12 September 2015

Travellingbie : Lombok: Day 6 - GILI TRAWANGAN > JETI BANGSAL > SENGGIGI > PESANTREN IHYA ULUMUDDIN

Allah Ta’ala berfirman,

وَلاَتَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلاَالسَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ {34} وَمَايُلَقَّاهَآ إِلاَّ الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَايُلَقَّاهَآ إِلاَّ ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ {35} 
”Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan.Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.” (QS.Fushilat:34-35)

Hari ke-6 - Gili Terawangan
Insiden pagi hari ke-6 agak mencemaskan. Sekitar jam 3 pagi saya tersedar. Hajat di hati nak masuk ke tandas, tetapi suspen sekejap kerana air tiada. Terpaksalah mengambil air di luar bilik seawal-awal pagi. Rupa-rupanya bukan bilik kami sahaja yang tiada air. Semua bilik resort tiada air. Jam 530pagi, baharulah pihak resort buka punca air bagi membolehkan air naik ke tangki. Kalau betul-betul tiada air, memang kene terjun laut la nampaknya :))
Jam 7pagi seawal pagi kami mengelilingi Gili dengan basikal. Keadaan masih lagi sunyi sepi dan masih nyaman. Sempat juga kami membeli sarapan, nasi ikan berjumlah Rp10k. Mengelilingi Gili Trawangan dengan basikal hanya mengambil masa lebih kurang sejam. Kalau berhenti dan menikmati pemandangan di pantai, mungkin akan mengambil masa yang lebih lama. Angin sepoi-sepoi bahasa menyapa kami. Matahari sudah mula menampakkan diri.

Sekitar jam 830am - kami balik ke resort, packing, mandi dan breakfast. Minum pagi kami - Jus nenas yang asli, Roti bakar dan nasi ikan yang dibeli dengan penduduk tempatan. 
Jam 930am - check out dan menuju ke pantai. Tiket bot dibeli di mana-mana kaunter sahaja di Pantai Gili Trawangan dengan kos sebanyak RP15k sahaja. Sementara menunggu bot, kami makan aiskerim gili yang sangat sedap dan menitipkan kenangan di dalam lensa kamera telefon bimbit masing-masing.
Sekitar jam 1030am - kami menaiki bot untuk ke Jeti Bangsal. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30min - 45min dengan ombak yang tiba-tiba melambung tinggi. Bagi yang senang mabuk laut, bersedialah dengan pil mabuk anda.
Setibanya kami di Jeti Bangsal, supir telah sedia menunggu untuk membawa kami ke destinas seterusnya. Kepala dah pening dan beralun-alun. Destinasi seterusnya adalah Senggigi.

Senggigi
Antara Pantai di Sengigi yang keren. Gambar ini diambil dari Villa Berhantu di tepi pantai.
Apa ada di Senggigi? Senggigi terkenal dengan keindahan panorama lautnya yang membiru menghijau. Di Senggigi kami menginap di Hotel Mascott. Hotelnya nyaman dan selesa. Memang lepas nie kene mandi dan membasuh baju sepuas-puasnya lah! :)) Kami rehat sebentar, dan solat sebelum meneruskan misi kami yang seterusnya.

Sekitar jam 1pm, guide kami yang setia, zen mengambil kami untuk ke tempat yang hendak dituju. Pesantren Ihya' Ulumuddin di Masbagi. Sebelum itu, kami singgah di rumah zen dahulu untuk mengambil barang-barang yang akan disedekahkan kepada Pesantren tersebut. Di rumah zen, kami disambut mesra oleh ibunya. Setelah berbagi-bagi barang dan mengasingkan barang-barang untuk Pesantren, kami meneruskan perjalanan dan tiba di Pesantren pada jam 330pm.

Setibanya di Pesantren, azan asar berkumandang, langit cerah membiru. Kami terus dijemput untuk menikmati hidangan dan disuruh makan terlebih dahulu. Istimewanya orang Lombok ini, walaupun susah, mereka memuliakan tetamu yang datang dengan bersusah payah. MasyaAllah. Lauk ikan talapia bakar, tempe goreng, sup sayur dan telur goreng serta sambal dihidangkan kepada kami. Lauk pauk ini mungkin sekali lauk mewah mereka yang dapat dimakan sekali sekala, tetapi lauk inilah yang dihidangkan kepada kami. Selepas anak-anak pesantren solat asar, mereka dikumpulkan diruangan dewan dan berzikir dahulu sebelum pak kiyai memberi ucaptama dan mengalu-alukan kedatangan kami. Selepas itu wakil kami dijemput berucap.
 
Saya meninjau-ninjau keadaan pesantren dan mendapati terdapat banyak kekurangan. Melihat anak-anak ini hidup di dalam serba kekurangan dan bersesak di asrama lelaki mahupun perempuan membuatkan saya menginsafi diri....beruntungnya kehidupan saya sebagai hamba di muka bumi. Hidup beribu bapa, ada keluarga dan tidak miskin, walaupun tidak kaya. Anak-anak ini, dari kecilnya ada yang fakir, tiada beribu dan berayah, ada yang keluarganya tidak mampu menyekolahkan mereka, langsung dihantar ke sini untuk pendidikan yang sewajarnya. Atas inisiatif sahabat saya mengumpulkan sahabat-sahabat yang lain di dalama Grup Charity@Heart, Alhamdulillah secara istiqamah kami berjaya mengumpulkan dana untuk disumbangkan kepada Pesantren ini secara bulanan walaupun dalam jumlah yang tidak berapa nak besar bagi membantu anak-anak ini bersekolah dan untuk menampung keperluan-keperluan pesantren yang lain. Hasil sumbangan tersebut dan sumbangan-sumbangan dari yang lain, pesantren ini mampu menaiktaraf asrama puteri, tandas dan bilik mandi puteri serta infrastruktur yang lain. Semoga Allah swt redha dengan usaha-usaha ini dan saya doakan semoga kami sentiasa istiqamah!

Sekitar jam 430 petang, sebelum kami mengucapkan Ilalliqa' kepada semuanya, kami dihidangkan pula dengan air kelapa dari kebun pesantren...waduhhh, sangat enak!, dan sebelum kami keluar dari Pesantren, seramai-ramai anak puteri bersalaman dengan kami. Satu nikmat yang besar Allah swt berikan kerana kami diberi peluang untuk memuliakan anak-anak yatim ini dan mengusap kepala dan memeluk mereka. Kenangan terindah di tanah datar Lombok. Alhamdulillah...

Balik dari Pesantren, kami singgah di Kedai Eiger. Total damage = Rp80k untuk sandal. Kemudiannya kami kembali ke hotel. Guide setia kami memang ultra, tak nampak penat dari hari pertama sehinggalah sekarang.

Selepas solat, kami keluar semula. Masa dan hari yang berbaki semakin singkat ini tidak kami siakan. Plan asal nak ambil pakaian di laundry jam 8 malam, tapi kami terjebak agak lama di gerai bergerak terang bulan dan apambalik. Memang serius sedap apambaliknya dan terdapat dalam pelbagai rasa. Total damage = RM49k. Sementara menunggu apambalik siap, saya ke kedai serbaguna dan total damage  = Rp50k. Tercapai hasrat nak makan aiskerim Magnum White Hazelnut.

Laundry yang kami hantar pakaian-pakaian dan kasut-kasut berdebu kami pula mengenakan caj Rp23k. Terkejut! sebab murah banget. Total damage = Rp25k. Baju 2.5kg = 15k dan kasut sepasang 8k. Murah gilerrr. Boleh bayangkan kalau dihantar ke dobi di sana, memang lebih RM23 rasanya. Kasut yang berdebu dengan debu-debu Gunung Rinjani, belum tentu lagi laundry akan terima.

Sebelum pulang ke bilik hotel, kami dibawa ke tempat jualan souvenir di tepi IndoMart. Ramai yang menjual barangan souvenir di luar IndoMart berkenaan. Salah seorangnya Pak Aji. Beliau menjual gelang-gelang, cincin dari mutiara Lombok. Dan ramai lagi yang mencari rezeki disitu. Souvenir - bookmark, gelang mutiara, cincin mutiara - total damage = Rp330k.

Muka masing-masing puas hati walaupun ada juga barang yang dihajati tiada dan kehabisan stok. Lain kali datang lagi, insyaAllah :)

Berakhirlah hari ke-6 kami yang sangat padat. Alhamdulillah.

"Don't ever say that you're tired because there are so much good deeds you can be doing"~uark

No comments: