31 December 2010

Kematian...satu peringatan

Berpisah sudah segalanya, yang tinggal hanyalah kenangan....diiring doa dan air mata, yang pergi takkan kembali lagi...terngiang-ngiang lagu dari kumpulan Rabbani, dinyanyikan oleh arwah Ust Asri
dalam seminggu nie, saya menerima beberapa berita kematian:

  1. Arwah Devano Hasbi yang telah pergi meninggalkan dunia pada rabu 29 Disember - senior di UIA dulu, satu negeri, mengambil jurusan Undang-undang
  2. Ayah kepada isteri pakcik sebelah ibu - yang baru sahaja meninggal semalam 30 Disember
  3. dan beberapa berita kematian yang dikhabarkan oleh sahabat-sahabat yang lain...
Semoga ALLAH swt sentiasa mencucuri rahmat ke atas ruh mereka dan ditempatkan bersama hamba-hambaNYA yang soleh dan dibukakan mana-mana pintu syurga buat mereka...Al-Fatihah...dan bagi kita yang masih hidup ini, mudah-mudahan kematian kita juga di dalam keadaan Husnul Khatimah...InsyaALLAH.

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.” (QS. 29:57)
Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang gaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (QS. 62:8)
Mengiringi jenazah arwah semalam di perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara...memberi peringatan sebenarnya kepada yang masih hidup, adakah kita bersedia untuk mati...apakah amalan di sebelah kanan kita lebih berat dari yang di sebelah kiri, apakah tujuan hidup sebenar kita telah kita penuhi...dan paling menginsafi diri = tidak ada satupun kepunyaan kita, hatta diri kita sendiri kerana segala-galanya adalah kepunyaan ALLAH swt. Bersyukurlah kita di atas segala nikmat yang telah diberikan, di atas segala pinjaman yang telah diberi di atas dunia ini...Syukur ALHAMDULILLAH!

Selesai sudah perjuangan hidup arwah di dunia....yang masih hidup ini perlu meneruskan perjuangan dan amanah yang telah diberikan lama dahulu semasa ruh ditiupkan di dalam perut ibu lagi...

Kita yang diciptakan seorang diri, haruslah juga sedar bahawa kita juga akan mati seorang diri, dikuburkan seorang diri dan kemudiannya ditinggalkan di dalam tanah seorang diri...untuk dipersoalkan mengenai kehidupan kita semasa di dunia. Yang hidup akan meneruskan perjuangan kehidupan samada mengikut jalanNya atau menyimpang jauh dari jalanNya...

Tahun baru Islam telah hampir sebulan berlalu....tahun baru masihi bakal menjengah keesokan harinya...bersyukur di atas segala nikmat yang telah diberi selama hidup dan marilah kita sama-sama muhasabah diri kita, apakah kita sudah cukup bersyukur di atas segala nikmat kehidupan yang telah dilimpahkan oleh ALLAH swt? Nikmat kesihatan, nikmat kasih sayang, nikmat penglihatan, nikmat percakapan, nikmat pendengaran, nikmat pergerakan, nikmat kenyang dan lapar, nikmat menghirup serta memnghidu udara segar dan pelbagai nikmat yang tidak dapat kita hitungkan sepanjang kehidupan kita...

Syukur ALHAMDULILLAH...itu yang mampu kita ucapkan di atas nikmat yang tidak terhingga dan berusahalah kita menjadi hamba-hambaNya yang sentiasa bersyukur...InsyaALLAH.
Wallahu'alam

24 December 2010

Hati-hati di dalam mempraktikkan Konsep 1Malaysia

Salam Ukhuwah...
Dewasa ini banyak sungguh iklan, promosi bergerak dan berita-berita yang mempromosikan 1Malaysia oleh YB-YB kita...di mana-mana, ada sahaja promosi memperkasakan 1Malaysia.
Menurut Bahagian Penerbitan Dasar Negara - "Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri MohdNajib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat.Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara 1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. ‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan".
Pandangan peribadi saya, konsep 1Malaysia itu memang penting di dalam membangkitkan keharmonian di kalangan penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan mempunyai sensitiviti yang berbeza. Elemen-elemen perpaduan bagi mewujudkan sikat hormat-menghormati, saling mempercayai, telus, amanah jujur dan amalan-amalan murni sememangnya disarankan di dalam Islam untuk dipraktikkan sesama Muslim dan juga yang bukan Muslim.

Sikap hormat-menghormati sesama jiran tetangga yang berlainan agama dan bangsa perlu di dalam mencapai kehidupan yang harmoni dan aman damai.

Walaubagaimanapun, di dalam keghairahan mempraktikkan keharmonian hidup, kesucian Islam dan pegangan aqidah kita perlu dipertahankan. Janganlah kerana ghairah dengan 1Malaysia, agama pun hendak disatukan dengan mengadakan Kongsi Raya. Aidil Fitri dan Aidil Adha dan perayaan-perayaan Islam yang lain boleh dirayakan oleh semua bangsa...tetapi, sekiranya orang Islam ingin merayakan perayaan-perayaan agama yang lain, seolah-olah kita sebagai umat Islam mengakui dan membenarkan bahawa ada Tuhan selain Allah SWT. 

Persoalan mengenai merayakan bersama perayaan agama penganut agama yang lain, pernah diajukan di dalam majlis ilmu soal jawab bersama ustaz di Yayasan Ta'lim, TTDI. Menurut Ustaz Yunus, "Merayakan bersama perayaan Hari Krismas, bermakna kita membenarkan konsep trinity yang dianuti oleh penganut agama kristian, merayakan bersama Deepavali bermakna kita membenarkan dan mengakui adanya tuhan cahaya yang dipercayai oleh penganut agama hindu di dalam menentang tuhan kegelapan, dan sebagainya. Tidak salah bagi kita hadir sekiranya dijemput untuk menghadiri jamuan harijadi, jamuan makan jiran, kawan-kawan, saudara mara yang bukan Islam untuk merayakan bersama-sama. Tetapi, sekiranya jemputan tersebut bersempena dengan perayaan keagamaan mereka, seboleh-bolehnya kita menolak jemputan tersebut dengan penuh tertib dan berhemah agar tidak mengguris hari mereka dan dengan alasan yang kuat bahawa ianya bersangkutan dengan aqidah Islamiah kita yang tidak boleh ditolak ansur."

Aqidah Islamiah itu lebih penting dipertahankan. Jangan dek terlalu ghairah mensatukan Malaysia sehingga tanpa sedar kita mensatukan agama yang pelbagai atas nama 1Malaysia.
Yang perlu di 1Malaysia-kan adalah keharmonian, perpaduan, sikap hormat-menghormati, sikap belas kasihan, semangat kejiranan dan banyak lagi...bukannya menyatukan agama dengan merayakannya bersama di bawah naungan dan atas nama 1Malaysia. Banyak lagi cara yang lain di dalam kita membangkitkan keharmonian dan perpaduan dikalangan rakyat yang berbilang bangsa dan agama tanpa mencemarkan ketauhidan dan aqidah Islam kita...Wallahua'lam.

08 December 2010

Salam Hijrah 1432...

Hijrah - peristiwa hijrah merupakan permulaan tegaknya negara Islam yang dipimpin oleh baginda Rasulullah saw. Hijrah juga merupakan titik tolak perjuangan dan pengorbanan umat Islam terdahulu dalam mengembangkan Islam sehingga ke pelusuk dunia.
Kejayaan Rasulullah saw dan sahabat-sahabat baginda sehingga tertubuhnya negara Islam pertama bukanlah jalan yang mudah. Usaha dakwah di Mekah selama 13 tahun sentiasa ditentang oleh kafir quraisy di Mekah.
Menyedari usaha dakwah di Mekah tida membuahkan hasil disebabkan pemikiran kafir quraisy yang berhati batu dan cenderung kepada kesesatan dan kemungkaran, Rasulullah saw mula merancang untuk menyebarkan dan meluaskan dakwah kepada masyarakat lain dan mencetuskan kemungkinan untuk berhijrah dari Mekah..
Penghijrahan dari Mekah ke Madinah dilakukan agar Rasulullah saw dan para-para sahabat dapat meneruskan dakwah dan menyampaikan risalah Islam. Hebatnya perjuangan Rasulullah saw dan para sahabat di dalam menegakkan dan memperjuangkan Islam...hebat juga semangat dan ketabahan baginda dan para sahabat di dalam meninggikan Islam...
Semangat yang sebegitu dilihat sudah pupus dikalangan umat Islam masa kini. Islam  masa kini diperlekehkan, kita tidak mampu untuk mempertahankannya, praktikaliti yang Islamiah mengikut sunnah sudah dianggap aneh bagi kebanyakan umat Islam, amalan-amalan yang tidak dipraktikkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat dibesar-besarkan sehingga menjadi satu kebiasaan, akidah kita umat Islam dipermainkan dan dirobek dengan begitu senang, hukum Islam yang amat adil dianggap berat sebelah oleh sesetengah pihak, lemahnya pelaksanaan hukum berpandukan Islam sehingga ada yang merasakan agama sudah tidak mampu mempertahankan mereka yang menganutnya, Islam kebanyakannya hanya pada ritualnya dan bukan menyeluruh kepada amalan kehidupannya...
Fitnah dan cabaran umat Islam masa kini dirasakan hebat...dengan isu keruntuhan moral dikalangan  anaka-anak dan remaja Islam, pembuangan bayi dan zina remaja-remaja Islam semakin berleluasa, dan berbagai-bagai lagi cabaran yang perlu kita hadapi...

Hijrah...secara totalnya, perlukan pengorbanan, ketabahan, semangat, istiqamah untuk berubah dan melakukan perubahan...segalanya memerlukan jati diri yang kental di dalam memperjuangkan Islam...kita bukan sahaja dilahirkan di dalam Islam, dibesarkan di dalam suasana Islam, di dalam negara Islam...alangkah malunya kita bila segalanya mudah bagi kita untuk merealisasikan amalan Islam, kita hanyut di bawa arus yang bertopengkan pemodenan dan pembangunan...

Mudah-mudahan hijrah kali ini memberi makna yang tak ternilai buat kita...di dalam melakukan perubahan diri, keluarga, persekitaran, dan negara amnya...

Wallahua'lam.

04 December 2010

Kifarah...

Dosa-dosa apakah yang telah dilakukan sehingga memdapat kifarah seperti ini...apa-apapun REDHA dan SABAR, kuncinya...Ya! hambaMU banyak berdosa Ya ALLAH...dengan sedikit peringatan dariMU, hampir-hampir lagi tergelincir lebih jauh...kesulitan serta kepayahan yang secuit telah ENGKAU turunkan pada hambuMU yang lalai ini, itupun dirasakan berat, belum lagi yang betul-betul berat...
  1. Ditarik serba sedikit nikmat harta benda, baru sedikit dah gelabah;
  2. Dicuit sedikit nikmat kesenangan hati, dah rasa marah;
  3. Dijauhkan dari orang yang dekat dengan kita, sudah rasa kehilangan dan kesunyian;
  4. Dicarik sedikit demi sedikit ketenangan fikiran, dah rasa hilang entah ke mana...
Begitulah sayangnya ALLAH pada hambaNYA...diuji di dunia agar lebih sedar ujian itu tidaklah ada apa-apa berbanding dengan di Padang Mahsyar nanti, itupun dah gelabah tak tentu hala...

Berlapang dadalah wahai hati, rendahkanlah dirimu wahai hati...ingatlah semua itu bukanlah milikmu hatta perasaanmu sekalipun...segala-galanya adalah milik ALLAH swt...Ingatlah! dengan mengingati ALLAH swt sahajalah hati akan menjadi tenang...SubhanALLAH, Astaghfirullah!

Janganlah kamu merasa kehilangan wahai diri kerana kamu sebenarnya tidak punya apa-apa!
Wallahua'lam