31 July 2012

Ramadhan Reflections - Day 11

Hari yang ke-11...
Malunya saya bila melihat gambar di atas. Hari yang ke-11, boleh dibilang dengan jari berapa kali bangun di sepertiga malam untuk tahajjud. Mungkin juga itu puncanya hati masih lagi keras, hati masih lagi berkira-kira, hati masih lagi mengadu domba, hati masih lagi bergossip-gossipan, hati masih lagi komplen mengenai kehidupan yang tiada harganya di sisi ALLAH SWT ini.
Mudah-mudahan hari-hari yang berikutnya akan bertambah-tambah amalan dan akan berkurang-kuranglah dosa dengan muhasabah untuk diri sendiri ini.
ALLAHUMMAGHFIRLI ALLAHUMMAGHFIRLI ALLAHUMMAGHFIRLI 

30 July 2012

Ramadhan Reflections - Day 10

Terawih - 11 Rakaat atau 23 Rakaat

Dalam isu solat tarawih ini. Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan. Malahan Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus-terusan tanpa ada batasan. Imam Bukhari dan Muslim dalam Kitab Sahihnya merekodkan bahawa Ibnu Umar berkata, “Rasulullah SAW bersabda: Bersolatlah kamu dua rakaat-dua rakaat (berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu subuh maka bersolatlah witir satu rakaat sebagai penutup”. 

29 July 2012

Ramadhan Reflections - Day 9

Ramadhan Chronicles: Day 9-Ahad

"hmmm...yang mana satu solat kita?" ~ renung-renungkan dan selamat beramal :-)

Hari ke-9 berpuasa. Tubuh badan sudah biasa dengan jadual bangun sahur dan berpuasa sepanjang hari. Namun, bila hari cuti, masa tu la segala keletihan, tak cukup tidor dikeluarkan oleh tubuh badan…sampaikan tidak sedar tertidur selepas subuh. Tubuh badan manusia memang bijak di dalam menyesuaikan diri dengan keadaan sehingga bila sampai kepada tahap tidak mampu, tubuh akan mengeluarkan signal menyatakan bahawa “saya perlukan rehat”. Apabila kita menerima isyarat seperti itu, janganlah kita memaksa tubuh badan kita untuk bekerja lebih masa dan kita perlu memberi peluang rehat kepada tubuh kita untuk memperbaiki mana-mana tisu dan sel-sel di dalam badan agar kembali sihat dan normal seperti sedia kala. 

Kesihatan perlu dijaga sepanjang berpuasa. Ini dapat membantu kita menunaikan ibadah dengan lebih berkesan dan efektif. 

Kadang-kadang kita sendiri mengalami rasa lemas dan lesu atau stamina menurun semasa puasa. Ada juga gangguan pencernaan seperti perut kembung dan angin. 

Berikut beberapa bahan yang dapat digunakan agar puasa tetap cergas dan segar. 

1.MADU 
Khasiat : meningkatkan stamina serta mempertahankan kestabilan tubuh agar tetap sehat dan segar, melancarkan proses metabolisma, untuk kecantikan dan awet muda, mencegah gangguan pencernaan, dan lain-lain. 

2.KURMA 
Khasiat : meningkatkan stamina dan energi, mencegah & mengatasi anemia (kurang darah), melancarkan pembuangan, sebagai penenang (merileksasi sel otot tubuh yang tegang), mencegah pendarahan rahim. 

3.KUNYIT (Curcuma domestica Val.) 
Khasiat /efek ; radang lambung, memperlancar pengeluaran empedu sehingga mengurangi perut kembung, mual, dan rasa begah di perut. 

4.KAPULAGA (Amomum cardamomum) 
Khasiat : untuk radang lambung, mual, muntah-muntah, perut sebah dan kembung. 

5.Kayu Manis (Cinnamomum burmanii) 
Khasiat : untuk radang lambung, mual, muntah-muntah, perut sebah dan kembung. 



28 July 2012

Ramadhan Reflections - Day 8

Hari ini, berbuka bersama dengan kawan-kawan di Dewan Perdana Felda. Masa ni la nak berjumpa kawan-kawan yang dah lama tak jumpa. Kekadang tu kita Iftar di luar bukan semata-mata disebabkan makanan, tetapi ada perkara lain yang lebih penting dari makanan yang sedap dan banyak dan jumlah RM yang kita keluarkan. Kalau diikutkan, memang lah mahal, sekali makan di buffet Ramadhan boleh  untuk makan berbuka seminggu. Walaubagaimanapun, kekadang perkara-perkara berikut kene diketepikan untuk berjumpa dengan sahabat-sahabat yang susah nak jumpa. Dalam setahun ada beberapa kali je berjumpa.

Kalau di Dewan Perdana Felda, ruangan solat memang besar dan selesa. Juga disediakan Solat Terawih untuk para tetamu menunaikan ibadah Isyak dan Terawih sebelum kembali ke rumah. Harap-harapnya hotel-hotel yang menyediakan buffet Ramadhan juga menyediakan kemudahan yang sama.

Makanan, memang tidak dinafikan berlebih-lebihan. Satu budaya yang memang amat-amat tidak digalakkan apabila makan berlebih-lebihan, apatah lagi di bulan Ramadhan. Saya berharap agar suatu hari nanti Buffet Ramadhan ini dikurangkan apatah lagi ada hotel-hotel yang menawarkan harga tidak masuk dek akal fikiran. Pun begitu, ramai juga yang datang. Nasib baiklah Buffet Ramadhan di sini tidak begitu mahal berbanding hotel-hotel atau tempat lain di KL.
Photo: KLCC @night... http://instagr.am/p/NoFjeOIJQX/
Pemandangan KLCC di waktu malam dari tempat parkir Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak.

27 July 2012

Ramadhan Reflections - Day 7

Dua Belas Hikmah Puasa

Terdapat hikmah di sebalik syariat Allah, khususnya puasa. Ada rahsia, hikmah dan tujuan puasa itu yang diketahui akal manusia. Namun ada juga yang tidak dapat dijangkau akal manusia. Berkenaan hikmah puasa, terdapat tidak kurang 12 jenis hikmah iaitu:

  1. Puasa menyempitkan aliran makanan dan darah. Aliran yang sama digunakan syaitan. Maka bisikan syaitan menjadi lemah; 
  2. Puasa melemahkan nafsu, hasrat jahat dan keinginan berbuat maksiat. Ini membuatkan roh menjadi tidak ternoda dan kembali suci; 
  3. Puasa mengingatkan pelakunya perihal kewujudan saudara-saudaranya yang kelaparan, memerlukan bantuan dan yang fakir serta miskin. Kesedaran ini menyebabkan orang yang berpuasa mahu mengasihi, menyayangi dan menolong mereka; 
  4. Puasa juga adalah pendidikan jiwa, penyucian hati, pengendalian pandangan dan menjaga anggota tubuh daripada dosa; 
  5. Puasa juga adalah rahsia antara hamba dengan Tuhannya. Hal ini ditegaskan dalam hadis Qudsi. Allah berkata, "Setiap amal anak Adam untuk dirinya kecuali puasa. Puasa untukKu dan Aku sendiri yang membalasnya." 
  6. Puasa adalah alat penyatuan kaum muslimin. Mereka berpuasa pada waktu yang sama dan berbuka puasa pada waktu yang sama. Mereka merasa lapar bersama dengan penuh persaudaraan. Penyatuan membuatkan mereka diliputi rasa cinta dan setiakawan; 
  7. Puasa adalah penghapus kesalahan dan kejahatan. Muslim merekodkan Rasulullah berkata "Dari Jumaat ke Jumaat yang lain, daripada umrah kepada umrah yang lain dan dari Ramadan ke Ramadan yang lain adalah penghapus dosa. Ini selagi dosa itu tidak termasuk dosa besar." 
  8. Puasa menyihatkan badan kerana ia mengosongkan perut daripada semua bahan yang merosakkan. Ia juga merehatkan pencernaan, membersihkan darah, menormalkan fungsi ginjal, hati dan jantung; 
  9. Apabila orang itu berpuasa, dirinya terasa kerdil di hadapan Allah, hatinya mudah tersentuh dan rasa tamak menipis. Nafsunya terkawal sehingga dengan demikian doanya dikabulkan kerana dekat dengan Allah; 
  10. Dalam puasa terdapat rahsia agung iaitu ketaatan menyembah Allah. Muslim patuh atas segala perintahNya, tunduk kepada agamaNya, meninggalkan hasrat makan, minum dan bersetubuh hanya demi mencari keredhaan Allah; 
  11. Puasa adalah kemenangan muslim mengalahkan hawa nafsunya. Ia kemenangan muslim ke atas dirinya dan ia bukti kesabaran. Orang yang tidak berpuasa tanpa sebab yang dibenarkan, ia tidak mampu mengendalikan dirinya dan tidak dapat mengalahkan hawa nafsunya; 
  12. Puasa adalah latihan luar biasa jiwa supaya ia berada dalam keadaan bersedia 100 peratus. Jiwa yang tersedia ini mampu menanggung beban hidup sehingga Ramadan juga digelar sekolah istimewa. Selain itu dengan puasa, kita bersedia dan agung seperti jihad, mendermakan harta di jalan Allah dan berkorban. 
Petikan Buku Keajaiban Ramadan oleh Jaffar Siddiq keluaran PTS Islamika

26 July 2012

Ramadhan Reflections - Day 6

Cara Berpuasa Yang Berkesan Menurut Sains Perubatan 

  1. Berbuka dengan buah-buahan dan minuman daripada bahan semulajadi. Elakkan pengambilan gula putih, sirap, pewarna dan perasa tiruan. Gantikan dengan gula merah, madu lebah dan jus buah-buahan asli. 
  2. Disarankan solat maghrib terlebih dahulu kerana memberi peluang kepada perut supaya mencerna makanan. 
  3. Semasa berbuka, sebaiknya ambillah makanan yang mudah dihadam, mengandungi serat dalam kadar yang sedikit, kurangkan makanan yang berminyak, berempah dan pedas. Perbanyakkan sayuran, tauhu dan kekacang. Kurangkan pengambilan protein haiwan seperti daging kerana ia makanan yang paling kompleks dan susah dihadam. 
  4. Minum air putih atau teh herba yang mengandungi getah anggur, kembang semangkuk dan biji selasih. Ia bertujuan untuk mencuci usus dan menyenangkan membuang air besar. 
  5. Elakkan pengambilan kopi dan teh, kerana minuman ini mengandungi kafein yang boleh memberi banyak rangsangan kepada saraf dan jangtung ketika berpuasa. Kafein juga memberi rangsangan kepada bahagian perut kerana mengandungi asid hidroklorit berlebihan yang menyebabkan gastrik. 
  6. Pastikan karbohidrat di dalam badan mencukupi. Sekiranya tidak mencukupi, badan akan cepat terasa lemah dan tidak bertenaga di siang hari.
  7. Tidak perlu mengambil makanan tambahan seperti vitamin dan sebagainya kerana kandungannya yang berlebihan akan terbuang menerusi air kencing. 
  8. Rasulullah menyarankan agar melewatkan sahur kerana ia menepati waktu bersarapan pagi. Kajian pakar sains perubatan di Malaysia dan barat menunjukkan bahawa makanan yang utama dalam masa 24 jam ialah waktu sarapan pagi. Ia bertujuan untuk memelihara badan berbanding waktu lain. Amalan bersahur ini menjadi lebih penting untuk ketahanan badan terutama kepada kanak-kanak yang dilatih berpuasa kerana glukosa dalam darah akan menurun selepas bangun tidur. 

25 July 2012

Ramadhan Reflections - Day 5

Kelebihan Tamar/Kurma


Berbuka Puasa, saya percaya hampir semua orang yang berpuasa akan berasa seronok ketika hendak berbuka puasa. Lalu bagaimana cara kita berbuka puasa? Adakah kita berbuka puasa dengan kurma/tamar atau kita berbuka puasa dengan makanan kegemaran kita? Dan...adakah selepas berbuka puasa itu kesegaran tubuh badan kita akan seperti sedia kala? Segalanya terpulang kepada cara bagaimana kita berbuka... :-)


Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi.
Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi

Di dalam buku di bawah ini, yang bertajuk "Puasa - Hukum dan Hikmah Menurut Islan dan Fakta Sains Moden" membincangkan mengenai hukum dan hikmat puasa, begitu juga kelebihan berbuka dengan tamar/kurma.
Sabda Rasulullah saw bermaksud:
“Apabila seseorang dari kalangan kamu berbuka, maka hendaklah dia berbuka dengan tamar. Jika dia tidak ada, maka hendaklah dia berbuka dengan air kerana ia adalah penyuci.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud, kitab Puasa, nombor 2355 dan At-Tirmizi, kitab Sedekah, nombor 658)

Timbul persoalan di sini….
mengapa perlu tamar sebagai santapan pertama ketika berbuka puasa? Jawapannya ada pada buku “Puasa, Hikmah dan Hukum menurut Islam dan Perspektif Sains Moden” karangan Syeikh Abdul Majid al-Zindani. Saya petik sedikit dari buku tersebut.

Dalam muka surat 32 ada dinyatakan rahsia berbuka puasa dengan tamar. Ianya berbunyi:

“Tamar dikira makanan yang paling kaya dengan gula glukosa. Oleh itu, ia dikira sebagai makanan terbaik yang dibekalkan kepada tubuh pada ketika itu. Ia mengandungi kadar nisbah gula yang tinggi yang berkitar di antara 75-87% iaitu 55% glukosa dan fruktosa sebanyak 45%. Fruktosa akan bertukar kepada glukosa dengan kecepatan yang tinggi dan ia akan diserap secara langsung melalui sistem penghadaman bagi melegakan kehausan tubuh.Begitu juga vitamin-vitamin yang terkandung dalam tamar. Kesemuanya mempunyai peranan yang aktif terhadap proses pembentukan makanan dan ia juga mempunyai kesan penenang terhadap saraf-saraf.”

Peringatan jua untuk diri saya, agar memulakan sahur dengan tamar dan memulakan berbuka puasa jua dengan tamar kerna ianya merupakan sunnah Nabi saw.

ALLAHU TA'ALA A'LAM

24 July 2012

Ramadhan Reflections - Day 4

Puasa menurut pandangan sains dan perubatan.

Ibadah puasa khususnya pada bulan Ramadan mempunyai hikmah yang tersendiri jika ditinjau daripada perspektif ilmu kesihatan dan perubatan. Apatah lagi dari sudut kerohanian Malah, pakar-pakar perubatan bukan Islam turut mengakui puasa adalah satu kaedah perubatan yang mujarab kepada sistem tubuh manusia. 

Antaranya Dr Mac Fadon dari Amerika Syarikat (AS) yang menyatakan, puasa seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut. Boleh dikatakan semua ahli perubatan di dunia ini menyatakan berpuasa menyihatkan tubuh badan manusia, malah kesihatan mental dan kekuatan rohani akan turut berganda dengan berpuasa.

Satu kajian lain yang telah dilakukan oleh seorang pakar perubatan dari AS, Dr Alan Cott menyatakan puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Beliau juga melakukan satu uji kaji ke atas sekumpulan orang yang berpuasa dan satu kumpulan yang tidak berpuasa. Hasilnya menakjubkan kerana mereka yang rajin berpuasa itu memperoleh markah jauh lebih tinggi berbanding yang tidak berpuasa.

Seorang pakar kesihatan; Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) berkata, “ Kebiasaan masyarakat hari ini apabila diserang suatu penyakit mereka akan segera mengambil ubatan bagi meredakan kesakitan.Kini sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan sesuatu yang berbeza iaitu dengan mengamalkan puasa apabila sakit. Puasa adalah penawar dan perangsang kepada perubahan yang melibatkan metabolisme tubuh badan dan membantu tugas detoksifikasi serta membaiki dalaman tubuh”. (Berkenaan puasa dan detoksifikasi, anda boleh merujuk kajian yang dibuat oleh Prof. Shin Hyun-dae) (Kyung Hee Medical Center)

Dr. E. Kazim didalam bukunya yang bertajuk; Fasting and your Biological Rythms menyatakan bahawa, ketika seseorang sedang berpuasa, sejenis kimia natural akan terhasil bukan sahaja memberi kesan penenang (tranquilizing) bahkan menjadikan minda lebih damai dan gembira. Menurut sebuah kajian yang lain, puasa mampu memberi kesan positif kepada tidur seseorang. Amalan berpuasa juga terbukti dapat menjadikan fikiran lebih focus dan tajam. 

Perhatikan ungkapan klasik yang diberitakan dari Saidina Ali Bin Abi Talib karamallahu wajhah dibawah;
“Tiga perkara yang menguatkan ingatan dan menghilangkan balgham; iaitu bersugi gigi, berpuasa dan membaca al-Quran”

Saintis dan doktor-doktor telah membuktikan bahawa puasa mempunyai banyak hikmah dan kebaikan kepada tubuh badan. Maka, apakah kita punya alasan untuk tidak berpuasa sedangkan orang bukan Islam telah mengiktiraf melalui kajian mereka bahawa puasa dapat menguatkan tubuh badan manusia disamping menguatkan mental dan rohani seseorang itu.

Merugilah orang-orang Islam yang tidak berpuasa dan rugilah mereka di dunya dan juga di akhirat sana.

ALLAHU TA'ALA A'LAM.

23 July 2012

Ramadhan Reflections - Day 3

Mengukur nilai puasa kita sendiri adalah sesuatu yang amat sukar. Puasa yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan, apakah kita mampu menilainya sendiri bahawa puasa kita itu adalah puasa yang diterima ALLAH SWT ataupun kita hanya menahan lapar dan dahaga sahaja.

Puasa adalah untuk ALLAH SWT menilainya, samada diterima ataupun tidak, dibalas dengan ganjaran pahala yang besar ataupun tidak. Kita sebagai hamba, tidak akan dapat mengetahui samada puasa kita itu adalah puasa yang mendapat ganjaran pahala yang besar ataupun puasa yang sia-sia.

Rasullullah saw bersabda :
“Setiap amal anak Adam dilipatgandakan; satu kebaikan dibalas dengan sepuluh (10) kebaikan yang serupa hingga tujuh ratus (700) kali. Allah Azza wa Jalla berfirman, “Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untukKu dan Aku sendiri yang membalasnya…” (HR Muslim, An-Nasaie, Ad-Darimi dan Al-Baihaqi)

Namun begitu, kita telah diberikan panduan agar puasa yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan adalah puasa yang tidak sia-sia.

Adalah menjadi kewajipan kita untuk:

  1. Melakukan ibadah puasa dengan bersungguh-sungguh;
  2. Berusaha untuk mendapatkan nilai kualiti yang tinggi bagi puasa kita itu;
  3. Berusaha untuk mencegah segala perbuatan yang boleh mengurangkan dan membatalkan puasa kita.
Imam Al-Ghazali menjelaskan dalam kitab ‘Ihya’ Ulumiddin’ :
“Puasa itu sendiri adalah rahsia yang padanya tidak ada amal yang disaksikan. Seluruh amal ketaatan itu disaksikan dan dilihat oleh makhluk sedangkan puasa hanya dilihat oleh Allah Azza wa Jalla, kerana puasa itu amal batin dengan semata-mata kesabaran.”
Semoga kita tidak menjadi golongan orang-orang yang berpuasa tetapi sia-sia puasa yang dilakukan seperti mana sabda Rasulullah SAW bermaksud:(HR An-Nasaie dan Ibnu Majah). "Betapa ramai orang yang berpuasa tapi tidak mendapatkan apa-apa baginya kecuali rasa lapar.”
Pahala tiada, ditambah pula dengan dosa. Na'uudzubillahi min dzaalik. Sama-samalah kita muhasabah nilai puasa kita.

ALLAHU TA'ALA A'LAM

22 July 2012

Ramadhan Reflections - Day 2

Syukur ALHAMDULILLAH. Kita masih lagi diberi peluang dan belas kasihan dari ALLAH SWT untuk menikmati kehidupan dan berpuasa di bulan Ramadhan ini.

Syukur - banyak disebutkan di dalam Al-Quran. Antaranya:


Al-Baqarah [152] "Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur." 

Al-Baqarah [172] "Wahai orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, danbersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya."

An-Nahl [114] "Oleh itu, makanlah dari apa yang dikurniakan Allah kepadamu dari yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu menyembah-Nya."

Saba [15] "Sesungguhnya bagi penduduk Saba, ada tanda-tanda yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua kebun, yang terletak di sebelah kanan dan kiri. Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya. Negerimu adalah negeri yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun! "

Al-Ankabut [17] "Kamu hanyalah menyembah berhala-berhala bukan menyembah Allah, dan kamu hanya mengadakan penyembahan yang dusta. Sesungguhnya mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah itu, tidak berkuasa memberi rezeki kepada kamu; oleh itu carilah rezeki dari sisi Allah, dan sembahlah akan Dia, serta bersyukurlah kepada-Nya; (ingatlah), kepada Allah jualah kamu akan dikembalikan."

Luqman [12] "Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya):Bersyukurlah kepada Allah Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu terpulanglah kepada dirinya, dan sesiapa yang ingkar dan tidak bersyukur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji." 

Luqman [14] "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu."

Sedikit sahaja manusia yang bersyukur apabila diberi ni'mat. Pendengaran, penglihatan dan apa sahaja yang ada pada kita adalah ni'mat dari ALLAH SWT. Namun sedikit sahaja dari kita yang bersyukur.

Al-Mukminun [78] "Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati untuk kamu bersyukur; tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur."

Saba [13] "………Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hamba-Ku yang bersyukur."

Al-Aadiyat [6] "Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya."


"Syukur ~ ALLAH tambah nikmat jika kita bersyukur. Syukur semasa senang, syukur semasa susah, syukur semasa mengadap makanan walaupun makanan yang dimakan itu tidak berapa nak sedap, Syukur semasa berkumpul sekeluarga/bersama kawan-kawan, Syukur jua bila sendirian. Syukur ~ 1 perkataan yang mempunyai kuasa besar ke atas setiap individu. Apabila "syukur" sentiasa berada di dalam hati kita, tidak akan ada perasaan hasad melihat manusia lain yang lebih cantik dari kita, lebih kaya dari kita dan lebih segalanya dari kita. Walaupun begitu, jgn disalah anggap "syukur" dengan beranggapan segalanya adalah taqdir, kerna ALLAH menyuruh kita berusaha untuk memperbaiki kehidupan kita ke arah yang lebih baik, berdoa dan bertawakkal setelah berusaha keras kerna tujuan akhir kehidupan kita adalah syurga. :-) "

Surah al-Ahqaf ayat 15 bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula), mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: “Ya Tuhanku, tunjuklah Aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya Aku dapat berbuat amal yang salih yang Engkau reda; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya Aku bertaubat kepada Engkau dan Sesungguhnya Aku termasuk orang yang berserah diri”.

ALLAHU TA'ALA A'LAM.

PLEASE SHARE IF U LIKE THIS :-)

21 July 2012

Ramadhan Reflections - Day 1

Hari pertama umat Islam berpuasa. Semoga puasa kita diterima oleh ALLAH SWT dan ALLAH SWT redha kita sebagai hambaNYA. Allahumma Ameen.

Sabda Baginda SAW:"Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." [HR al-Bukhari dan Muslim]

Risalah Ramadhan ini saya petik dari laman web Dr. Abdul basit Abdul Rahman. Semoga ianya memberi manfaat yang besar kepada kita. http://www.abuanasmadani.com/?p=1551

19 July 2012

Ahlan Ya Ramadhan...KPI RAMADHAN

Seronoknya menjelang Ramadhan. Keseronokannya luar biasa seronok. Menanti bulan yang lebih baik dari seribu bulan adalah sesuatu yang dinanti-nanti. Bulan yang penuh rahmat dan barakah, bulan di mana terdapatnya Lailatul Qadar, bulan di mana waktu inilah kita berpeluang untuk menambahkan amalan kebaikan kita untuk bekalan di sana nanti. 

Saya petik "Checklist Ramadhan" ini dari Pertubuhan IKRAM Malaysia, untuk kita melihat dan semak ibadah yang kita lakukan setiap hari nanti. Ianya seumpama checklist kerja harian kita dan adakah kita dapat mencapai KPI Ramadhan ini. Insya ALLAH, mudah-mudahan dipermudahkan ALLAH SWT untuk melakukan kebaikan dan amal sebelum kematian menjemput kita. :-)

13 July 2012

Hadis-Hadis Lemah & Palsu Berkaitan Dengan Bulan Ramadhan

Saya sertakan bersama artikel yang disediakan oleh: Saudara Mohd Hairi Nonchi

(Pendidikan Dengan Sains Sosial, UMS) mengenai hadis-hadis lemah dan palsu berkaitan dengan Bulan Ramadhan. Tidak kira hari yang ke berapa di dalam bulan Ramadhan, kesemua hari-hari tersebut adalah mulia dan kita sewajarnya memuliakan semua hari di dalam Ramadhan. Marilah kita perbanyakkan saham akhirat kita, marilah kita sama-sama bersihkan jiwa kita dari sifat-sifat mazmumah. Inilah bulan dimana kita berpeluang untuk menyerah diri sepenuh jiwa dan raga kepada ALLAH SWT. Sama-samalah kita ya. Dan inilah juga bulan di mana saya mengimpikan sekiranya sudah sampai ajal kematian saya, ALLAH SWT berbelas kasihan untuk mencabut nyawa saya di dalam bulan yang penuh barakah ini dan juga di Tanah Suci...InsyaALLAH :-)


Disediakan oleh : Mohd Hairi Nonchi (Pendidikan Dengan Sains Sosial)

“Seandainya hamba-hamba itu mengetahui apa yang ada pada bulan Ramadhan, nescaya umat berangan-angan agar Ramadhan setahun penuh. Sesungguhnya,syurga dihiasi untuk Ramadhan dari hujung tahun ke tahun berikutnya”

Hadis ini telah diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah 1886, Ibnu al-Jauzi dalam kitab al-Maudhu’at 2/188, Abu Ya’la dalam Musnadnya sebagaimana di dalam al-Mathalib al-‘Aliyah (qaf 46/alif – ba/nashkah manuskrip) dari jalan Jarir bin Ayub a-Bajali dari Sya’bi dari Nafi’ bin Bardah dari Abu Mas’ud al-Ghifari. Hadis ini bertarafmaudhu’ (palsu). Kecacatannya berpangkal kepada Jarir bin Ayyub.Ibnu Hajar menyebutkan biografinya dalam Lisan al-Mizan 2/101 dan berkata: “Dia terkenal dengan kelemahannya”.Kemudian Ibnu Hajar menukil ucapan Abu Nu’aim mengenainya :“Dia pemalsu hadis”. Manakala dari al-Bukari, beliau berkata: “Dia meriwayatkan hadis mungkar” dan dari al-Nasaa’i: “Dia matrukul hadis (ditinggalkan hadisnya)”. Ibnu al-Jauzi menghukuminya sering memalsukan hadis.

“Wahai manusia, kalian telah dinaungi bulan yang agung, bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah menjadikan puasa pada bulan itu sebagai kewajipan dan solat malam sebagai sunnah. Barangsiapa bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah) di dalamnya dengan suatu kebaikan, maka dia seperti menunaikan suatu kewajipan pada bulan lain (selain ramadhan)... Ramadhan adalah bulan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah ampunan dan akhirnya adalah kemerdekaan daripada neraka...”

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah, no: 1887, al-Muhamili dalam Amalinya, no: 293, al-Ashbahani dalam at-Targhib (qaf/178, ba/nashkah manuskrip) dari jalan Ali bin Zaid bin Jad’an dari Sa’id bin al-Musayyib dari Salman. Sanad hadis ini dha’if, kerana kelemahan Ali bin Zaid. Ibnu Sa’ad berkata: “Dia dha’if, tidak dapat dijadikan hujah”. Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Dia tidak kuat” Ibn Ma’in berkata: “Dia dha’if”. Ibnu Abi Haithamah berkata: “Dia dha’if dalam segala hal”. Ibnu Khuzaimah berkata: “Aku tidak berhujah dengannya kerana hafalannya buruk”. Demikian dalam Tahzibut Tahzib 7/322-323. Ibnu Hajar berkata dalam al-Athraf: “Tidak diperselisihkan tentang Alibin Zaid Ja’dan, dia adalah dha’if”. Ibnu Abi Hatim menukil dari ayahnya (Abu Hatim) di dalam I’lalul Hadith1/249: “Hadis ini mungkar”.

“Puasalah kalian, nescaya kalian sihat”

Ini adalah potongan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Adi dalam al-Kamil 7/2521 dari jalan Nahsyal bin Said dari ad-Dhahhak dari Ibnu Abbas r.a. Nahsyal adalah matruk (tertolak), dia berdusta dan ad-Dhahhak tidak mendengar langsung dari Ibnu Abbas r.a. Diriwayatkan pula oleh Thabarani dalam al-Ausath (1/qaf – 60/alif – Majmu’ al-Bahrain). Demikian juga Ibnu Bukhait dalam Juz’unya sebagaimana dalam Syarah al-Ihya’ 7/401 dari jalan Muhammad binSulaiman bin Abu Daud dari Zuhair bin Muhammad dari Suhail bin Abu Salih dari Abu Hurairah r.a. Sanad hadis ini adalah dha’if. Abu Bakar al-Athram berkata: “Aku mendengar Ahmad berkata: Mereka (orang-orang Syam) meriwayatkan beberapa hadis mungkar dari Zuhair”. Abu Hatim berkata: “Hafalan Zuhair buruk”. Hadisnya ketika di Syam lebih mungkar daripada hadisnya di Iraq kerana hafalannya buruk. Al-Ajali berkata: “Hadis-hadis yang dirwayatkan oleh penduduk Syam darinya tidak menakjubkan aku”. Demikian dalam Tahzib al-Kamal 9/417.

“ Tidur orang yang berpuasa adalah ibadat, diamnya adalah tasbih, amalnya dilipatgandakan (pahalanya), doanya dikabulkan dan dosanya diampuni ”

Hadith ini adalah hadis maudhu’ (palsu). Hadis ini diriwayatkan oleh al-imam al-Baihaqi dalam kitabnya Syu’ab al-Imam, kemudian dinukil oleh al-Suyuti dalam kitabnya al-Jami’ al-Shaghir1404/1981, 2/678. Menurut al-Imam al-Suyuti hadis di atas berdarjat dhaif. Namun kenyataannya ini telah menyelisih pandangan para ulama’ tahqiq yang lain yang lebih cenderung mengatakan bahawa ianya adalah hadis palsu. Tambahan pula, imam al-Suyuti yang menukilkan hadis tersebut daripada imam al-Baihaqi tidak menyebut akan komentar yang telah dilakukan oleh imam al-Baihaqi ke atas beberapa rawi yang terdapat dalam sanad tersebut yang antara lainnya menyebut bahawa di dalam sanad hadis tersebut terdapa beberapa rawi yang dianggap dha’if dandha’if jiddan (tersangat dhaif), antaranya Ma’ruf bin Hisan (dha’if)dan Sulaiman bin Amr al-Nakha’i (sangat dha’if).

Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat bahawa Sulaiman bin Amr al-Nakha’i adalah pemalsu hadis. Yahya bin Ma’in mengatakan : “Sulaiman bin Amr al-Nakha’i dikenali sebagai pemalsu hadis” bahkan di dalam kesempatan lainnya beliau mengatakan: “Sulaiman bin Amr adalah manusia yang paling dusta di dunia ini”. Imam al-Bukhari mengatakan: “Sulaiman bin Amr adalah matruk (tertolak)”. Yazid bin Harun mengatakan: “Siapa pun tidak halal meriwayatkan hadis dari Sulaiman bin Amr”. Imam Ibnu Adiy menuturkan: “Para ulama’ sepakat bahawa Sulaiman bin Amr adalah seorang pemalsu hadis”. Ibnu Hibban mengatakan: “Sulaiman bin Amr al-Nakha’i adalah orang Bagdhad, yang secara lahiriahnya, dia adalah seorang yang salih, tetapi ia memalsukan hadis”. Imam al-Hakim tidak meragukan lagi bahawa Sulaiman bin Amr adalah pemalsu hadis.

“Orang yang melakukan solat solat tarawih pada malam pertama, akan diampuni segala dosanya sehingga jadilah dia bagaikan seorang anak yang baru keluar dari perut ibunya ... (sehinggalah) .... Pada malam ketiga puluh, Allah berfirman : Makanlah buah-buahan syurga, mandilah dengan air Salsabil dan minumlah dari telaga al-Kautsar.....”

Hadis mengenai kelebihan bagi setiap malam solat Tarawih yang disandarkan kepada ‘Ali bin Abi Talib r.a. ini dinukilkan daripada kitab Durrat al-Nashihin (bab Kelebihan Puasa) susunan Utsman bin Hasan bin Ahmad asy-Syaakir al-Khaubawiyyi pada sekitar kurun ke-13 Hirah. Para ulama’ Hadis dan ulama tahqiq (penganalisa hadis) mengatakan bahawa hadis ini adalah palsu. Kepalsuannya dapat dinilai menerusi beberapa sudut, antaranya:
  1. Hadis ini tidak dapat dikesan sumber periwayatannya. Ia tidak dibukukan oleh mana-mana imam hadis di zaman awal Islam seperti Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan lain-lain. Pengarangnya bukan sahaja gagal mengemukakan mana-mana tokoh yang meriwayatkan hadis ini, malah pengarangnya sendiri bukan seorang ahli hadis yang boleh dipertanggungjawabkan atas riwayat ini.
  2. Hadis ini tidak memiliki isnad (barisan para perawi yang mendengar dan meriwayat daripada siapa hadith tersebut diperolehinya – yakni dari Ali bin Abi Talib). Isnad dalam ilmu hadis sangat penting kerana ia adalah bagai tali yang mengikat antara sahabat yang mengkhabarkan suatu hadis dan tokoh terkemudian yang membukukannya secara formal. Berkata Ibnu Syihab az-Zuhri (w 124H): “ Isnad adalah sebahagian dari agama, jikalau tidak ada isnad maka sesiapa jua boleh berkata-kata (apa sahaja yang dikehendakinya lalu dianggapnya sebagai hadis)” (Dr Mustafa as-Siba’i – as-Sunnah wa Makanatuha, ms. 57). Setiap riwayat wajib mempunyai isnad, iaitu barisan perawi-perawi hadis yang membawa riwayat atau hadis tersebut. Dari isnad inilah dapat dianalisa status sesuatu riwayat/ hadis, sama ada ia sahih atau sebaliknya. Dan sememangnya salah satu daripada sifat hadis maudhu’ adalah ia tidak memiliki isnad seperti hadis di atas.
  3. Dalam teks hadis ini terkandung beberapa keanehan. Pertama, adalah beberapa pertanyaan para sahabat tentang keutamaan solat tarawih di malam-malam Ramadhan padahal sepertimana yang kita ketahui nama atau istilah “solat tarawih” tidak pernah dikenali di zaman Nabi s.a.w. Kedua adalah ganjaran yang diberikan di malam ke-4, di mana disebut bahawa seseorang itu akan mendapat pahala sebagaimana seorang yang membaca kitab Zabur, Taurat, Injil dan al-Quran. Hal ini dimungkiri kerana zaman Nabi, telah sedia dikenal pasti melalui nas-nas al-Qur’an dan ajaran baginda s.a.w bahawa kitab-kitab Zabur, Taurat dan Injil telah pun ditukar dan diubahsuai maksud kandungannya sehingga ia tidak lagi dikira sah sebagai kitab Allah. Maka bagaimanakah mungkin seseorang itu akan diberi ganjaran pahala apabila dia membaca kitab yang telah diselewengi kebenarannya?
  4. Hadis fadhilat ini menjanjikan ganjaran yang sangat berlebih-lebihan sehingga sukar untuk diterima kebenaran. Malah, sifat hadis sebeginilah yang dikenal pasti oleh para ahli sebagai memiliki ciri-ciri hadis maudhu’. Dr. Ajaj al-Khatib telah mengarisi hakikat ini di dalam bukunya Usul al-Hadith, ms. 519 : “Antara ciri matan (kandungan teks) hadis maudhu’ tersebut memuatkan balasan yang berlipat ganda atas suatu amal kecil atau (memberi) ancaman yang sangat berat atas tindakan yang tidak seberapa. Ini biasanya banyak terjadi dalam hadis-hadis yang diriwayatkan oleh tukang cerita”. Justeru, kita lihat hadis ini telah menjanjikan ganjaran yang sangat berganda atas suatu amalan sunat dan ganjaran tersebut melebihi apa-apa amalan lain yang lebih mulia, sekalipun yang wajib dan fardhu.
  5. Hadis ini juga memiliki sifat yang sangat sukar dicerna oleh akal seorang mukmin yang sihat lagi dewasa. Hadis ini seakan-akan sebagaimana yang telah dibayangi oleh al-Imam Ibnu Jawzi (w.597H) dalam bahagian muqaddimah dari kitabnya al-Maudhu’ath: “Bila engkau melihat suatu hadis yang bertentangan dengan akal atau yang menyimpang dari nas yang sahih, atau yang bertentangan dengan prinsip, maka ketahuilah bahawa hadis itu maudhu’ (palsu)”
Demikianlah beberapa buah hadis mengenai ramadhan berdarjat dha’if dan maudhu’ yang sangat masyhur disebarkan dalam masyarakat kita. Mungkin ada pihak yang beranggapan bahawa sekalipun hadis-hadis ini terkenal dengan sifat-sifat maudhu’ atau kedha’ifannya, namun tidaklah menjadi kesalahan untuk menyebarkannya kepada orang awam dalam rangka mengajak mereka kepada kebaikan kerana ia mengandungi objektif-objektif yang baik dan terpuji. Sungguh, pendapat ini adalah tertolak dan disanggah kerana menyebar hadis-hadis yang sudah jelas akan kepalsuan dan kedhai’fannya adalah haram hukumnya mengikut ketentuan al-Qur’an dan al-Hadis yang sahih.

Ini adalah kerana, hadis palsu sebenarnya adalah suatu kedustaan, apatah lagi kedustaan tersebut disandarkan kepada agama yang hak miliknya hanya pada Allah s.w.t. Hanyalah Allah sahaja yang berhak menyatakan sesuatu mengenai urusan agama-Nya, melalui wahyu al-Qur’an dan melalui lisan Nabi dan Rasul-Nya, Muhammad s.a.w. Oleh itu, orang yang sengaja menyebarkan hadis-hadis palsu dalam keadaan dia menyedari akan kepalsuannya, maka dia termasuk ke dalam golongan orang-orang yang berdusta ke atas baginda s.a.w sebagaimana sabdanya:

“Barangsiapa yang menyebutkan sesuatu (hadis) dariku sedangkan aku tidak pernah menyebutnya, maka dia telah menempah tempat duduknya di dalam neraka” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari – no: 109)

“Sesiapa yang meriwayatkan satu hadis mengenaiku sedangkan dia (sudah) mengetahui kepalsuannya maka dia tergolong (dalam kalangan) orang-orang yang berdusta”(Diriwayatkan oleh Muslim 1/222 – no :1)

Di antara hadith-hadith dhaif dan maudhu’ yang tersebar di dalam bulan Ramadhan ini ialah:
  • Daripada Abu Mas‘ud al-Ghifari berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda bermaksud:
“Jika hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada pada bulan Ramadhan, tentulah mereka mengharapkan supaya bulan Ramadhan sepanjang tahun. Seorang lelaki dari Khuza‘ah berkata: Ceritakanlah kepada kami mengenainya. Lalu Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya syurga itu dihiaskan kerana bulan Ramadhan mulai dari awal tahun, sehingga apabila datang hari pertama bulan Ramadhan, angin bertiup dari bawah ‘Arasy lalu daun-daun syurga berdesiran. Melihat keadaan ini, lantas berkatalah para bidadari: Ya Tuhan kami, jadikanlah untuk kami di bulan ini suami-suami yang akan menyejukkan mata kami dengan mereka dan akan menyejukkan mata mereka dengan kami. Rasulullah saw bersabda lagi: Tiada seorang hamba pun yang berpuasa Ramadhan melainkan dikahwinkan dengan seorang isteri dari bidadari yang berada di dalam sebuah khemah dari mutiara besar yang berongga yang disifatkan oleh Allah sebagai: “Bidadari-bidadari yang jelita, putih bersih, dipingit dalam khemah”. Setiap seorang wanita dari bidadari itu mempunyai tujuh puluh perhiasan yang tiada berbeza warnanya antara satu sama lain, dan diberikan kepadanya tujuh puluh jenis harum-haruman yang baunya tidak berbeza antara satu sama lain. Setiap seorang wanita itu mempunyai sebuah katil yang dibuat daripada yakut merah yang bertatahkan mutiara. Di atas setiap katil terdapat tujuh puluh permaidani yang sebelah dalamnya daripada sutera halus. Di atas tujuh puluh permaidani itu terdapat tujuh puluh katil berhias. Setiap seorang wanita itu mempunyai tujuh puluh ribu pelayan yang terdiri dari kanak-kanak lelaki dan tujuh puluh ribu kanak-kanak perempuan yang akan menguruskan keperluannya. Tiap-tiap seorang kanak-kanak itu mempunyai sebuah dulang dari emas yang padanya ada jenis makanan yang suapan akhirnya mempunyai kelazatan yang tidak terdapat pada suapan yang pertama. Kepada suaminya diberikan sedemikian juga di atas katil dari yakut merah. Ini hanyalah ganjaran bagi tiap-tiap hari puasanya dari bulan Ramadhan selain dari kebajikan-kebajikan lain yang dikerjakannya”.

Hadith ini telah diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah (no. 1886) dan Ibn al-Jauzi di dalam kitabnyaal-Maudhu‘at: 2/188-189) daripada sumber Jarir bin Ayub al-Bajli, daripada al-Sya’bi, daripada Nafi’ bin Burdah, daripada Abu Mas‘ud al-Ghifari.

Hadith ini berada di martabat maudhu’ (palsu), ia telah direka oleh Jarir bin Ayub. Al-Imam Ibn Hajar di dalam Lisan al-Mizan (2/101) menyebut tentang Jarir bin Ayub: “Terkenal dengan lemah”. Kemudian beliau memetik kata-kata Abu Nai’m tentang Jarir: “Adalah dia (Jarir) seorang yang memalsukan hadith”. Ibn al-Jauzi juga telah menghukum beliau sebagai seorang yang memalsukan hadith .

  • Daripada Salman al-Farisi ra, bahawasanya Nabi saw berkhutbah kepada kami pada akhir bulan Sya’ban dan Baginda saw bersabda:
“Wahai sekelian manusia, telah memayungi kamu satu bulan yang agung, bulan yang padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa dibulan ini wajib, dan berqiyam pada malamnya sunat, maka barangsiapa yang berbuat kebajikan padanya dengan satu kebajikan adalah serupa dengan orang yang menunaikan fardhu pada selainnya. Dan barangsiapa yang menunaikan perkara fardhu pada bulan ini, menyamai seperti menunaikan tujuh puluh fardhu di bulan-bulan lain. Ia adalah bulan sabar dan sabar ganjarannya adalah syurga. Ia adalah bulan tolong-menolong, bulan yang ditambah padanya rezeki kepada orang yang beriman. Barangsiapa yang memberi makan pada bulan ini kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka amalan ini adalah pengampunan bagi dosa-dosanya, dan memerdekakannya daripada neraka, dan baginya pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurang pahala mereka sedikitpun. Mereka lalu bertanya: Ya Rasulullah! Bukan semua kami yang mampu menjamu orang yang berbuka puasa?. Lalu Rasulullah saw bersabda: “Allah akan memberi ganjaran ini kepada orang yang menjamu mereka yang berbuka puasa walau dengan seteguk susu, atau dengan sebiji tamar atau dengan secangkir air. Dan barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa, maka Allah memberikanya minum dari al-Haudh, iaitu minuman yang ia tidak akan dahaga sampailah ia masuk syurga. Ia adalah bulan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan, dan akhirnya adalah pembebasan diri dari neraka. Maka perbanyakkanlah pada bulan ini dengan empat perkara kebajikan. Dua perkara kamu akan mendapat keredhaan dari Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu tidak dapat tidak mesti melakukannya. Adapun dua perkara yang kamu akan mendapat keredhaan Tuhan kamu ialah syahadah “La ilaha illallah” dan kamu beristighfar padanya. Dan dua perkara lagi yang kamu tidak dapat tidak mesti melakukannya ialah memohon syurga dan kamu meminta supaya dijauhkan daripada neraka”.

Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah (no.1887) melalui perawi Ali bin Zaid bin Jad‘an daripada Said bin al-Musaiyib daripada Salman. Sanad hadith ini adalah dhaif (lemah) disebabkan oleh Ali bin Zaid bin Jad ‘an. Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam kitabnya Tahzib al-Tahzib (7/322-323) mengemukakan hukuman beberapa orang ulamak terhadap Ali bin Zaid ini, antaranya:
- Ibn Sa’d berkata: “Padanya terdapat kelemahan, dan aku tidak berhujah dengannya”.
- Ahmad bin Hanbal berkata: “ Tidak kuat”.
- Ibn Ma ‘in pula berkata: “Dha‘if”.
- Ibn Khaithamah berkata: “Dha‘if dalam semua perkara”.
- Ibn Khuzaimah berkata: “Aku tidak berhujah dengannya disebabkan keburukan hafalannya”.

Ibn Abi Hatim pula di dalam kitabnya ‘Ilal al-Hadith (1/249) telah menukil pendapat ayahnya yang menyatakan bahawa hadith ini adalah “Hadith Munkar”. Pendapat ini juga disokong oleh Syiekh Muhamad Nasirudin al-Albani yang turut menyatakan bahawa hadith ini adalah Munkar.

  • Hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas: “Berpuasalah kamu, nescaya kamu beroleh kesihatan”.
Hadith ini adalah potongan hadith yang telah diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi di dalam kitabnya al-Kamil fi Dhu‘afa’ (7/2521) melalui silsilah Nahsyal bin Sa‘id daripada al-Dhahak daripada Ibn ‘Abbas. Nahsyal adalah seorang yang “Matruk”, dan al-Dhahak tidak pernah mendengar hadith ini daripada Ibn ‘Abbas.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut di dalam kitabnya Taqrib al-Tahzib bahawa: “Nahsyal bin Said….. adalah ‘matruk’, dan Ishaq bin Rahuyah telah menyatakan bahawa dia adalah pendusta”. Al-Hafiz al-‘Iraqi pula di dalam kitabnya Takhrij Ahadith fi Ihya’ Ulum al-Din(3/87): “Hadith ini telah diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam kitabnya al-Awsat dan oleh Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya al-Tibb al-Nabawi daripada Abu Hurairah dengan sanad yang dha ‘if”.
(Salim al-Hilali, Sifat al-Saum al-Nabi fi Ramadhan, (Bierut: Dar Ibn Hazm, cetakan 7, 2001) hal. 108-112)

Inilah beberapa contoh daripada hadith-hadith yang dhaif dan maudhu’ mengenai fadhilat dan kelebihan puasa dan bulan Ramadhan yang tersebar di kalangan masyarakat.

Hadith palsu tentang fadhilat solat terawih
Selain daripada contoh-contoh yang telah disebutkan di atas, terdapat juga hadith-hadith dhaif dan maudhu’ lain yang menyentuh tentang fadhilat sembahyang terawih secara khusus. Antara yang termasyhur ialah hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib tentang kelebihan tertentu pada setiap malam solat terawih.

Hadith popular pada bulan Ramadhan ini yang menyebut tentang fadhilat setiap malam solat terawih ini adalah maudhu’. Ibn al-Qayyim al- Jauziyah di dalam kitabnya “al-Manar al-Munif” telah menyenaraikan beberapa kriteria untuk mengenali hadith-hadith maudhu’ tanpa melihat dan menyemak kepada sanadnya (pengkajian terhadap silsilah rawi). Antara kriteria tersebut ialah apabila sesuatu hadih itu menyebut tentang kelebihan dan ganjaran yang terlalu banyak apabila melakukan amalan yang kecil, dan dosa dan hukuman yang terlalu berat untuk kesalahan yang kecil yang mana ianya tidak disebut oleh Rasulullah saw. Hal ini disebut sebagi al-Mujazafat. (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif (Beirut:Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 1988), hal.47)

Maka hadith ini mempunyai kriteria tersebut. Sebagai contoh, pada malam ke-17, disebutkan bahawa ganjarannya ialah Allah swt akan mengurniakan kepada orang yang sembahyang terawih pahala sekelian para Nabi. Cuba perhatikan apakah komentar Imam Ibn al-Qayyim dalam perkara ini. Beliau berkata: ((Seolah-olah pendusta yang jahat ini (pembuat hadith palsu ini) tidak mengetahui jika seseorang yang selain daripada Nabi bersembahyang dengan umur Nabi Nuh saja, tidak akan ada seorang Nabi pun yang dapat menandinginya)). (al-Manar al-Munif, hal.46).

Dr. Yusof al-Qaradhawi di dalam kitabnya Kaifa Nata’mul ma’a al-Sunnah al-Nabawiyah juga telah menjelaskan bahawa terdapat 3 neraca yang perlu dipegang oleh setiap Muslim supaya ia terselamat dari penyelewengan dan tafsiran secara jahil tentang hadith:

1- Memastikan kethabitan/kesahihan sesebuah hadith berdasarkan timbangan ilmiah oleh para ulamak hadith.
2- Memastikan kefahaman yang betul terhadap maksud sesebuah hadith.
3- Memastikan sesebuah hadith itu tidak bercanggah dengan nas/dalil yang lebih kuat darinya iaitu al-Quran dan hadith-hadith lain yang lebih kuat kedudukannya.
(Al-Qaradhawi, Kaifa Nata ‘amul ma’a al-Sunnah, cet. 2, 1996, hal 33-34).

Berbalik kepada hadith popular tentang fadhilat setiap malam solat terawih ini, ternyata ianya gagal untuk melepasi neraca pertama iaitu tidak thabit atau tidak disahihkan oleh mana-mana ulamak hadith. Hadith ini kemungkinan direka oleh puak Syi’ah untuk menonjolkan maqam ketinggian Ali bin Abi Talib yang didakwa oleh imam-imam Syi’ah bahawa beliau banyak menerima hadith-hadith khusus yang tidak pernah diriwayatkan oleh sahabat-sahabat lain.

Hadith ini juga mungkin bertujuan memikat golongan awam yang tidak mengetahui pelbagai kisah dan riwayat. Ia direka oleh penglipurlara jahat supaya masyarakat jahil terpukau dan asyik mendengar ceritanya. Penglipulara ini giat aktif di zaman Imam Ahmad bin Hanbal. Hadith ini juga mungkin direka oleh ahli zuhud dan tasawuf yang menyeleweng bertujuan membangkitkan keghairahan orang awam supaya giat beribadat tanpa ilmu. Inilah penjelasan yang telah diberikan oleh Syeikh Mustafa al-Siba’ie di dalam kitabnya “al-Sunnah wamakanuta fi al-tashri’ al-islami”.

Demikianlah beberapa hadith yang diutarakan di dalam tulisan ini sebagai contoh. Di sana masih terdapat banyak lagi hadith-hadith dhaif dan maudhu’ lain yang disebarkan kepada masyarakat. Tidak dinafikan bahawa sebahagiannya mengandungi makna yang benar dan sesuai dengan syariat malah bertepatan pula dengan kajian yang dilakukan oleh manusia. Contohnya tentang kelebihan dari sudut kesihatan apabila seseorang berpuasa, telah terbukti melalui kajian saintifik. Namun, sejauh mana kebenarannya sekalipun ia masih tetap tidak dibenarkan untuk disandarkan kepada Rasulullah saw. Soalnya bukan untuk menafikan kebenaran fakta tersebut, tetapi ianya untuk mengelakkan dan menghapuskan pendustaan ke atas Rasulullah saw. Jika dalam hal ini diizinkan, maka ianya akan membuka ruang kepada golongan yang lain untuk akan turut mencipta hadith atau berhujah dengan hadith palsu yang berkaitan dengan urusan mereka lalu disandarkan kepada Rasulullah saw. Jangan dianggap bahawa dusta ke atas Rasulullah ini sama sahaja dengan dusta yang dilakukan kepada orang lain. Rasulullah saw bersabda (bermaksud): ((Barangsiapa yang sengaja melakukan pendustaan ke atasku, maka siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka)). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru, marilah seluruh umat Islam untuk kita berhati-hati di dalam urusan agama ini. Renungilah pesanan al-Imam Abdullah ibn Mubarak: “Untuk mengetahui hadith sahih memerlukan kepada penelitian, sedangkan hadith dhaif begitu mudah untuk didapati”. Semoga Allah swt mengampuni dosa-dosa di atas kesalahan yang dilakukan disebabkan kejahilan atau kealpaan seorang manusia. Akhirnya, semoga matlamat ketaqwaan daripada ibadah puasa ini akan diperolehi dan menjadi bekalan untuk menempuhi kehidupan dunia ini seterusnya mencapai kejayaan hakiki di akhirat kelak.

ALLAHU TA'ALA A'LAM.

12 July 2012

SAMBUNGAN BAB 2: RAHSIA BERSUCI DAN SOLAT SERTA YANG BERKAITAN DENGANNYA

Adab-adab Solat dan Hari Jumaat.

Ia terdapat lebih kurang 15 perkara:

  1. Bersiap sedia untuknya iaitu bermula dari hari Khamis dan malam Jumaat dengan membersihkan diri dan membasuh pakaian serta semua persediaan yang sesuai untuk hari tersebut;
  2. Mandi sunat pada hari Jumaat;
  3. Menghiaskan diri dengan membersihkan badan, memotong kuku, memakai wangian, memberus gigi, memakai pakaian yang terbaik dan lain-lain yang disunatkan;
  4. Datang awal ke masjid dalam keadaan berjalan kaki;
  5. Jangan melangkah-langkah tengkok orang ramai dan jangan memisahkan antara dua orang;
  6. Jangan melalui di hadapan orang yang sedang solat;
  7. Berusaha untuk mendapatkan saf yang paling hadapan;
  8. Hendaklah menyempurnakan solat sunatnya atau zikir;
  9. Menunaikan solat sunat selepas Jumaat;
  10. Berada di masjid sehingga waktu Asar. Lebih afdhal jika boleh menunggu hingga waktu maghrib;
  11. Hendaklah berusaha untuk mencari waktu mulia yang ada pada hari Jumaat dengan hati yang khusyuk dan sentiasa berzikir;
  12. Memperbanyakkan ucapan selawat ke atas Nabi s.a.w;
  13. Membaca Surah Al-Kahfi. Disunatkan banyak membaca Al-Quran pada hari Jumaat;
  14. Bersedekah pada hari Jumaat dengan apa sahaja yang kita mampu;
  15. Sunat menjadikan Jumaat sebagai hari untuk amal-amal akhirat dan meninggalkan segala kesibukan dunia.
ALLAHU TA'ALA A'LAM.

11 July 2012

SAMBUNGAN BAB 2: RAHSIA BERSUCI DAN SOLAT SERTA YANG BERKAITAN DENGANNYA

KELEBIHAN SOLAT
Solat merupakan tiang agama dan amalan ketaatan yang paling utama.
Antara adab yang terpenting di dalam solat adalah Khusyu'.

Diriwayatkan daripada Uthman r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Apabila masuk waktu solat yang diwajibkan, lalu seseorangitu menyempurnakan wudhu', khusyu' dan rukuknya, solat tersebut akan menghapuskan dosa-dosanya sebelum itu selagi dia tidak melakukan dosa besar. Begitulah untuk selamanya."~Hadith Riwayat Muslim (228)

Uthman juga meriwayatkan bahawa baginda bersabda yang bermaksud:"Sesiapa yang bersembahyang dua rakaat dalam keadaan tidak bercakap-cakap dalam dirinya, diampunkan segala dosanya yang telah lalu."~Hadith riwayat Bukhari(1/233), Muslim(266), Abu Daud(106, 107) dan An-Nasaie(1/64).

Solat mempunyai rukun-rukun, perkara-perkara wajib dan sunat. Ruhnya ialah niat, ikhlas, khusyuk dan menghadirkan hati. Tanpa kehadiran hati, zikir dan munajat tidak akan memberikan apa-apa makna. Ini kerana sebutan lidah yang tidak lahir dari hati yang sedar seumpama orang yang merepek-repek. Perbuatan berdiri yang bermaksud sedia berkhidmat dan rukuk yang melambangkan kehinaan diri serta keagungan Tuhan, tidak akan membawa apa-apa makna dan maksud sekiranya dilakukan tanpa kehadiran hati. Maka, tinggallah solat tersebut dalam bentuk kerangka atau gambaran yang tidak bernilai.

Bagaimana untuk khusyuk dan sempurna di dalam solat:
  1. Kehadiran hati sebagaimana yang telah disebutkan ~ mengosongkan hati dari segala bentuk yang mengganggu. Jalan untuk mencapainya adalah dengan "himmah" iaitu dengan daya kemahuan yang kuat. Segalanya bergantung dengan kuat atau lemahnya iman seseorang itu kepada akhirat dan sejauh mana dia memandang hina kepada dunia. Punca hati tidak hadir di dalam solat adalah kerana iman yang lemah dan kecenderungan kepada kecintaan kepada dunia;
  2. Memahami makna bacaan ~ dengan memahami makna bacaan akan dapat memaksa diri kita untuk menumpukan perhatian kepada bacaan dalam solat sehingga tiada unsur gangguan yang lain. Proses menghapuskan kecintaan dunia di dalam hati adalah satu proses yang sukar lebih-lebih lagi untuk menghilangkan keseluruhannya. Oleh itu, berusahalah menghapuskan perkara-perkara yang boleh dihapuskan. Sesungguhnya ALLAH TA'ALA akan memberikan taufiq dan bantuanNya bagi mereka yang berusaha.;
  3. Merasai keagungan dan kehebatan ALLAH ~ Ianya terhasil melalui 2 perkara iaitu mengenali (makrifah) kebesaran dan keagungan ALLAH serta mengetahui kehinaan dan perhambaan diri. Kedua-dua makrifah ini akan menghasilkan sifat rendah diri dan khusyuk di hadapan ALLAH. Apabila sifat rendah diri dan khusyuk terbit di dalam hati, maka akan timbul perasaan mengharap. Mengharapkan ganjaran pahala sebagaimana dia bimbang jika kecuaiannya akan mendatangkan seksaan.
Apabila kita membaca "A'uzubillahi Minashaitan Nirrajim", ia bererti kita meminta perlindungan dengan ALLAH. Cuba fahami setiap ayat yang dibaca dan hadirkanlah kefahaman tersebut ketika membaca Surah Al-Fatihah.
"Segala puji tertentu bagi ALLAH Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam."
Hayatilah kelembuatan ALLAH kepada hambaNya ketika membaca:
"Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani"
Hayatilah keagunganNya ketika membaca:
"Yang menguasai pemerintahan hari pembalasan (akhirat)"
dan begitulah seterusnya ketika membaca ayat-ayat yang lain.

Ketika kita ruku', hayatilah perasaan tawaduk. Ketika sujud, jiwailah perasaan bertambah hina dan kita meletakkan diri kita di tempat sebenarnya iaitu mengembalikan diri kepada asal-usul kejadian apabila sujud ke tanah. 

ALLAH TA'ALA A'LAM.

10 July 2012

BAB 2: RAHSIA BERSUCI DAN SOLAT SERTA YANG BERKAITAN DENGANNYA

Dengan Nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
ALHAMDULILLAH, Segala puji-pujian bagi ALLAH Tuhan Semesta Alam yang masih memberi peluang untuk saya berkongsi ilmu yang telah disampaikan kepada saya di dalam Siri-siri Kuliyyah Kitab Mukhtasar Minhajul Qaasidin yang telah disampaikan oleh Ustaz Dr. Abdul Basit Abdul Rahman. ALHAMDULILLAH. Kali ini di dalam Bab 2: membincangkan mengenai rahsia bersuci dan solat serta yang berkaitan dengannya.

Di dalam kitab ini mengatakan bahawa Bersuci terbahagi kepada 4 peringkat:
  1. Menyucikan zahir daripada hadas, najis dan lebihan-lebihan kotoran;
  2. Menyucikan anggoota daripada noda dan dosa;
  3. Menyucikan hati daripada akhlak tercela dan perkara buruk yang dimurkai;
  4. Menyucikan rohani daripada yang lain dari ALLAH  TA'ALA.
Adapun, peringkat yang ke-4 adalah matlamat yang paling tinggi. Bagi sesiapa yang kuat mata hatinya, dia akan sampai ke tahap tersebut. Bagi yang lemah mata hatinya, dia tidak akan memahami peringkat-peringkat bersuci melainkan peringkat pertama sahaja.

Menghilangkan lebihan kotoran terbahagi kepada 2 jenis:
  1. Kotoran yang boleh dihilangkan atau dibersihkan - contoh: kotoran atau benda2 cemar yang melekat di kepala dan disunatkan membersihkannya dengan membasuh, menyikat dan meletakan minyak bagi menghilangkan kekusutannya. Begitu juga sunat membersihkan kotoran pada telinga, hidung, gigi, lidah, ruas-ruas jari jemari dan juga seluruh badan;
  2. Bahagian yang perlu dibuang untuk membersihkannya - contoh: menggunting misai, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari dan memotong kuku. Makruh bagi kita mencabut uban tetapi sunat menginaikannya.
Inilah peringkat pertama bersuci, manakala 3 peringkat yang lain akan dibincangkan di dalam bahagian berkenaan perkara-perkara yang merosakkan dan menyelamatkan. 
Insya ALLAH TA'ALA.

06 July 2012

Sadaqah - Haq orang lain yang ada pada kita

Bila saya melihat kubah surau ini, saya teringatkan kubah Masjid Nabawi. Surau ini dibina atas sumbangan penduduk-penduduk di taman saya.Mungkin juga sumbangan kami masih belum mencukupi untuk membolehkan surau ini disiapkan sebelum Ramadhan. Saya mendapat berita dari AJK Penduduk bahawa surau ini akan sedaya upaya disiapkan sebelum 10 hari terakhir Ramadhan. Mudah-mudahan usaha mereka yang bekerja keras memastikan surau ini yang dibina di atas tanah wakaf ini akan mendapat ganjaran sebesar-besar ganjaran dari ALLAH SWT, begitu jua yang menyumbang secara rahsia, kecil-kecilan, sumbangan dalam bentuk apa sahaja untuk keperluan surau ini akan jua diberi ganjaran yang besar. Aaameeen.

Bagi yang ingin menyumbang, bolehlah emel kepada saya (bieeyah@gmail.com).

"Katakanlah kepada hamba2 Ku yang beriman, 'hendaklah mereka mendirikan solat, menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi ataupun terang-terangan sebelum datang hari (kiamat) yang pada hari itu tiada jual beli dan persahabatan". (Surah Ibrahim:31)

Bersedekah lah kerana di dalam harta kita atau wang yang kita perolehi dari usaha kita itu terdapat jua haq orang lain.

Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
"Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya".(Riwayat Muslim)

ALLAHU TA'ALA A'LAM.

04 July 2012

Hadis-hadis Sahih Mengenai Fadhilat Di Bulan Ramadhan

Marhaban ya Ramadhan...:-)
Ramadhan bakal menjengah dan menjenguk kita...persiapkan diri untuk berjuang di bulan yang mulia ini dengan melatih diri berpuasa sebanyak yang mungkin di bulan Sya'ban. Siapkan diri dengan telekung baru, sejadah baru, tudung baru, kopiah baru, kain pelekat baru, baju baru dan serba serbi baru sekiranya mampu di dalam kita memuliakan Ramadhan. 
Saya cuba mendidik hati agar lebih cenderung kepada akhirat dengan memperbanyakkan sadaqah, dan segala bentuk amalan yang lain yang boleh dibawa bekalan ke dunia akhirat. Saya cuba mendidik nafsu agar memberi segala yang termampu tanpa mengharapkan balasan dari manusia atau ucap kata terima kasih kerna percaya balasan dari ALLAH SWT itu lebih hebat ganjarannya. Pun begitu, kadang-kadang hati ini sukar untuk dididik kerna telah bercampur baur dengan nafsu dan nafsu itulah perlu ditundukkan setiap saat setiap ketika.

Itulah nafsu - Buat kebajikan tetapi mahu dipuji dan diketahui, beri sadaqah walaupun tidak banyak, sudah cukup berbangga dengan sadaqah tersebut dan kadang-kadang menyebut-nyebut sadaqah yang tidak seberapa itu seolah-olah ianya telah 'confirm' diterima ALLAH SWT.

Amal dan sadaqah kita pada zaman ini tidak sehebat amalan para sahabat Nabi SAW. Apakah kita layak untuk berasa ujub, riak dan bermegah-megah dengan sedikit amalan kita yang belum tentu diterima ALLAH SWT? 

Astaghfirullah...saya mohon perlindungan dari ALLAH SWT dari terbitnya perasaan ujub, riak, takabbur dan sombong di dalam beribadah dan beramal, dan saya doakan jua agar sahabat-sahabat semua dihindari dari perasaan yang sedemikian. Sama-sama kita muhasabah diri kita sendiri...InsyaALLAH :-)
Saya sertakan bersama artikel yang disediakan oleh: Saudara Mohd Hairi Nonchi
(Pendidikan Dengan Sains Sosial, UMS) mengenai hadis-hadis Sahih Fadhilat di Bulan Ramadhan. Tidak kira hari yang ke berapa di dalam bulan Ramadhan, kesemua hari-hari tersebut adalah mulia dan kita sewajarnya memuliakan semua hari di dalam Ramadhan. Marilah kita perbanyakkan saham akhirat kita, marilah kita sama-sama bersihkan jiwa kita dari sifat-sifat mazmumah. Inilah bulan dimana kita berpeluang untuk menyerah diri sepenuh jiwa dan raga kepada ALLAH SWT. Sama-samalah kita ya. Dan inilah juga bulan di mana saya mengimpikan sekiranya sudah sampai ajal kematian saya, ALLAH SWT berbelas kasihan untuk mencabut nyawa saya di dalam bulan yang penuh barakah ini dan juga di Tanah Suci...InsyaALLAH :-)

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, dosanya yang telah lalu telah diampuni (oleh Allah)”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Iman – no: 38)

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Demi Dzat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah daripada aroma (haruman) minyak kasturi”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum – no: 1894)

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Sesungguhnya di syurga terdapat pintu yang dinamakan al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari Kiamat. Tidak ada seseorang pun yang akan masuk melalui pintu ini kecuali mereka .Dikatakan: Mana orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka semua berdiri. Tidak ada seorang pun yang masuk melalui pintu ini selain mereka. Apabila mereka semua telah masuk, pintu ini akan ditutup dan tidak ada seorang pun yang akan masuk melaluinya”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum – no: 1896)

Abu Umamah r.a berkata:
“Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Ya Rasulullah! Tunjukkan kepadaku satu amalan yang membolehkan aku memasuki syurga dengan cara itu. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu hendaklah berpuasa kerana sesungguhnya tidak ada satu cara pun yang mampu menandinginya”
(Diriwayatkan oleh Ibn Hibban – no: 3494)

Sabda Rasulullah s.a.w :
“(Allah s.w.t berfirman) : Sesungguhnya dia (hamba) meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya kerana-KU. Puasa (yang dia kerjakan adalah) kerana-KU. Puasa adalah untuk-KU. Sedangkan, AKU memberi balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ini kerana, ia (puasa) adalah untuk-KU dan (sudah tentu) AKU sendiri yang akan memberi balasannya”
(Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwaththa’, Kitab al-Shiyam – no: 603)

Sabda Rasulullah s.a.w :
“ Setiap amal kebaikan anak Bani Adam pahalanya (dicatat oleh malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-KU dan AKUlah yang memberi pahala puasanya”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Libas – no: 5927)

Al-Hafidz Ibn Hajar al-Asqalani r.h berkata mengenai hadis di atas:
“ Ibadah puasa ini dianggap sebagai ibadah khusus untuk Allah kerana ia bebas daripada unsur riak. Ini kerana, perlaksanaannya tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Orang yang sedang berpuasa dan orang yang tidak berpuasa sama sahaja dari segi luarannya. Berbeza dengan ibadah seperti solat, membaca al-Quran, berzikir atau bersedekah yang mana perlaksanaannya dapat dilihat secara terbuka dan membuka ruang timbulnya perasaan riak. Oleh itu al-Imam al-Qurtubi r.h berkata: Disebabkan semua amal perbuatan yang ada ini dapat dimasuki unsur riak, sedangkan puasa itu hanya dilakukan semata-mata kerana Allah, tidak hairanlah Allah menisbbahkan puasa itu kepada diri-Nya”
(Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Baari, jilid 11, halaman 20)

Sebar-sebarkanlah risalah ini. Rasulullah s.a.w bersabda
“Sesiapa yang menunjukkan suatu kebaikan, maka dia akan memperoleh pahala (sama) seperti pelakunya ”
(Diriwayatkan oleh Muslim, at-Tirmizi, Ibn Hibban, al-Baihaqi dan at-Thabrani daripada Ibnu Mas’ud al-Badri r.a)

Mudah-mudahan artikel kali ini memberi manafaat buat yang membaca. :-)
Wallahu Ta'ala A'lam