27 November 2014

Bacaan: Bab Akhir - Kita hidup dan Kita akan Mati

Di saat anda membaca entri ini, beruntunglah anda kerana masih hidup. Dan pastinya suatu hari nanti kita akan mati. Pilihan anda, sama ada untuk mati kaya ataupun mati miskin. Pilihan di tangan anda.

Kenapa saya mengatakan begitu??? Saya percaya, nasib seseorang itu ditentukan atas sikap seseorang terhadap kehidupan dirinya sendiri dan bukan orang lain. Memang Allah swt telah tetapkan beberapa perkara yang diluar pengetahuan akli kita seperti saat kematian, rezeki, jodoh dan sebagainya. Tetapi, kita tidak boleh menjadikan alasan tersebut untuk tidak berbuat sesuatu agar pengakhiran hidup kita berada di dalam keadaan yang baik.

Bagaimana untuk mati kaya dan kematian kita itu tidak menyusahkan ahli keluarga yang lain???
Salah satunya dengan Insuran hayat. Tetapi berapa ramai pula lah dikalangan kita yang mempunyai insuran hayat yang boleh menampung bayaran untuk semua hutang piutang kita - hutang kad kredit, hutang kereta, hutang rumah, hutang perniagaan, hutang peribadi, hutang PTPTN dan segala jenis hutang yang ada di dunia ini?

Sekiranya insuran hayat pun tiada, apatah lagi wasiat atau perancangan harta pusaka.

Setengah orang beranggapan bahawa, perancangan harta pusaka ini:
  1. hanyalah untuk orang tua sahaja;
  2. terlalu sibuk untuk memikirkannya;
  3. kelliru dengan maklumat yang bercanggah sehingga menjauhkannya;
  4. fikir ianya terlalu rumit;
  5. merancang harta pusaka akan mempercepatkan kematian mereka;
  6. tidak terfikir untuk melakukannya.
Dengan anggapan dan pemikiran seperti ini, menerangkan mengapa harta pusaka bernilai lebih RM42billion masih tidak dapat diselesaikan sehingga hari ini.
Mahukah anda sekiranya harta yang anda ada, diserahkan kepada yang tidak sepatut mendapatnya? Selain pembahagian harta pusaka melalui Faraid, kita boleh membuat perancangan harta pusaka tersebut.

Terdapat 4 langkah dalam merancang harta pusaka:
  1. mengenal pasti aset anda - senaraikan semua aset-aset anda termasuk bank akaun, emas dan perak, hartanah, unit saham dsb;
  2. mengenal pasti waris-waris anda - keluarga anda, badan-badan amal, sekolah, dsb;
  3. mengenal pasti bagaimana untuk memindahkan aset anda;
  4. mengenal pasti masa untuk memindahkan aset anda.
Setelah anda kenal pasti langkah 1 dan 2, mulalah dengan mengumpulkan dokumen-dokumen yang berkaitan di dalam 1 fail - salinan surat beranak anda, salinan IC, salinan semua buku bank, salinan semua dokumen hartanah dll.

Harta anda - Anda lah yang berhak menentukan siapa yang mendapat harta tersebut. Perancangan harta pusaka anda mungkin tidak akan menggembirakan semua pihak. Mungkin ada pihak yang beranggapan dan percaya bahawa mereka layak menerima harta tersebut lebih dari orang lain. Pedulikan mereka, kerana harta tersebut bukan harta mereka. Hanya anda lah yang layak menentukan siapa mendapat harta anda tersebut.

Akhir kalam, hidup ini singkat! Perjalanan hidup kita yang singkat ini tidaklah selamanya lancar sepanjang masa. Adakalanya ribut taufan melanda, adakalanya tenang sejuk mendamaikan dan adakalanya tiada perasaan apa-apa. Kesilapan banyak dilakukan sepanjang kehidupan kita dan akan timbul juga penyesalan. Banyak perkara yang ingin kita ubah, banyak perkara yang ingin kita lakukan dan banyak perkara yang kita menyesal kita ucapkan. Semuanya adalah pengajaran dan pembelajaran sepanjang kehidupan. Jadilah yang lebih baik, belajar dari kesilapan, turun kan ego kita sekiranya ianya boleh membuatkan orang lain gembira. Bukankah menggembirakan hati orang lain itu secara tidak langsungnya menggembirakan hati kita. Hiduplah dengan tenang, hiduplah dengan kaya dan mati juga dalam kekayaan!

Untuk menjadi kaya, anda perlu melakukan banyak perkara. Banyak perkara tersebut, memerlukan masa dan kerja yang banyak. Lakukan dengan kapasiti anda sendiri, tidak perlulah melakukan 10 perkara dalam 1 masa. Bermulalah dengan perlahan dan seterusnya kejar dengan laju secara konsisten. Jangan sekali-kali berhenti. Tabiat yang kecil dan konsisten akan menentukan kejayaan diri anda. Ianya akan membuatkan anda tidak selesa, sakit, sulit dan sebagainya. Anggaplah ianya sebagai cabaran dan ujian untuk anda!

Ramai dari kita menunjuk-nunjuk kekayaan yang sebenarnya hutang dan beban pada kita - kereta mewah, rumah besar, handbag berjenama, kasut berjenama, tudung berjenama mewah dan lain-lain lagi. Cari kekayaan dahulu, barulah hidup kaya! Jadi Kaya, Hidup Kaya dan Mati Kaya.

“Dari Abu Hurairah ra: Rasulullah saw bersabda, “Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta benda tetapi kekayaan yang sebenarnya adalah kekayaan hati.” (HR Bukhari & Muslim)

Allah berfirman di dalam Surah Ali-Imran: 10-11 yang bermaksud:
“Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka. (Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksaNya."

No comments: