22 November 2013

Ulasan Buku ~ Ke Mana Wang Anda?

PENDAHULUAN UMUM

Judul Buku: Ke Mana Wang Anda?
Penulis: Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn Bhd
Harga: RM20.00
Tebal: 214 muka surat

Antara perkara yang menarik minat manusia adalah WANG. Hidup manusia memerlukan wang. Ada yang hidup berhambakan wang, ada yang hidupnya menjadikan wang sebagai alat untuk meneruskan kehidupan, ada juga yang menjadi wang sebagai satu wadah untuk mencapai redha Allah. Manusia mempunyai pelbagai cara untuk mendapatkan wang dan membelanjakan wang tersebut.

Petikan kata-kata di hadapan kulit buku ini menarik perhatian saya, “ Dalam mengejar harta dunia, adakalanya kita terlibat dengan unsur-unsur yang menjadikan pendapatan kita tidak diberkati”

Lalu, kata kuncinya di sini adalah BERKAT.

Penulis dengan bijaknya Berjaya menarik perhatian pembaca untuk terus membaca buku ini dengan mukaddimah yang begitu mengesan sekali. “Ke mana saya belanjakan wang gaji saya?”

Penulis memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif dan Ketua Perunding di Hijrah Wealth Management Sdn Bhd. Mempunyai kelulusan di dalam Ijazah Ekonomi dalam jurusan Perakaunan dari Universiti Sydney, Australia dan berpengalaman luas di dalam bidang Pengurusan kewangan. Beliau sering terlibat dalam pembentangan kertas kerja, seminar, forum, persidangan dalam dan luar negara serta pernah terlibat di dalam program bual bicara kewangan.

ULASAN
Bab 1, menceritakan perihal merancang kewangan dan kepentingan mendapatkan pendapatan yang berkat. Penulis menekankan kepentingan untuk menyelidik sumber kemasukan wang yang diperolehi. Sumber pendapatan yang berkat merupakan komponen penting kerana dengan sumber tersebut, seseorang dapat menyara keluarga. Tiada gunanya mempunyai pendapatan yang tinggi tetapi sentiasa tidak mencukupi disebabkan rezeki yang tidak berkat. Penulis juga menyarankan agar pembaca menyediakan pelan perjalanan kewangan dari mula bekerja sehinggalah bersara. Bagaimana untuk menetapkan matlamat dan cara bagaimana untuk mencapai matlamat tersebut. Apa tindakan yang perlu dilakukan bagi mencapai matlamat tersebut. Untuk mencapai matlamat dan menjayakan perancangan kewangan tersebut, perlulah ada ilmu Pengurusan kewangan kerana ramai di kalangan kita dilatih bagaimana untuk mencari wang, tetapi tidak ramai dilatih bagaimana menguruskan wang yang telah dimiliki.

Bab 2 membincangkan mengenai Pengurusan perbelanjaan terutamanya yang telah mempunyai keluarga. Penulis dengan bijaknya mengajak pembaca untuk berfikir mengenai berapa lama ringgit berada di dalam poket kita. Dengan erti kata lain, wang gaji yang diterima tersebut, berapa lama boleh bertahan tanpa dibelanjakan. Cara bagaimana kita mengukur tahap mewah kita juga menarik. Perkiraan ‘tahap kemewahan’ ini berjaya membuka minda untuk berubah sekiranya tahap mewah anda berada di peringkat kritikal. Itu maknanya anda benar-benar perlu berubah di dalam menguruskan kewangan anda.

Di dalam Bab 3 – Pelaburan untuk Anak-anak, penulis mendedahkan kos yang perlu ditanggung oleh ibu-bapa ketika anak-anak masih di dalam peringkat bayi sehinggalah peringkat pengajian tinggi. Penulis mencadangkan agar perancangan kewangan perlu dibuat daripada anak-anak kecil lagi sehinggalah mereka memasuki university atau peringkat pengajian tinggi. Tabungan perlu dimulakan sejak kelahiran, diikuti dengan polisi takaful, kesihatan dan pendidikan anak-anak. Selain daripada itu, pelaburan di dalalm amanah-amanah saham juga digalakkan. Namun begitu, pelaburan akhirat perlu ditekankan dan tidak diabaikan kerana pelaburan ini amat penting di dalam mempunyai keluarga yang sejahtera dan berkat. Di akhir bab 3 ini, penulis menyarankan agar didikan awal perlu diberikan kepada anak-anak di dalam mengawal tabiat kewangan mereka supaya mereka tidak membesar menjadi dewasa yang boros dan buat kewangan. Walaubagaimanapun, penulis tidak mengambil kira perbelanjaan bayi di peringkat kehamilan dan juga selepas habis pembelajaran.

Bahagian 4 pula menceritakan perihal Hidup Selesa Tanpa Hutang. Hutang boleh dilihat sebagai perangkap di dalam kehidupan sekiranya kita tidak pandai menguruskan kewangan. Ianya dapat menghilangkan ketenangan dan kebahagiaan. Hutang dibolehkan sekiranya ianya tidak melebihi 30% daripada gaji bersih kita. Oleh itu, kita haruslah berhati-hati supaya tidak terkena perangkap hutang terutamanya hutang kad kredit.

Bahagian 5 dan 6 pula banyak membincangkan mengenai cara bagaimana pembaca dapat menambahkan pendapatan dengan kerja-kerja sampingan yang boleh dilakukan. Jika kita kreatif, kerja sampingan akan lebih mendatangkan pendapatan lumayan kepada kita. Tetapi, yang penting adalah tujuan kita melakukan kerja tersebut. Persediaan masa depan juga penting di dalam Pengurusan kewangan. Walaupun kita tidak tahu bila kita akan mati, persediaan masa depan dapat membantu di dalam menghadapi hari-hari tua. Penulis menegaskan bahawa, wang pencen atau KWSP sahaja tidak cukup untuk menampung kehidupan semasa usia persaraan dengan selesa. Lindungi diri daripada risiko kewangan samada semasa muda atau tua. Oleh itu, pentingnya mempunyai sekurang-kurangnya satu polisi insuran atau takaful bagi diri sendiri. Menurut penulis, kalau kita boleh membelanjakan wang bagi insuran kenderaan dan rumah, kenapa pula kita tidak mahu membelanjakan wang pendapatan kita untuk insuran bagi perlindungan kehidupan kita sendiri? Oleh itu, pentingnya perancangan dari sekarang untuk memastikan kehidupan hari tua lebih kurang sama atau lebih selesa dari kehidupan yang sedia ada. Perancangan lebih awal akan menentukan gaya kehidupan anda di masa hadapan.

Buku ini mempunyai 6 bahagian dan setiap bahagian sarat dengan tips dan syor yang amat berguna untuk diikuti. Sekiranya anda seorang yang kaki berbelanja dan alergik dengan perkataan SALE atau MEGA SALE, anda wajib membaca buku ini. Sekiranya anda menanggung beban hutang kad kredit dan hutang-hutang yang lain, anda juga wajib membaca buku ini. Sekiranya anda ingin meningkatkan keupayaan mengawal perbelanjaan dan meningkatkan simpanan untuk keselesaan kehidupan, anda juga wajib membaca buku ini.

Buku ini sarat dengan tips dan anjuran kepada pembaca untuk menguruskan kewangan dengan lebih bijak dan teratur. Ianya sebuah buku yang sesuai dibaca oleh semua pembaca samada anda seorang pelajar, dewasa atau warga emas. Bahasanya amat mudah dan senang difahami oleh semua golongan. Walaubagaimanapun, isi yang padat dan berguna ini meningkatkan kualiti buku ini ke tahap yang lebih tinggi dari bahasa mudah yang digunakan untuk bacaan semua golongan pembaca.


RUMUSAN DAN PANDANGAN
Buku ini boleh dirumuskan sebagai bahan bacaan yang sangat baik bagi yang tercari-cari hala tuju Pengurusan kewangan. Secara peribadinya, buku ini banyak membantu saya di dalam merancang dan menguruskan kewangan ke arah yang lebih baik lagi iaitu wang berkat dan hidup tanpa hutang, sekurang-kurang tanpa hutang yang tidak perlu seperti hutang kad kredit dan hutang pinjaman peribadi. Buku ini disarankan untuk dibaca bagi mereka yang tidak ingin ber’Tuan’kan hutang dan mengalami kehidupan yang penuh dengan stress memikirkan beban kewangan yang ditanggung di dalam kehidupan seharian. Penulis juga memberikan contoh-contoh yang santai dan mudah difahami sebagai panduan dan pengajaran kepada pembaca. Dengan pengalaman yang luas di bidang Pengurusan kewangan, saya percaya buku ini dapat membantu ramai pembaca di dalam menangani isu masalah kewangan dan mengurus kewangan dengan lebih teratur lagi.

Bilangan patah perkataan : 1031
PERTANDINGAN ULASAN BUKU KEMENTERIAN 
Judul Buku: Ke Mana Wang Anda?
Penulis: Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn Bhd
Harga: RM20.00
Tebal: 214 muka surat
Tahun Penerbitan: Cetakan Pertama Mac 2009
ISBN 978-983-097-205-3

No comments: