11 November 2014

Bacaan: Maharaja Wang - Strategi Menyimpan Dahulu

Semua orang mahu menjadi kaya. Tetapi tidak semua orang boleh menjadi kaya. Kebolehan dan keupayaan menjadi kaya bergantung kepada tabiat diri sendiri. Definisi kaya bagi seseorang individu itu pelbagai. Ada yang mahu menjadi kaya budi dan nilai. Ada yang mahu menjadi kaya raya, berduit dan berwang, bebas dari kesempitan. Ada yang mahu kaya ke-dua-duanya, kaya nilai dan iman serta mempunyai wang yang banyak.

Bagaimana mahu menjadi kaya?
Mulakan dengan tabiat MENYIMPAN. Menyimpan bukanlah satu perkara yang mudah bagi seorang yang boros. Tetapi menyimpan amatlah mudah bagi yang sedar bahawa wang bukanlah sesuatu yang senang diperolehi.

Tabiat menyimpan ini perlu dipupuk sejak kecil lagi, tanamkan tabiat menyimpan di jiwa anak-anak kecil agar mereka tahu susahnya ibu bapa mereka mencari wang untuk memenuhi keperluan keluarga. Bagi saya, seeloknya elakkan membeli barangan berjenama untuk anak-anak, tetapi sekiranya anda mampu dan dalam masa yang sama, anda tidak mengadu harga petrol naik, harga barang-barang keperluan asas naik dan dengan semua kenaikan harga di pasaran, belilah barangan berjenama mewah untuk anak-anak anda :)

Tahukah anda, dengan menggalakkan anak-anak kecil menyimpan, mereka akan lebih menghargai wang saku yang anda berikan. Sekiranya tabiat menyimpan diamalkan dari kecil lagi, bayangkan berapa banyak simpanan yang akan anak-anak anda perolehi sehingga mereka melangkah ke alam universiti nanti :)

Bagi yang sudah dewasa, dan matang :) masih belum terlambat untuk kita menyimpan, kerana dengan gaji yang kita perolehi dari bekerja, keupayaan kita untuk menyimpan sebenarnya adalah tinggi. Tetapi, malangnya bagi kebanyakan kita, gaji yang diterima secara bulanan telah diagihkan kepada komitmen perbelanjaan wajib kita selama sebulan sehingga tiada ruang untuk menyimpan dan selalu juga sebelum sampai hujung bulan poket kita telah sedia kering. Angan-angan kita untuk menyimpan sebanyak 10% dari gaji kita selalunya musnah dan hancur di pertengahan jalan dan akhirnya kita sentiasa mengeluh kerana:
  1. tidak dapat menyimpan;
  2. sebelum hujung bulan, poket selalu kering dan terpaksa mengikat perut sehinggalah tarikh menerima gaji bulanan tiba.Dan kita akan mula mengeluh, marah dengan situasi yang kita selalu hadapi dan menyalahkan keadaan.
Bagaimana cara kita untuk keluar dari belenggu tersebut? - belenggu kesempitan wang, tidak cukup wang yang membuatkan kita tidak kaya? - Selalu menyimpan 10% dari gaji anda terlebih dahulu sebelum anda membelanjakan duit gaji anda kepada perbelanjaan wajib yang lain. Saya bagi beberapa contoh senario seperti di bawah:

Senario 1:
Graduan A yang baru memulakan kehidupan berkerjaya:
Gaji bulanan bersih RM1500.00.
Simpanan 10% dari gaji = RM150.00 sahaja
Perbelanjaan wajib: 1) bayaran bulanan motorsikal = RM250.00, 2) bilik sewa = RM200.00 3) Belanja makan minum bulanan = RM500.00 4) Bagi pada mak ayah = RM200 5) Pinjaman PTPTN = RM200
Baki akhir bulanan = RM0.00

Sekiranya Graduan A tidak menyimpan 10% terlebih dahulu dari gaji bulanan, beliau akan ada lebihan sebanyak RM150,00 dan mungkin akan digunakan kepada perkara-perkara lain yang tidak perlu. Adalah lebih selamat untuk mengasingkan simpanan tersebut terlebih dahulu sebelum menghabiskannya untuk perbelanjaan-perbelanjaan yang lain.

