10 December 2007

The ESQ 165 Way - Perjalanan Mencari Tuhan

Sudahkah kita menuju Jalan Mencari Tuhan, Apakah kita berjaya di dalam pencarian kita mencari Tuhan, Apakah kita hidup di dalam landasan yang telah ditetapkan oleh Tuhan atau apakah kita masih mencari-cari Tuhan atau apakah kita masih lagi tersasar jauh dari Jalan Tuhan???

Majalah I bulan Disember 2007, mengutarakan mengenai Dakwah Bentuk Baru alaf millennium sekarang ini…antara tumpuan utamanya adalah Taining ESQ “The ESQ 165 Way” yang telah dipelopori oleh Pak Ari Ginanjar.

Menurut Pak Ari, “Masyarakat kita rajin melakukan ibadah ritual seperti solat, puasa, zakat, umrah dan menunaikan haji. Malangnya ramai yang melakukannya dengan perasaan yang kosong kerana masih belum tertanam keyakinan tentang kebesaran Allah SWT yang Maha Berkuasa, seperti keyakinan yang diperolehi oleh nabi Ibrahim, Nabi Musa semasa di Bukit Thursina atau Nabi Muhammad s.a.w di gua Hira’”. Jika keyakinan akan kewujudan kebesaran Allah SWT ada pada seseorang sehingga ia sedar bahawa ia senantiasa dilihat oleh Allah SWT, sudah pasti tidak akan berlaku salah laku sama ada di dalam kehidupan sosial, semasa bekerja dalam syarikat atau semasa melaksanakan tugas yang diamanahkan negara. Training ESQ merupakan perjalanan spiritual yang berusaha memberikan keyakinan tersebut....

Saya berpandangan tidak perlu sehingga ke bulan atau ke angkasa untuk mencari Tuhan…perjalanan mencari Tuhan boleh dilakukan di mana-mana sahaja, dengan cara apa sekalipun dan dengan kos sebanyak mana pun kerana apa yang pentingnya adalah usaha untuk mencari Tuhan itu senantiasa ada di dalam diri kita.

Kita imbas kembali pencarian oleh Nabi Musa di dalam mencari Tuhan. Nabi Musa lalu naik ke Gunung Thursina. Sebagaimana yang dikisahkan dalam Al-Quran, ”Dan ketika Musa datang untuk bermunajat pada waktu yang ditentukan dan Tuhan telah berfirman langsung kepadanya, Musa berkata, ”Ya Tuhanku, perlihatkanlah diri-Mu kepadaku agar aku melihat Wngkau”. Allah berfirman, ”Engkau tidak akan sanggup melihat-Ku, namun lihatlah ke gunung itu, jika ia tetap di tempatnya (sebagai sedia kala) nescaya engkau dapat melihat-Ku.” Maka, ketika Tuhan menampakkan keagungan-Nya, gunung itu hancul luluh. Musa pun jatuh pengsan. Setelah Musa sedar, dia berkata, ”Maha suci Engkau, aku bertaubat kepadaMu dan aku adalah orang yang pertama beriman”. (QS 7:143)

Begitulah pencarian Musa di dalam perjalanan mencari Tuhannya. Sehingga kemudiannya Musa bertasbih, bertaubat dan mengakui sebagai orang yang beriman. Musa yakin setelah melihat gunung hancur tatkala melihat keagungan Tuhan. Keyakinan yang sedemikian itulah barangkali sudah hilang pada umat Islam sehingga berada pada keadaan yang umbang ambing.

Apakah bencana Tsunami belum cukup untuk memperlihatkan kekuasaan Tuhan kepada kita? Apakah bencana alam seperti banjir besar yang tidak disangka-sangka belum lagi cukup untuk menunjukkan kepada kita bahawa ada satu kuasa Yang Maha Besar Merajai dunia alam semesta ini? Maha Suci Allah yang Menjadikan sesuatu daripada tiada kepada ada, dan meniadakan benda yang telah ada!

Bagi saya, usaha Pak Ari adalah salah satu usaha murni dan suci di dalam melahirkan satria-satria Islam yang berjiwa kental dan gagah seperti sahabat-sahabat nabi di zaman Rasulullah s.a.w dahulu. Satria-satria yang berjuang di dalam bidang masing-masing dengan satu tujuan iaitu kerana kecintaan kepada Allah SWT. Kecintaan kepada Allah SWT melebihi cinta pada diri sendiri, pada tulang dan daging yang ada dalam diri kita...di mana kita hidup kerana Allah SWT, di saat kita menutupkan mata kita adalah kerana Allah SWT, dan di saat kita bangun dari tidur, sentiasa dipenuhi kecintaan kepada Allah SWT. Subhanallah....

Di dalam wawancara Majalah I ini, Pak Ari berpesan ”Jangan ada yang hidup sekadar dunia. Jika ada alasan seperti itu betapa ruginya kita. Hidup hanya untuk menuju Allah SWT. Hidup tidak lama. Jangan membuatkan diri kita mencintai dunia".

Banyak lagi sebenarnya yang ingin diperkatakan mengenai wawancara Majalah I dengan Pak Ari...setiap maklumbalas kepada persoalan dijawab dengan hemah dan indah sekali...Indahnya Allah, dan besarnya tanggungjawab kita sebagai Khalifah Allah SWT di bumi ini...tugas-tugas kita bukan sekadar menjadi pekerja terbaik di syarikat, atau menjadi anak yang terbaik kepada kedua ibu-bapa kita, atau menjadi isteri atau suami yang terbaik bagi pasangan kita, atau menjadi ibu atau ayah yang terbaik kepada anak-anak kita, tetapi....tugas utama kita adalah menjadi Hamba Allah SWT yang terbaik. Bila kita menjadi Hamba Allah SWT yang terbaik, sekaligus kita akan membuat yang terbaik untuk yang lain-lainnya...InsyaAllah

Waalahua'lam

No comments: