04 September 2015

Travellingbie : Rinjani Lombok: Day 2 - RINJANI POS 2 > POS 3 > BUKIT PENYESALAN > PELAWANGAN

28 Ogos 2015 - Jumaat
"One does not climb to attain enlightenment, rather one climbs because he is enlightened."    — Zen Master Futomaki.

Bermalam di Pos 2 semalam. Paginya selepas subuh barulah nampak pemandangan yang indah yang tidak terlihat dan kelihatan malam tadi. Saujana mata memandang MasyaAllah. Kami menikmati pemandangan tersebut dengan penuh nikmat dan syukur kerna telah diberikan peluang untuk menikmati suasana dan pemandangan yang amat jarang kami temui di Malaysia. Kalau nak rasa feel savannah dengan pemandangan yang limited di Malaysia, bolehlah mendaki Broga di Semenyih.

Khemah kami yang 1st class, disiapkan dengan sleeping bag yang tebal dan selesa untuk memanaskan badan ketika beradu.
Yang merah itulah Tenda Merah atau Bilik Termenung :))
Minum pagi kami yang sedap disediakan oleh chef-chef profesional gunung Rinjani. Jam 830am kami meneruskan perjalanan ke Pelanwangan, tempat rehat dan tidur kami untuk malam ke-2.

Sebelum itu, kami diingatkan bahawa kami akan melalui Bukit Penyesalan. Saya membayangkan bukit tersebut akan penuh dengan penyesalan-penyesalan yang tidak berkesudahan. Kenyataan seperti:
"kenapa la aku bersusah payah naik gunung. Tido di rumah kan lebih bagus"....akan sentiasa disebut-sebut sepanjang mendaki bukit penyesalan tersebut

Perjalanan saya dari Pos 2 ke Pos 3 mengambil masa lebih kurang 1 jam - perjalanan yang santai dan landai, masih lagi dikelilingi dengan savannah memang menyamankan dan meluaskan horizon pemandangan. Jam 930am, saya sampai di Pos 3. Rupanya Pos 3 tersebut merupakan permulaan pada pendakian penyesalan.

Dari Pos 3 ke Pos 3 Extra trek mendaki selama 1 jam. Kami rehat sebentar untuk melepaskan lelah di dada. Jalan trek sudah mula berdebu. Setiap langkah penuh dengan debu-debu kering gunung berapi. Alhamdulillah cuaca menyebelahi kami, tidak terlalu panas dan melelahkan untuk pendakian seterusnya.

Bermula dari Pos 3 Extra, bermulalah pendakian yang penuh penyeksaan dan penyesalan. Pendakian normal akan mengambil masa lebih kurang 3 jam. Bagi saya yang mendaki seperti siput sedut, ianya mengambil masa lebih kurang 4 jam lebih untuk sampai ke Pelawangan.
Jam 230pm, saya sampai di Pelawangan. Tempat camping kami berada di hujung sekali hampir dengan trek pendakian ke puncak. Ini adalah untuk memudahkan kami mendaki dan mengurangkan tempoh pendakian pada awal pagi nanti. 


Campsite Pelawangan sangat panjang, setibanya di awal Pelanwangan, khemah-khemah pendaki telah tersusun kemas di sepanjang trek tersebut dan saya mengambil masa lebih kurang 20minit untuk sampai ke tapak khemah kumpulan kami. Setibanya di khemah, kami membersihkan diri sekadarnya, solat dan makan tengahari. Makan tengahari yang sedap Sup sayur telur puyuh telah disediakan oleh chef gunung yang telah sampai lebih awal, khemah pula telah tersedia terpacak di atas tanah. bau ikan kering yang semerbak telah sampai ke hidung kami masing-masing. Bau sebegitulah yang membangkitkan selera kami walaupun bagi mereka makanan tersebut biasa-biasa sahaja. Hmmm...makanan porter pun kami paww...dan sebagai gantinya, mereka makan menu kami yang dianggap mewah. Nikmatnya dapat makan ikan kering dan bilis beserta sup sayur telur puyuh di tengah-tengah kesejukan angin petang nie. :)) Minum petang kami juga disediakan. Berselaranya semua makan, apatah lagi semuanya kelaparan.
Menikmati pemandangan dan suasana di Pelawangan di waktu petang dan senja, mengingatkan saya betapa tidak terhitungnya nikmat Allah swt yang telah diberikan, dan kita sebagai hambaNya masih lagi mengeluh kesah di atas ketidak sempurnaan kehidupan kita di dunia, mengeluh kesah dengan ujian yang menimpa sedangkan Allah swt telah berfirman di dalam Surah Al-baqarah ayat 286 yang bermaksud:

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menganggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (mereka berdoa dengan berkata): " wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami bersalah. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-yang yang bterdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya menikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum kafir"

Apa yang kita ada, nikmatilah ia. Apa yang kita tiada dan orang lain ada, bersyukurlah kerna kita punyai apa yang orang lain tiada. Nikmati hari-hari kehidupan kita dengan sebaiknya. Bersyukur dengan apa yang kita ada, dan sabar dengan apa yang kita tidak ada. Dan ingatlah semua yang kita ada itu bukanlah milik kita. Semua nya adalah pinjaman dari Allah swt hatta diri kita sendiri. Jagailah dan hargailah nikmat tersebut.

DR.Yusuf Qardhowi berkata: "Shahhih wij-hataka takun kullu hayatika 'ibadah". ~ Betulkan niat dan tujuanmu niscaya semua hidupmu bernilai ibadah.

Selesai solat maghrib dan isyak, kami dihidangkan dengan makan malam yang sangat sedap. Cuaca dan suhu pada malam ke-2 ini sangat sejuk, sekitar 10'C. Bulan juga mengambang penuh dan bintang-bintang bertaburan indah di langit nan gelap.
Makan malam kami kali ini = Nasi Paprik yang sangat sedap. Berselera masing-masing makan walaupun nasi habis separuh ja. Selebihnya, kami berikan kepada porter-porter dan guide. Kami sedia maklum, makanan kami biasa-biasa sahaja, tetapi tidak bagi mereka. Makanan yang dimasak merupakan makanan mewah mereka yang jarang-jarang mereka dapat rasa. Kami pula menginginkan ikan kering, bilis dan sambal untuk membuahkan selera makan kami. Makanya, selalulah kami bertukar menu dengan mereka. Kami makan makanan biasa mereka dan mereka berpeluang untuk merasai makanan yang jarang-jarang dapat dimakan bila turun dari gunung. Itu juga sedekah buat mereka. Semoga Allah swt redha!
Keropok merupakan feveret semua orang :))
Jam 830pm, selepas makan, suhu badan saya tiba-tiba naik. Memang sah dah kene demam malam. Sapu minyak panas seluruh badan. Saya terus masuk ke khemah, masuk dalam sleeping bag, doa banyak-banyak agar dipermudahkan perjalanan seawal pagi dan rehat menggantikan semula tenaga yang kehabisan siang tadi, dan bersedia untuk berjuang sehingga puncak seawal pagi nanti.

Benarlah sabda Nabi saw:

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Maksudnya: Dua nikmat yang Allah kurniakan, ramai orang yang kerugian (tidak menggunakannya) dengan sebaik mungkin; kesihatan dan kelapangan. [HR: Bukhari].

"There have been joys too great to be described in words, and there have been griefs upon which I have not dared to dwell, and with these in mind I say, climb if you will, but remember that courage and strength are naught without prudence, and that a momentary negligence may destroy the happiness of a lifetime. Do nothing in haste, look well to each step, and from the beginning think what may be the end."    — Edward Whymper.

No comments: