Wednesday, January 6, 2016

Muhasabah Kewangan 2015

Hari ni telah 6 hari kita melangkah ke Tahun 2016. 2016 dipercayai tahun yang sakit buat semua - sektor awam, sektor swasta, orang perseorangan, keluarga dan rakyat keseluruhannya. Namun begitu, di sebalik kegawatan ekonomi, ada juga yang mengambil peluang untuk mengaut keuntungan. Bagi yang bercadang untuk berjimat cermat di Tahun 2016 ini, imbas kembali perbelanjaan harian, bulanan dan tahunan anda pada tahun 2015.

Di dalam merancang penjimatan, beberapa perkara yang perlu anda kaji dan analisa serta lihat kembali:
  1. Perbelanjaan manakah yang dianggap membazir yang anda membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk mendapatkannya?
  2. Perbelanjaan manakah yang memang menjadi keperluan anda dan keluarga?
  3. Perbelanjaan manakah yang perlu tetapi tidak perlu komitmen dari anda?

Bagi saya, antara perbelanjaan yang membazir dan tidak kritikal tetapi kebanyakan dari kita memang kadang-kadang tidak dapat hidup dengannya:
  1. Gajet - sekiranya tabiat anda suka bertukar gajet kepada gajet terkini setiap masa dan dalam masa yang sama, anda mengadu dan marah bila kadar tol naik, petrol naik, barang keperluan naik dan segalanya naik tetapi anda tidak berasa beban untuk menghabiskan duit anda beribu ringgit bagi gajet baru, saya rasa anda ada masalah ketagihan. Kita sedia maklum bahawa teknologi sentiasa berkembang dengan laju dan pantas. Hari ini anda mempunyai iPhone atau HP android yang baru, 3 bulan akan datang HP anda sudah ketinggalan disebabkan oleh keluaran yang baru yang lebih canggih dan tinggi spesifikasi. Berusaha untuk kekal kepada HP sedia ada. Bagi saya, asalkan berfungsi untuk segala keperluan saya, itu sudah mencukupi, melainkan fungsi HP sedia ada sudah tidak dapat menampung keperluan saya. HP sedia ada telah lebih dari 2 tahun digunakan dan belum bercadang lagi untuk bertukar kepada HP yang baru :--))
  2. Subscriptions - cuba bayangkan anda melanggan perkhidmatan program TV lebih dari RM100 sebulan dan dalam masa yang sama ada banyak FREE TV disediakan. Bagi saya, ianya satu pembaziran. Mulalah "unsubscribe" langganan anda itu dan anda akan menjimatkan lebih dari RM100 setahun. Penjimatan tersebut bolehlah anda gunakan untuk keperluan lain, atau setiap bulan, anda masukkan duit langganan tersebut di dalam tabung-tabung keperluan anda. Dengan RM1000+++ tersebut anda sudah boleh melancong ke luar negara. Rumah saya pula, tiada ASTRO apatah lagi TV. Sekiranya saya ingin mengetahui berita terkini, saya hanya mendengar radio. Itupun radio dari HP. 
  3. Eating Out - terutamanya yang selalu ke kedai Mamak dan restoran yang mahal. Bagi yang tidak rajin memasak, makan di luar akan lebih terasa mahalnya sekarang. Dengan kos GST dan kos bahan-bahan mentah yang semakin mahal, makanan yang dimasak di kedai akan menjadi bertambah mahal. Mungkin sudah tiba masanya anda menukar habit anda untuk menjadi rajin memasak. Makanan yang kita sendiri masak mungkin akan lebih terjaga kebersihannya dan dalam masa yang sama, meningkatkan jumlah tabungan anda. Contoh paling senang : Belanja sehari makan di luar = RM10.00. Sekiranya anda memasak sendiri untuk makan pagi dan tengahari, anda mungkin boleh berjimat semaksima RM5 sehari. Penjimatan RM5 x 20 hari bekerja = RM100.00 x 12 bulan = RM1200.00. Penjimatan kita itu, boleh kita gunakan untuk belanja keluarga dan lain-lain. Kos makan saya tidak banyak dan saya jarang makan di luar. Namun sekali sekala, bila teringin baharulah makan di luar. Bagi yang bekeluarga, galakkan semua membawa bekal sama ada di sekolah atau di pejabat. Hujung minggu sekali sekala, duit penjimatan tersebut bolehlah digunakan untuk Eating Out. Galakkan dan dedahkan pada anak-anak keperitan mencari secupak nasi agar mereka lebih menghargai usaha anda untuk membina keluarga yang stabil dari segi kewangan.
  4. Bagi yang mempunyai hobi yang mahal, anda bolehlah beralih arah kepada hobi yang lebih ekonomikal yang lebih kurang serupa. Ataupun anda bolehlah tangguh dahulu aktiviti hobi anda yang mahal mungkin untuk setahun bagi memberi ruang anda mengumpulkan dana untuk hobi anda. Sementara itu, cubalah hobi-hobi yang lebih kurang sama yang lebih murah :)
  5. Healthy living - ramai di antara kita telah mempunyai kesedaran untuk mengubah hidup ke arah yang lebih sihat. Ramai juga yang telah mendaftarkan diri di gym yang berdekatan. Untuk sihat, sebenarnya tidak memerlukan kos yang mahal. Sekiranya di rumah berdekatan anda ada taman yang cukup luas untuk anda beriadah, gunakan dengan sepenuhnya. Sekiranya ada kelas-kelas senaman yang ditawarkan percuma, jangan lepas kan peluang tersebut. 2 hari lepas, sembang-sembang dengan manager di gym tempat saya mendaftar, yuran bulanan telah naik sebanyak RM4 sebulan. Namun kadar bayaran bulanan saya masih lagi rendah berbanding dengan kadar yuran bulanan ahli baru. Untuk yuran akses bagi semua tempat lebih kurang RM200+++ sebulan dan untuk yuran akses bagi 1 branch sekitar RM150+++. Yuran saya pula, kurang dari RM100 sebulan untuk akses ke semua branch, dan bagi saya masih menjimatkan. :--))
Ini antara perbelanjaan-perbelanjaan yang dianggap membazir yang boleh saya fikirkan di dalam mengawal perbelanjaan kita sepanjang tahun 2016 ini.

Semoga bermanfaat :)
Post a Comment