Sekiranya gaji bulanan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan tersebut, ada baiknya Graduan A mencari kerja lain yang lebih tinggi gajinya, atau mencari kerja sambilan atau menilai semula perbelanjaan-perbelanjaan bulanan sedia ada.

Senario 2: Bagi yang telah lama berkerjaya tetapi masih mengadu gaji bulanan tidak mencukupi
Pekerja A telah bekerja lebih 10 tahun dan mempunyai mempunyai gaji bulanan bersih sebanyak RM10,000 sebulan
Komitment bulanan: Pinjaman rumah = RM2000.00, Kereta Alphard = RM1500.00, Perbelanjaan sekolah anak-anak = RM2000.00, Zakat bulanan = RM500.00, Belanja Rumah termasuk bil-bil utiliti = RM2000.00, Yuran bulanan kelab Golf@ kelab kesihatan = RM200, Insuran bulanan = RM1000.00
Baki akhir bulan yang tinggal hanyalah = RM800.00.

Sekiranya pekerja A, menyimpan terlebih dahulu gaji bulanan bersih beliau sebanyak 10% iaitu = RM1000.00 sebulan selama setahun, simpanan beliau akan mencecah RM12,000 sebelum dividen.
Untuk tujuan simpanan tersebut, beliau perlu membuat beberapa perubahan di atas tabiat berbelanja bagi sekeluarga agar misi menyimpan sebanyak 10% dapat dicapai.

Sebenarnya tidak ada yang mustahil untuk dicapai kecuali kita memang hanya mahu berangan-angan untuk menjadi kaya. Angan-angan perlulah digandingkan dengan usaha dan iltizam untuk mencapai apa yang kita angankan.

Tuan Azizi Ali telah menekankan di dalam bukunya : Maharaja Wang mengenai Strategi Menyimpan Dahulu dan bukannya Strategi Simpan Baki. Sekiranya selama ini anda memngamalkan strategi simpan baki, anda tidak akan berjaya menyimpan kerana selalunya baki gaji anda di akhir bulan selalunya 0 atau tidak lebih dari 10% dari gaji anda. Percayalah! Saya pernah melaluinya :)

Sehingga sekarang ini, saya akan asingkan 10% dari gaji saya ke tempat simpanan yang agak susah untuk dikeluarkan melalui Kad ATM, saya simpan juga untuk dana permusafiran saya dan untuk pelaburan. Saya sudah tidak hiraukan barangan berjenama kerana ianya tidak mempunyai nilai apabila telah digunakan. Saya masih memandu kereta yang saya beli hampir 10 tahun yang lepas, dan saya rasa tenang bila melihat wang gaji saya dapat disalurkan kepada tempat-tempat yang saya rasa akan membantu saya bila saya telah tiada nanti.

"Style will always make you look rich, but it will never make you rich"~uark

Kawal aliran kewangan anda dan mulakan menyimpan. Dengan simpanan tersebut anda boleh mula membuat pelaburan atau membeli rumah pertama/kedua/ketiga dan seterusnya. Dengan simpanan itu juga, anda boleh tidur nyenyak kerana anda tahu, sekiranya berlaku kecemasan, anda mempunyai simpanan yang boleh digunakan.

Sedikit atau banyak gaji bulanan anda, jika anda tidak pandai mengawal aliran keluar wang gaji anda, anda akan sentiasa rasa gaji anda tidak mencukupi untuk memenuhi kehidupan tidak terkawal anda itu. Pilihan di tangan anda, sama ada anda sentiasa mengeluh kesah dengan ketidakcukupan gaji sedia ada atau anda mula bertindak dan hapuskan belanja-belanja yang sebenarnya tidak perlu bagi diri anda dan keluarga.
“No one else can ever make your choices for you. Your choices are yours alone. They are as much a part of you as every breath you will take, every moment of your life.”~Dr. Shad Helmstetter’s

No comments: