ada kesempatan untuk menulis jurnal kembara yang pertama bagi tahun ini.
Musafir kembara kali ini sangat banyak cabaran-cabarannya.

Tiket yang dibeli tahun lepas nyaris lagi dibatalkan memandangkan hampir semua dari kami tidak dapat mengembara bersama disebabkan kekangan-kekangan teknikal.

Buku merah saya pula masih belum di kemaskini berikutan kesibukan kerja-kerja pejabat yang kritikal dan mendesak untuk diselesaikan. Hampir-hampir lagi saya putus asa bilamana buku merah masih belum di perbaharui selang 2 hari lagi hendak musafir. Namun, Allah SWT temukan saya dengan sahabat-sahabat yang sudi menolong walaupun ada di Antara mereka tidak saya kenali.

Berikutan insiden #MH370 sebelum tarikh penerbangan kami ke Jakarta, sepupu saya pula tidak mendapat green light dari kedua ibu-bapanya, memandangkan situasi cemas seperti #MH370 tersebut dikhuatiri akan memberi tempias kepada penerbangan kami. Ibu bapa mana yang tidak risau bilamana insiden tersebut terjadi dan anak mereka pula hendak terbang walaupun hanya ke Negara seberang. Saya pula nyaris lagi bernekad untuk travelling solo. Pun begitu, di saat-saat akhir, sehari lagi hendak terbang ke sana, kedua ibu bapa sepupu mula beransur-ansur memberi “green light” setelah usaha keras di lakukan untuk memujuk dari segi psikologi. “Man jadda wa jada” sesungguhnya memang akan berkesan dengan izin Allah SWT.

Insiden #MH370 tersebut sangat terkesan di hati saya. Bagaimana sebuah kapal yang besar hilang begitu sahaja dari radar satelit dunia. Sesungguhnya perancangan Allah SWT itu sangat teliti. Kalaupun punca nya dari manusia atau dari yang lain, segala-galanya tidak akan berlaku sekiranya Allah SWT tidak benarkan. Maka, nikmat Tuhan manakah yang kita dustakan? Saya percaya dan yakin, insiden tersebut ada hikmahnya dan pengajarannya kepada kita secara umumnya dan khasnya kepada Kerajaan Malaysia dan MAS.

Berbalik semula kepada pre-musafir kali ini, persediaan amat minima sekali. Malam sebelum berlepas baharulah saya mulakan persiapan (packing). Itupun setelah buku merah saya dapat diperbaharui. Memang sehari dua sebelum berlepas merupakan saat-saat genting dengan persiapan yang masih tidak selesai lagi dan kerja-kerja di pejabat semakin meruncing dan juga mengejar dateline. Saya packing seminima yang mungkin. Beg yang dibawa tidak penuh dengan muatan dan di dalam beg tersebut dimasukkan pula bagpack memandangkan 2/3 beg tersebut kosong.

