16 July 2013

Refleksi Ramadhan 1434H – Hari 7 (16 Julai 2013)

Refleksi Ramadhan hari ini ~ bagaimana menangani tahap stress di pejabat?

Siapa yang tidak pernah stress? Sila angkat tangan :)

Saya percaya semua orang pernah stress. Tahap stress tersebut mungkin berbeza di antara satu sama lain dan juga bergantung kepada situasi kerja, tempat dan masa. Juga bergantung kepada tahap kondisi mental dan fizikal kita. Tempat kerja baru saya memang stress! Itu cabaran dan dugaan yang perlu saya hadapi semasa hari pertama melapor diri sehinggalah sekarang.

Jadual kerja bagi cawangan kami sentiasa penuh dan sentiasa terkehadapan. Belum lagi pertengahan bulan, aktiviti bulan hadapannya hampir penuh dengan aktiviti-aktiviti yang dirancang. Saya sendiri berasa stress dengan kalendar kerja kami yang sentiasa penuh dan dengan masalah yang menunggu untuk diselesaikan. Walaubagaimanapun, saya bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan kerja yang sentiasa membantu di dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Kerja dibahagi-bahagikan mengikut kepakaran masing-masing dan masing-masing disarankan agar menyusun kerja masing-masing agar lebih teratur. Mana-mana perkara yang memerlukan bantuan atau konsultansi, saya sedia membantu biarpun kerja sendiri menimbun dan menggunung.

Akan tetapi disebalik kerja-kerja yang menimbun dan menggunung, saya bersyukur kerana saya mempunyai pilihan untuk membuat keputusan walaupun saya bukanlah sebenarnya layak untuk membuat keputusan yang besar. Saya hanya membuat keputusan yang melibatkan unit saya sahaja. Saya mahu anak-anak buah saya kerja dalam kondisi yang teratur, berfikir menyelesaikan masalah, dan bukan hanya menurut perintah sahaja. Saya mahu mereka berfikir dan memberi cadangan serta membuat tindakan berdasarkan cadangan yang diputuskan bersama.

Bagaimana menghadapi keadaan yang stress. Stress sebenarnya boleh diibaratkan musuh dalam selimut. Tidak nampak, tetapi kesannya akan membuatkan seseorang merana dan derita dalam masa yang panjang. Sebab itulah di dalam Islam, kita diwajibkan solat 5 kali sehari. Solat boleh mengubati stress yang dihadapi kerana pada masa kita solat, fikiran kita akan menumpukan sepenuh perhatian kepada Allah SWT sebagai tempat kita mengadu dan memohon pertolongan.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Fatihah:5-6
"Kepadamulah semata kami beribadah dan kepadamulah sahaja tempat kami memohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus"

Surah Al-Fatihah itu sendiri merupakan do’a, munajat kita kepada Allah SWT di dalam memohon pertolongan dan ditunjukkan jalan yang lurus.

Rugilah kita apabila kita membaca surah ini, kita tidak dapat merasakan bahawa pertolongan Allah SWT itu akan datang dan benar.

Antara salah satu lagi cara untuk mengatasi stress adalah dengan zikir. Rasulullah SAW, apabila baginda di dalam keadaan sedih, baginda akan melakukan solat, zikir, istighfar atau membaca Al-Quran.

Semua orang ingin kehidupan yang tenang, Cuma persoalannya…bagaimana cara kita mencapai ketenangan hidup tersebut dan apa kesungguhan tindakan kita di dalam mencapainya berbeza di antara kita.

Allah SWT telah jelaskan dengan nyata di dalam ayat-ayatnya:
“Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya.” (QS.At-Taghaabun: 11)

“Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat. Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai” (QS.Al-A’raf: 204-205)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Sesungguhnya besarnya balasan tergantung besarnya ujian, dan sesungguhnya Allah Ta’ala apabila mencintai suatu kaum maka Allah akan menguji mereka (dengan suatu musibah), maka barangsiapa yang ridha maka baginya keridhaan (dari Allah) dan barangsiapa yang marah maka baginya kemarahan (Allah).” (HR. At-Tirmidzi dari Anas bin Malik)

Alhamdulillahi ‘ala kulli hal…
Allahu Ta’ala A’lam

No comments: