18 July 2013

Refleksi Ramadhan 1434H – Hari 9 (18 Julai 2013)

6 bulan pertama saya pada tahun ini memang sarat dengan aktiviti. Aktiviti memenuhi tuntutan institut dan juga aktiviti kegemaran saya ~ musafir. Musafir memenuhi tuntutan kerja dan musafir membesarkan mata, minda dan jiwa saya.

Bulan Mac yang lepas, saya sempat mengikuti rombongan kecil trip singkat ke Jakarta, semata-mata untuk berkunjung di Islamic Book Fair Jakarta. All in pakej hanya Rm350.00 termasuk pengangkutan, penginapan dan tiket 2 hala. Makan sendirian tetapi tiada masalah kerana saya sudah biasa dengan makan yang sedikit bermula pada awal tahun lagi.

Di Islamic Book Fair Jakarta – inilah hasil tangkapan hari pertama. Beg sandang telah penuh dengan buku. Dan agenda ke Tanah Abang keesokan harinya, nampaknya perlu dilupakan kerana kedua-dua beg telah sarat dengan buku-buku. Penginapan di House of Arsonia, walaupun biliknya kecil dan agak sempit untuk 2 orang, tetapi tempat tidurnya cukup selesa untuk tidur.
Balik dari book fair, dan kembali ke hotel, talian telefon mula dihujani dengan mesej memandangkan saya tidak melanggan perkhidmatan roaming. Berita dari kampong memaklumkan bahawa ibu masuk hospital. Hati mula tidak berasa senang. Tidur pun tak lena. Sehinggalah awal pagi keesokan harinya saya menyampaikan hajat kepada tuan traveler untuk ke lapangan terbang dan kembali ke KL, seterusnya ke kampong.

Seawal pagi, pak supir datang untuk menghantar saya ke airport. Di temani juga oleh tuan traveler yang menguruskan permusafiran kami. Sepanjang-panjang perjalanan, hati saya berdoa agar dipermudahkan jalan dan agar kesihatan ibu semakin pulih.

Setibanya di airport, kaku sekejap dengan keramaian manusia membanjiri lapangan terbang. Setelah berlarian dari satu kaunter ke satu kaunter, akhirnya saya Berjaya mendapatkan tiket penerbangan ke KL dengan menaiki MAS dengan kadar bayaran tiket sebanyak USD260 sehala. Penerbangan jam 11 lebih pagi dari Jakarta ke KL juga telah dipermudahkan. Perancangan Allah itu sangat sempurna. Sebelum ke pesta buku, saya berdoa agar rupiah yang saya bawa mencukupi untuk memberli buku-buku yang dicari dan Alhamdulillah, rupiah tersebut cukup-cukup sahaja untuk buku-buku tersebut. Tidak lebih dari itu.

Rupa-rupanya Allah SWT punya perancangan yang lain untuk rezeki yang saya simpan. Amat berguna untuk waktu dan saat itu. Tidak lebih dan tidak kurang. Sungguh Allah SWT sebaik-baik perencana. 
Dugaan berkejar ke airport di Jakarta saya anggap cabaran. Berlari-lari dari satu kaunter ke kaunter lain dgn beg yg sarat dgn buku-buku utk membeli tiket kembali ke KL pada masa itu akan dikenang sampai bila-bila. Bergegas naik erl ke lcct juga seumpama amazing race sambil saya panjatkan doa agar segalanya dipermudahkan Allah. Alhamdulillah, di LCCT juga urusan saya dipermudahkan. Hanya perlu menghulurkan duit yang ada di dalam wallet saya, saya Berjaya mendapatkan tiket kembali ke Kuching pada jam 535pm. Pada saat menunggu ketibaan kapal untuk terbang ke Kuching, barulah terasa sakit-sakit dan lenguh-lenguh fizikal. Allah! Permudahkanlah segala urusan hambaMu ini. Kembalikanlah kesihatan bunda hambaMu. Kepada Engkaulah tempat segala pergantungan. Aameen

Bila saya mengimbas kembali momen-momen tersebut, betapa hebatnya Allah SWT. Saat gembira dan teruja semasa di pesta buku kerna dapat memiliki buku-buku yang dicari ditarik balik nikmatnya dengan sekelip mata melalui insiden-insiden seterusnya itu. Saya melihat semua ujian ini sebagai satu teguran dari Allah SWT. Halusnya teguran tersebut, ujian sekecil ini sahaja yang diberikan kepada saya. Ujian kesakitan, ujian kesempitan, ujian kewangan, ujian masa, ujian yang pelbagai ini sesungguhnya salah satu cara Allah SWT untuk mendapatkan perhatian dari hambaNya. Nyata sekali saya masih belum benar-benar berusaha untuk menjadi hambaNya. Ampunilah saya Ya Allah!

Benarlah Firman Allah SWT di dalam Surah Yaasin: 82

Sesungguhnya urusannya-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka jadilah ia,” 


Surah At-Taubah: 51

Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal.”


Surah Yunus: 107

“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia melimpahkan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”


Daripada Anas RA katanya, telah bersabda Rasulullah SAW, “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang hambanya, disegerakan bagi hamba itu balasan sewaktu di dunia. Sebaliknya jika Allah menghendaki dengan hambanya keburukan ditangguh pembalasan itu supaya disempurnakannya di hari kiamat. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredhaan Allah dan siapa yang tidak redha maka dia akan menerima kemurkaan Allah.”

Alhamdulillahi ‘ala kulli hal…
Allahu Ta’ala A’lam

No comments: