Tuesday, June 7, 2016

Muhasabah Diri : Bagaimana Sikap Yang Ada Bagi Orang Yang Memberi Hutang (Ramadhan Hari 2)

Orang yang memberi hutang janganlah sombong kerna keupayaan memberi pinjaman kepada yang kurang berupaya. Padahal rezeki yang diterima pemberi hutang itu datangnya dari Allah dan milik Allah semata. Antara sikap yang perlu diterapkan oleh pemberi hutang adalah:
  1. Ikhlas dan redha - merupakan syarat utama dalam muamalat atau sistem ekonomi Islam, saling meredahai antara kedua belah pihak dalam satu akad yang difahami. Bila pemberi hutang ikhlas dan redha, tiada stress di dalam kehidupannya. Dia percaya Allah akan memberi lebih rezeki kepadanya sekiranya dia menyenangkan beban yang berhutang.
  2. Kadar hutang diketahui ketika hutang dibuat - Sama ada dalam bentuk sukatan, timbangan, bilangan atau ukuran supaya barangan ini boleh dipulangkan seumpama dengannya atau lebih baik daripadanya. Dalil tentang cara mengurus hutang ini seperti menulis jumlah hutang, tempoh hutang dan mengadakan saksi telah digariskan dengan jelas oleh Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 282.
  3. Hutang sunat ditulis - Ini bukanlah syarat, tetapi masalah hutang zaman ini yang tidak ditulis menyebabkan penghutang lupa mengenai hutang mereka. Ramai orang kini lebih senang meminta hutang tetapi buat buat lupa membayar hutang walaupun akad janji secara lisan telah dibuat. Contoh: "Aku akan bayar hutang yang dipinjam pada sekian-sekian bulan."  Tetapi, perkara tersebut jarang-jarang berlaku sehingga pemberi hutang pula kelihatan seperti meminta sedekah kepada yang berhutang, untuk menuntut hutang mereka. Hukumnya jatuh kepada wajib jika dikhuatiri menimbulkan permusuhan dan perselisihan pada masa akan datang. Sedangkan hutang dengan bank yang bertulis dan ditandatangani oleh kedua dua belah pihak pun, ada penghutang yang lari dari hutang, inikan pula perjanjian bayar balik secara lisan.
  4. Tidak boleh mengenakan bayaran tambahan ke atas hutang - Jumlah tambahan dikenali sebagai riba. Sekiranya anda memberi hutang sebanyak RM1000, bayaran baliknya hendaklah RM1000. Sebab itulah, ada yang sanggup tidak meminjam dari bank yang mengenakakan riba kepada penghutang. Sekiranya orang yang berhutang memberi lebihan ketika memulangkan hutangnya, perkara tersebut adalah dibenarkan tetapi tidak lah boleh dijadikan sebagai syarat dari awal.
  5. Melonggarkan syarat hutang - memberikan kelonggaran waktu kepada penghutang adalah lebih baik. Rasulullah SAW bersabda; “Barang siapa yang memberikan kelonggaran waktu pada hutangnya orang fakir dan miskin atau membebaskannya, maka Allah memberikan kepadanya naungan di hari kiamat di bawah naungan arasyNya, ketika tidak ada naungan kecuali naunganNya .” Riwayat Imam Al Tirmizi. Walaubagaimanapun, sekiranya penghutang tersebut orang yang mampu, tetapi tidak membayar hutangnya, mendahulukan kesenangan dari membayar hutang, saya berpandangan itu adalah perkara yang tidak wajar dilakukan oleh penanggung hutang. Contoh: membeli pakaian baru, melancong / bercuti, membeli emas, memberi kemewahan kepada keluarga, dan lain-lain berupa kesenangan dan kemewahan lebih diberi keutamaan dari membayar hutang yang ditanggung.

Dalam Sahih Muslim pada Bab ‘Keutamaan berkumpul untuk membaca Al Qur’an dan dzikir’, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, 
“Barangsiapa meringankan sebuah kesusahan (kesedihan) seorang mukmin di dunia, Allah akan meringankan kesusahannya pada hari kiamat. Barangsiapa memudahkan urusan seseorang yang dalam keadaan sulit, Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat. Barangsiapa menutup ‘aib seseorang, Allah pun akan menutupi ‘aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan senantiasa menolong hamba-Nya, selama hamba tersebut menolong saudaranya.” (HR. Muslim no. 2699)

Semoga Allah memberi kemudahan kepada kita meringankan beban hamba-Nya yang lain. Semoga jua, pemiutang diberi kemudahan untuk membayar hutang-hutang mereka.

Allahu Ta'ala A'lam
Semoga Allah redha.
Post a Comment