25 November 2013

Travellingbie : Kembara KL >> Busan >> Seoul Part 1

Saya menulis travelog ini bukan untuk menunjuk-nunjuk bahawa saya telah menjejakkan kaki daerah tertentu atau Negara tertentu. Tujuan travelog ini adalah untuk dijadikan panduan, iktibar, teladan, dan pengajaran sekiranya dapat dimanfaatkan bersama. Mudah-mudahan travelog ini menjadi salah satu amalan kebaikan untuk saya dan anda semua. Semoga Allah redha dengan kembara ini dan semoga ada kebaikan di dalam travelog ini. Allahu Ta’ala A’lam...

Bermulanya cerita pada...
14 November 2013 (Khamis)

Jam menunjukkan pukul 4 pagi. Alamak sudah terlambat untuk ke LCCT. Nasib baik beg dah siap packing. Tinggal lagi last check sekiranya ada barang-barang yang tertinggal yang belum dimasukkan di dalam beg. Selepas bersiap dan memastikan dokumen-dokumen penting berada di dalam beg, saya meneruskan perjalanan di dalam cuaca hujan renyai-renyai menuju ke ERL Putrajaya. Suasana pagi amat sunyi. Hanya kelihatan beberapa kereta yang mungkin sedang menuju ke destinasi masing-masing seperti saya. Setibanya di tempat letak kereta Putrajaya Sentral, kereta kelihatan memenuhi kawasan parking. Ramai juga rupanya yang bangun lebih awal seperti saya. Seusai solat subuh dan menunggu kawan-kawan yang lain, kami menaiki keretapi erl jam 620am dari ERL Putrajaya ; ERL Salak Tinggi ; Bas ke LCCT dengan kos RM5.50. Kami tiba di LCCT seperti di jadual pada jam lebih kurang 7 pagi. 6 orang ahli rombongan telah sampai di LCCT sejak jam 6 pagi.


Berkumpul di hadapan pintu masuk pemeriksaan Airasia; Pergi ke kaunter Check Document Airasia dahulu sebelum masuk ke kawasan menunggu; Selesai pemeriksaan imigresen, baharulah lega sedikit. Ada masa kami untuk menyelesaikan urusan-urusan yang lain sementara menunggu masuk ke dalam kapal terbang. Di ruangan menunggu, kami berkenalan dengan Isaac, warga Korea yang menetap di Busan. Banyak juga yang kami sembangkan terutamanya mengenai Busan. Kami berbesar hati kerana beliau sudi membantu setibanya di Lapangan terbang Busan nanti.

Kapal kami berlepas jam 830 pagi dan dijangka akan sampai di Busan pada jam 345 petang. Penerbangan dengan kapal yang besar selama lebih kurang 6 jam sedikit sebanyak menyelesakan perjalanan kami. Makanan pun telah ditempah lebih awal agar tiada yang kelaparan setibanya di Busan nanti.

Jam lebih kurang 4 petang kami sampai di Busan. Selepas melalui keselamatan imigresen, Isaac telah sedia menunggu di luar. Beliau memaklumkan bahawa untuk ke Busan Station ada 3 cara:

i) Menaiki 2 subway untuk ke Busan Station. Kadar tidak diketahui;
ii) Menaiki bus dengan kadar 6000 won seorang;
iii) Menaiki teksi mengikut kadar meter lebih kurang 20000 won bagi 1 teksi.

Kami mengambil keputusan untuk menaiki teksi memandangkan kadar teksi bagi 4 orang lebih murah dari kadar tambang bas.

Rombongan kami seramai 12 orang, dengan 3 teksi. Kami dibantu oleh Isaac. Beliau lah yang berusaha memberitahu pemandu teksi untuk menghantar kami ke Stesen Busan. Perjalanan ke Stesen Busan mengambil masa selama setengah jam dan lebih kurang sejam sekiranya berlaku kesesakan lalu lintas. Teksi pertama dan kedua Berjaya melepasi terowong tol sebanyak 2 kali dan sampai di lokasi. Teksi ketiga pula mengalami insiden kecil kesesakan lalu lintas. Kami menunggu hampir sejam 4 orang ahli dari teksi ketiga. Kesukaran ketiadaan roaming menyukarkan lagi penantian kami. Kami sempat solat jamak qasar zohor dan asar di luar stesen di dalam keadaan yang sejuk beku memandangkan hari telah mulai gelap. Maghrib di Busan melewati jam 530 petang dan keadaan semakin gelap. Orang ramai berpusu-pusu untuk memanaskan diri di dalam kawasan stesen. Kami pula setia menunggu ketibaan teksi ketiga di luar. Selesai solat dan doa kami untuk ahli di dalam teksi ke-3, dan menunggu hamper sejam, saya terpaksa membuka talian roaming sebelum kami berpatah balik ke airport Busan atau melaporkan kepada pihak polis Busan. Mesej datang bertalu-talu di dalam telefon bimbit. Nasib kami baik kerana salah seorang dari ahli di dalam teksi ketiga membalas mesej saya. Rupa-rupanya, mereka berempat baru sahaja tiba di Stesen Busan dan teksi melalui kawasan perhentian yang lain di ruang sebelah stesen. Kami yang kesejukan di luar selama hamper sejam dan mereka berempat dengan selesanya menunggu di dalam. Tergelak dengan insiden lucu dan mencemaskan tersebut. Kejadian tersebut betul-betul menjadikan hari pertama kami menarik. Nak marah pun tak jadi disebabkan insiden tersebut telah menjadi kelucuan bagi kami. Pengalaman bersejuk di luar, solat jamak qasar di dalam keadaan yang amat sejuk bagi kami menjadikan pengalaman-pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Suasana di Stesen Busan tidak lah sesibuk mana. Masih ada ruang untuk kami berkumpul dan bergerak dengan selesa. Selesai urusan di stesen Busan dan kami telah pun mendapat tiket KTX ke Seoul pada jam 916pm. Tiket KTX telah kami tempah secara atas talian dengan kos lebih kurang 52,600 won seorang bagi dewasa, remaja pula harga tiketnya berlainan begitu juga dengan kanak-kanak. Berkali-kali petugas kaunter bertanyakan adakah pasti untuk membeli tiket 1 day pass? Kami angguk sahaja. KTX Tren bertolak jam 630pm dan akan sampai di Seoul pada jam 913pm. 

Sebelum jam 630pm, kami bergegas pula ke gerabak masing-masing. Tren di sini memang mengikut jadual. Sekiranya ketinggalan tren yang sepatutnya dinaiki terpaksalah membeli tiket tren yang lain. Setiap gerabak mempunyai kemudahan wifi. Walaupun, kami membeli “Standard Seat”, tapi amat selesa, apatah lagi dengan kemudahan wifi yang ada. Sepanjang perjalanan, sesekali kedengaran gadis gerabak berjalan sepanjang gerabak membawakan troli jualan makanan dan minuman kepada penumpang.



Jam 913pm, tren kami sampai di Seoul. Di ruangan ketibaan, saya meninjau-ninjau sekiranya kawan saya sudah berada di Stesen Seoul. Masing-masing dah kelaparan...

Jam 930pm, kelihatan kawan saya Yen bersama seorang kawannya di kawasan Arrival Hall. Berkenal-kenalan dulu sebelum kami meneruskan perjalanan. Beli juadah makan malam dulu di Lotteria – Shrimp Burger dan squid burger sahaja yang boleh dimakan. Yang lainnya Burger ayam dan daging memang confirm tak boleh makan. Harga Shrimp Burger = 3200 won. Saya jangkakan kami akan menaiki subway untuk ke homestay. Rupa-rupanya yen dan kawannya sham telah berbesar hati menjemput kami dengan 2 kereta. Selamat masa kami turun naik subway untuk ke homestay J Alhamdulillah.

Perjalanan dari Stesen Seoul ke Gangnam Malaysian Homestay mengambil masa lebih kurang ½ jam. Sepanjang perjalanan, kami di maklumkan mengenai perjalanan kami selama 3 hari dan kawasan-kawasan yang kami lalui pada malam tersebut. Tak sabar rasanya nak melawat Masjid Itaewon J

Homestay kami, didiami oleh rakyat Malaysia yang bekerja di Seoul. 3 bilik rumah tersebut dijadikan homestay, manakala bilik utama dijadikan bilik tuan rumah. Ketibaan kami pada malam tersebut disambut dengan nota berbahasa melayu dihadapan pagar rumah. Tuan rumah tiada di rumah pada waktu itu. Kami dimaklumkan tuan rumah nie pemalu orangnya. Homestay kami lengkap dengan semua kemudahan. Bilik pun selesa walaupun kecil. Lantai rumah pula dipasang heater untuk memanaskan tetamu memandangkan musim sejuk sudah bermula. Dapur untuk memasak, peti ais, seterika, tuala, sabun mandi, mesin basuh, tv di bilik tuan rumah dan sebagainya dan semua kemudahan tersebut boleh digunakan. Manakala, tandas Cuma ada 1 sahaja. Memang rumah di Korea ini kebanyakannya mempunyai 1 tandas. Kami dimaklumkan rumah di sini semuanya mahal-mahal. Begitu juga dengan pengangkutan dan makanan. Homestay yang kami duduki selama 3 malam ini pun kos nya mencecah ribuan ringgit untuk 9 orang. Untuk maklumat lanjut mengenai Malaysian homestay tersebut bolehlah lawati blog Malaysian Homestay di sini – http://malaysianguesthouseinseoul.blogspot.com



Kos perbelanjaan kami untuk hari pertama:

  • Tiket Airasia dari KL ke Busan = lebih kurang RM300 – RM400 (terpulang kepada tiket masing-masing dan bila tempahan tiket dibuat)
  • Inflight Meal = RM13.00
  • Teksi dari Airport Busan ke Stesen Busan = 16,900 won (untuk 4 orang)
  • Tiket KTX dari Busan ke Seoul = 52, 600 won
  • Makan malam di Seoul – Shrimp Burger = 3,200 won
  • Pengangkutan dari Stesen Seoul ke Rumah penginapan = Free :)
Perjalanan hari pertama kami telah dipermudahkan, walaupun berlaku sedikit tragedi kecil yang mencemaskan dan akhirnya melucukan. Alhamdulillah

Semoga travelog ini memberi manfaat buat yang berhajat untuk mengembara di Tanah negara KPop ini. Allahu Ta’ala A’lam

3 comments:

Anonymous said...

pesal tak nampak pic

Travellingbie said...

dekat blog ni ke?

Anonymous said...

waa bestnye g korea...teringin nk g...hurmm ....tgok bajet dulu la.. :(