Bagaimana saya packing? Saya bukanlah seorang yang pakar di dalam hal ini. Sebelum ini juga saya pernah berkongsi tips mengemas secara ringan. Saya kongsikan sekali lagi tips mengemas sekiranya anda bercadang untuk “travel light” di dalam mana-mana musafir:
  1. Yang penting sekali ~ Buku merah dan dokumen-dokumen penting hendaklah di buat salinan dan disimpan di dalam beg yang lain. Yang ini adalah untuk langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini ataupun pihak hotel meminta salinan buku merah untuk rekod dan sebagainya;
  2. Check in online ~ pastikan anda telah membuat “Web Check-in” dan untuk pergi musafir dalam kadaan yang santai, tiada beg yang perlu didaftarkan untuk dimasukkan ke dalam kargo kapal terbang. Anda hanya perlu membawa “haversack” dan sebuah beg sandang sahaja. Ini adalah untuk menjimatkan kos musafir anda memandangkan anda perlu membayar kepada AirAsia sekiranya anda mempunyai beg yang perlu dimasukkan di dalam kargo kapal;
  3. Wang ~ pastikan anda telah menukar wang RM kepada wang Negara yang bakal dikunjungi sekurang-kurang mencukupi untuk kegunaan di sana bagi penginapan, kenderaan dan sebagainya. Bagi saya pula, saya hanya menukar wang RM kepada Rp2juta sahaja. Itupun dah rasa banyak dan mencukupi untuk tambang bas, teksi, makan dan keperluan-keperluan yang lain memandangkan niat saya kali ini bukanlah untuk shopping. Tujuan kali ini menjadi tour guide tidak bertauliah, membawa 1st timer ke Jakarta dan Bandung.;
  4. Pastikan barang-barang “toiletries” anda menggunakan bekas-bekas yang kecil – sabun muka, ubat gigi, Listerine, Dettol, syampu, sabun mandi, deodorant, krim muka yang pelbagai, dan lain-lain lagi. Almaklum, biasanya kaum hawa nie banyak sangat benda-benda yang nak dibawa. Kalau boleh semua yang ada dalam rumah tu nak diangkutnya;
  5. Pakaian dan tudung – pastikan pakaian dan tudung yang dibawa hendaklah ringan dan tidak mudah kedut supaya kita tidak perlu bersusah payah mencari seterika baju sekiranya tiba di hotel nanti. Malang tidak berbau sekiranya hotel atau guesthouse yang kita bakal menginap nanti tidak menyediakan seterika kepada tetamu. Bagi saya pula, pakaian yang dibawa hanyalah 2 helai mencukupi untuk keesokan harinya. Selebihnya sebagai “standby” dan pakaian tersebut akan dibasuh setiap hari memandangkan saya memang suka membasuh baju. Pastikan anda membawa bersama penyangkut baju yang ringan dan penyepit untuk menyangkut baju yang telah dibasuh tersebut. Bagi yang tidak rajin untuk membasuh, bolehlah menghantar ke dobi hotel ataupun anda beli sahaja baju baru apabila tiba di tempat musafir anda nanti;
  6. Makanan – sekiranya anda musafir di Negara yang tiada masalah dengan makanan halal, usah khuatir dan tidak perlu lah membawa makanan dari Negara asal. Kalaupun anda musafir di Negara yang bermasalah di dalam menyediakan makanan halal, anda ada pilihan untuk makan ikan, buah-buahan, sayur-sayuran dan “raw food” yang diyakini halal.
  7. Buku Nota – penting nie untuk mencatat journal perjalanan anda sepanjang permusafiran terutama sekali “route” perjalanan, perbelanjaan harian, tempat-tempat yang dilawati dan sebagainya.
Setelah semua persiapan dibuat ala kadar, rehat sebentar untuk perjalanan esok nya. Jam loceng jangan lupa dikunci pada waktu yang ditetap. Walaupun persiapan telah selesai, kalau terbangun lambat dan tertinggal kapal terbang, tiada gunanya semua persiapan tersebut.

Bersambung…

“You don’t choose the day you enter the world and you don’t chose the day you leave. It’s what you do in between that makes all the difference.” – Anita Septimus

13 March 2014

Perihal Putus Asa

Saya rasa saya macam nak "give it up"....
Tapi...
...
...
...
...
...
Saya renung kembali ayat ini yang bermaksud:
“Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,(1) Dan Kami telah menghilangkan dari padamu bebanmu,(2) yang memberatkan punggungmu? (3) Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu. (4) Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, (5) sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.(6) Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain, (7) dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.(8)”
...
...
...
dan sungguh tidak wajar untuk saya "give it up" kerana putus asa itu merupakan sifat buruk manusia yang ditimpa musibah, kehilangan ghairah untuk hidup, kehilangan ni'mat untuk bekerja, kehilangan gemar untuk beraktiviti sehari-hari sehingga menimbulkan perasaan sedih, menurunkan daya tahan tubuh badan, menimbulkan aura negatif dan terkesan kepada manusia sekeliling, menjadikan cepat jatuh sakit, memberikan beban kehimpitan yang sangat berat dan meracuni kehidupan kita selama-lamanya. Begitulah kesan dan akibatnya bila jiwa mudah terasa putus asa dan alam erti kata lain "give up"...
...
...
...
Allah SWT berfirman dalam surah Fussilat ayat 49 yang bermaksud:
"Manusia tidak jemu memohon kebaikan dan jika mereka ditimpa malapetaka dia menjadi putus asa dan putus harapan."
...
Manusia memang cepat dan mudah putus asa, tapi jangan sekali-kali putus asa dengan rahmat Allah SWT!
...
Muhasabah diri jua ~ "Ingatlah Allah SWT hampir dengan kita. Jika kita rasa gelisah, perasaan ingin berputus asa, kecewa, letih dengan kehidupan...kembalikanlah diri pada Allah SWT. Ambil masa untuk muhasabah dan mengimbau serta mengimbas apa yang menyebabkan hati gundah dan gelisah. Hanya dengan mengadu pada-Nya dan mendekatkan diri pada Yang Maha Pencipta kita itu, hati dan jiwa kita akan tenang, setenangnya."
Allahul Musta'an
— at Putrajaya