11 July 2013

Refleksi Ramadhan 1434H – Hari 2 - 11 Julai 2013

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Firman Allah SWT maksudnya : "Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.(Iaitu) orang-orang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan."(Surah Ali-Imran ayat 133-134)

Ciri-ciri orang bertaqwa – yang ke-2:
2.: Orang-orang yang menahan amarahnya.

Biasa tak kita melihat orang yang menahan kemarahannya. Biasa tak kita melihat aksi orang yang marah dan natijah dari kemarahan tersebut. 

Orang yang marah biasa nya tidak dapat mengawal akal fikirannya dan dia akan melakukan perkara-perkara yang diluar batas kemanusiaan, tindakan-tindakan yang kejam dan jahat seperti memukul, sehinggalah membunuh.

Apabila telah reda kemarahannya, dia pasti akan menyesali tindakan yang telah dilakukannya dan menyedari bahawa itu adalah tindakan yang melampaui batas.

Oleh sebab itulah, apabila kita marah, kita telah dianjurkan untuk menahan kemarahan kita itu terlebih dahulu. Sekiranya kita marah di dalam keadaan berdiri, maka duduklah kita. Sekiranya kita marah di dalam keadaan duduk, maka, baringlah kita dan sekiranya kemarahan kita itu masih memuncak, ambil wudhu’, istighfar dan lakukan solat sunat taubat.

Latih diri kita untuk menahan marah. Marah itu api dan syaitan suka kepada orang yang marah.
Orang yang taqwa akan berusaha untuk menahan diri dari marah.

Cuba kita lihat diri kita apabila marah. Muka yang manis dan cantik dan hensem akan menjadi amat buruk apabila marah. Begitu jugalah hati kita, apabila kita marah sedikit sebanyak akan menipiskan iman di dada dan tatkala waktu itulah syaitan lebih mudah mempengaruhi kita dan membuat keputusan untuk kita. Berapa ramai manusia yang kita pernah jumpa menyesal di atas perbuatan mereka ketika mana mereka marah. Ada anak yang lari dari rumah kerana dipukul dan didera oleh seorang ayah yang marah. Ada saudara terbunuh kerana pergaduhan di antara saudara. Ada persahabatan yang putus disebabkan pengaruh perasaan marah dan sebagainya.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi) 

Hal itu dinyatakan Rasulullah SAW kepada seorang lelaki bertanya baginda: “Wahai Rasulullah! Apakah sesuatu yang lebih berat? Dijawab Rasulullah SAW : "Kemurkaan Allah!" Lelaki itu bertanya lagi: "Apakah sesuatu yang dapat menjauhkan aku daripada kemurkaan Allah? Rasulullah SAW menjawab: "Jangan marah."
(Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Amr)

Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Dan apabila mereka marah segera memberi maaf."
(Surah as- Syura ayat 37) 

Allahu Ta’ala A’lam.

No comments: