26 November 2007

Ketika Cinta Bertasbih (Dwilogi Pembangun Jiwa – Episod 1)

Ketika Cinta Bertasbih (Dwilogi Pembangun Jiwa – Episod 1) – RM21.90

Membaca karya Habiburrahman seolah-olah memasuki dunia di dalam novel Ketika Cinta Bertasbih ini…seolah-olah saya juga turut berada di Kaherah (Cairo), Iskandariah dan tempat2 yang disebutkan di dalam novel ini…dan yang lebih mengesankan adalah karektor Azzam yang cekal, mempunyai semangat yang kuat, azam yang tekad untuk menimba ilmu di bumi anbiya’ ini, dan juga mencari rezeki untuk menampung pembelajaran beliau dan perbelanjaan keluarga di kampong.

Bagi anda yang pernah menghadapi keperitan hidup di luar Negara samada atas sebab pembelajaran atau bekerja, tika mana anda membaca novel ini, suka duka untuk mendapatkan ilmu dan bertahan hidup benar-benar kuat dirasakan. Kerinduan kepada keluarga yang jauh, sedikit rasa takut dan risau menghadapi kehidupan di Negara orang juga dirasakan. Kesungguhan Azzam dan pelajar yang lain menghadapi kehidupan di bumi Mesir dirasakan sepanjang membaca novel Ketika Cinta Bertasbih ini.

Novel ini juga sarat dengan deskripsi pemandangan Cairo, Alexandria dan tempat2 yang lain yang dilalui oleh watak utama, Azzam juga diselitkan dengan peringatan-peringatan dari firman-firman Allah s.w.t. Seperti contohnya: - penulis menggambarkan pemandangan indah Alexandria dari tingkap sebuah hotel – terbentang benteng Qaitbai dan laut yang terbentang luas. Kapal-kapal yang berlabuh terletak berjauhan antara satu sama lain. Firman Allah s.w.t yang indah di dalam Surah Luqman: 31 – Tidakkah engkau memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di lautan dengan nikmat Allah, agar diperlihatkanNya kepadamu sebahagian dari tanda-tanda kebesaranNya. Sungguh pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kebesaranNya bagi setiap orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur (Luqman:31)

Ada satu episode yang terkesan di hati saya – Resepi Cinta Ibnu Athaillah

“Tidak ada yang dapat mengusir syahwat atau kecintaan pada kesenangan duniawi selain dari rasa takut kepada Allah yang menggetarkan hati, atau rasa rindu kepada Allah yang membuatkan hati merana!”…Subhanallah

Kecintaan kepada seorang lelaki kepada seorang perempuan atau sebaliknya itu adalah syahwat. Hampir semua orang yang jatuh cinta merasakan apa yang dirasakan oleh Fadhil kepada Tiara. Dan perasaan itu tidak akan dapat dikeluarkan oleh keduanya kecuali mereka memiliki 2 perkara:-

  1. Rasa cinta kepada Allah yang sangat luar biasa sehingga menggetarkan hati. Sehingga ketika yang ada di hati adalah Allah, yang lain dengan sendiri akan menjadi kecil dan terusir
  2. Rasa rindu kepada Allah yang Maha dahsyat sampai hati merana. Jika manusia merasa merana kerana merindui Allah, manusia tidak akan merana kerana rindu pada yang lain. Jika manusia sudah sibuk memikirkan Allah, manusia tidak akan sibuk memikirkan yang lain

”Mencintai makhluk sangat berpeluang untuk menemui kehilangan. Kebersamaan dengan makhluk juga berpeluang mengalami perpisahan. Hanya cinta kepada Allah yang tidak. Jika kau mencintai seseorang ada 2 kemungkinan diterima atau ditolak. Jika ditolak pasti sakit rasanya.namun jika kau mencintai Allah pasti diterima. Jika kau mencintai Allah, engkau tidak akan pernah merasa kehilangan. Tidak akan ada yang merebut Allah yang kau cintai itu dari hatimu. Tidak akan ada yang merampas Allah. Jika kau bermesraan dengan Allah, hidup bersama Allah, kau tidak akan pernah berpisah denganNya. Allah akan sentiasa menyertaimu. Allah tidak akan berpisah darimu. Kecuali kamu sendiri yang berpisah dariNya. Cinta yang paling membahagiakan dan menyembuhkan adalah cinta kepada Allah ’Azza wa Jalla.” – mukasurat 404

Ya...cinta manusia selalunya kita akan kecewa, tapi cinta Allah akan kekal selamanya, tiada rasa kecewa, tiada rasa putus asa, tiada kesakitan dirasai, malahan kita juga akan mendapat cinta manusia....agungnya cinta Allah itu....

Saya percaya ramai yang telah membaca novel ini, ramai yang teruja bilamana membaca novel ini dan ramai juga yang telah membaca novel Ayat-ayat Cinta....saya pula baru sahaja membeli novel Ayat-ayat Cinta dan bakal dibaca pada minggu ini...InsyaAllah...harap-harapnya Ketika Cinta Bertasbih Episod 2 akan dikeluarkan tidak lama lagi...

23 November 2007

Rakyat Malaysia Sakit Mental???

Salam 165
Tiga juta rakyat Malaysia disahkan sakit mental (Utusan Malaysia – 23 November 2007)

SUNGAI PETANI 22 Nov. - Sebanyak 16 peratus atau tiga juta daripada 26 juta penduduk di negara ini disahkan mengalami sakit mental dan jumlah ini adalah sesuatu yang membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Katanya, penemuan data terbaru Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan bagi tahun 2006 mendapati kes gangguan mental di kalangan rakyat Malaysia meningkat sebanyak hampir 6 peratus berbanding kajian yang dijalankan 10 tahun lepas.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 20.3 peratus adalah di kalangan kanak-kanak dan remaja berusia bawah 16 tahun.

“Antara faktor tekanan jiwa di kalangan remaja adalah kerana gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, tekanan daripada keluarga dan sekolah, serta tiada sokongan masyarakat,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Katanya, ada di antara murid sekolah tertekan kerana tidak mendapat semua A dalam peperiksaan dan kemudiannya mereka dihina dan dikatakan bodoh serta tidak berguna untuk hidup, jadi mereka mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah iaitu dengan membunuh diri.

Chua berkata, daripada jumlah itu juga, sebanyak 11.2 peratus adalah pesakit di kalangan orang dewasa dan 19.5 paratus di kalangan warga emas yang berusia melebihi 70 tahun.

“Masalah kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan, beban penyakit itu memberi kesan kepada masyarakat dan negara, dan kos perubatan untuk pesakit mental adalah semakin tinggi, manakala pesakit pula sering tidak mendapatkan rawatan awal kerana percayakan rawatan bomoh,” kata beliau.

Kes membunuh diri juga didapati semakin meningkat dengan sebanyak 20 hingga 30 orang daripada setiap 100,000 rakyat Malaysia membunuh diri setiap tahun.

MasyaAllah, ramainya yang menghadapi tekanan jiwa di Malaysia, belum lagi dihitung dan dijumlahkan seluruh dunia….

Adakah anda dan saya menghadapi tekanan jiwa? Adakah kita tergolong di dalam 16% dari penduduk Malaysia yang berpenyakit mental. Minta dijauhkan...!

Yang amat menakutkan adalah bila generasi-generasi yang baru sudah mula mengalami gangguan jiwa dan mental…bagaimanakah mereka hendak menjadi pewaris Negara dan memimpin Negara di masa akan dating sekiranya dari awal pertumbuhan kanak-kanak sudah mengalami penyakit jiwa? Besar dan beratnya tanggungjawab ibubapa masa kini di dalam mendidik anak-anak supaya menjadi pemimpin yang tegar pada masa akan datang. Saya tidak dapat membayangkan sekiranya pemimpin akan datang itu datangnya dari kanak-kanak yang mengidap penyakit mental…hancur dan musnahlah sesebuah Negara itu….!

Bagi saya jalan penyelesaian sudah berada di hadapan mata…kembali kepada jalan fitrah yang telah disampaikan kepada kita 1400 tahun dahulu…kembali kepada jalan yang berpandukan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Konsep Ihsan, Iman dan Islam perlu dan wajib diterapkan di dalam setiap diri kita dan generasi-generasi kita…kecintaan kepada Allah dan Rasul adalah seperti makanan ruji yang perlu diisi di dalam hati kita. InsyaAllah kita tidak akan menjadi golongan 16% yang berpenyakit mental di Malaysia.

Semoga kita menjadi Rakyat Malaysia yang bebas dari tekanan jiwa dan minda. Aamin

09 November 2007

ESQ Mission Statement Angkatan 1 – Hotel Crown Princess, KL

ESQ Mission Statement yang diadakan di Hotel Crown Princess KL ku rasakan telah berakhir dengan penuh keberkatan, keinsafan dan penuh semangat untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t di dalam setiap ibadah yang dilakukan…InsyaAllah

Di awal seminar, pembukaan telah diserikan dengan persembahan dari Kumpulan Raihan…Alhamdulillah dengan Lagu Selawat mudah-mudahan akan bertambah berkat seminar ini…dan terkesan di setiap hati para alumni yang hadir.

Pak Ari Ginanjar penyampai utama di dalam seminar tersebut berjaya membawakan para alumni ke dalam satu dimensi mengenali Allah s.w.t dengan lebih jauh lagi…

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah s.w.t” begitu terkesan di hati walaupun sejak dari kecil lagi di dalam setiap solat dibacakan ayat ini…tetapi hanyalah sebagai satu perkataan arab dan pembacaan di dalam solat sahaja…cuba juga dimengertikan dan difahami maksud tersirat dan yang memang telah nyata...faham dan mengerti apa maksudnya…tetapi selalu tidak menyentuh hati…sesekali ada ketika terasa diri dekat dengan Allah s.w.t….tapi that moment mungkin tidak selalu aku alami di dalam hidup ini….dan mungkin juga bagi kawan-kawan yang lain…

The ESQ 165 Way telah dibincangkan kembali untuk mengingatkan para alumni mengenai 165. Bagaimana untuk mengaplikasikan di dalam kehidupan seharian – Physical, the Intelligent Quotient, Mental, the Emotional Quotient dan Spiritual, the God Spot atau lebih dikenali sebagai Suara Hati.

What is our ultimate vision in life?
What is our ultimate mission in life?
And What is our values - every day values that must be practiced to achieve the vision?

Semuanya terjawab di dalam seminar ESQ Mission Statement.

Kami juga diperingatkan kembali mengenai 7 dasar ESQ:
Jujur
Tanggungjawab
Wawasan
Disiplin
Kerjasama
Adil
Prihatin
Nilai-nilai yang sememangnya telah ada di dalam setiap diri manusia sejak lahir lagi…

Banyak lagi ilmu yang telah dipelajari di dalam seminar ini…program yang panjang dari pagi sehingga ke malam tidak terasa panjangnya…seolah-olah masa dilambatkan untuk kami menikmati dan menghayati isi kandungan yang telah disampaikan oleh Pak Ari Ginanjar….

Alhamdulillah…visi, misi dan nilai hidup semakin nyata jelasnya...InsyaAllah.
InsyaAllah, Training ESQ 165 akan memasuki Kota Singa pada Disember 2007 nanti...

05 November 2007

Kerana Dia Cinta - Izza Aripin


Malam – termenung sekejap melihat rak buku aku tuh…dah lama dah tak baca novel…malam nie aku nekad habiskan satu novel...


Pengarang : Izza Aripin
Halaman : 585
Tahun : 2007
Terbitan : Kaki Novel Enterprise
Harga : RM18.00
Sinopsis:

Gia ~ dia mencari cinta di dalam sebuah perkahwinan. Perkahwinan tanpa cinta baginya adalah tidak bermakna. Namun, dia tidak dapat menghalang perkahwinan yang diaturkan untuknya atas dasar mengembangkan perniagaan. Lantas, dia protes sepanjang pertunangannya dan perkahwinannya yang telah diatur oleh keluarganya. Protesnya menyebabkan hidupnya tidak tenang dan perkahwinannya tersadai di pertengahan jalan. Mengahwini seorang lelaki yang tidak dia cintai menyebabkan dia menjadi keras hati dan tegar untuk memutuskan perhubungan tersebut setelah dia melahirkan jiha yang kurang bulan…dengan mengkhabarkan kepada keluarganya dan keluarga ryan bahawa bayi dalam kandungannya telah meninggal dunia. Gia terus mancari cinta dan dia telah menemui cinta yang sebenarnya sebelum menemui cinta dari reez.

Ryan ~ bagi dia, perkahwinan adalah transaksi perniagaan untuk mengembangkan perniagaan sedia ada dan mencapai impian dia yang ingin menjadi seperti Donald Trump. Ryan tidak perlukan cinta…selepas berkahwin, dia hanya perlu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan terus mengejar impian dia menjadi seperti Donald Trump. Dia belum dapat merasai cinta walaupun telah berkahwin denganGia…dalam mencari erti cinta, dia terpaksa membayarnya dengan harga yang paling mahal…kebahagiaan rumahtangganya diragut olehnya sendiri…di saat dia baru sahaja mengenal erti cinta, tanpa sedar dia telah mengkhianati kesetiaan isterinya.

Dena ~ kerana inginkan kemewahan, dia sanggup mengkhianati kebahagiaan dan pengorbanan sahabatnya sendiri. Demi harta, dia sanggup menggadai apa sahaja yang ada pada dirinya semata-mata mendapatkan apa yang diingininya…dan tanpa sedar, dia terperangkap dengan perbuatannya sendiri.

Apakah kesudahan cerita…? Dapatkah Gia menemui cinta yang dicarinya…? Bolehkah Ryan dengan selamanya hidup tanpa cinta…? Apakah kesudahan nasib Dena…Apakah terbalas semua perbuatannya…?


Bacalah dan selongkarlah persoalan menarik di atas di dalam Kerana Dia Cinta karya Izza Aripin ini.