Wednesday, July 4, 2012

Hadis-hadis Sahih Mengenai Fadhilat Di Bulan Ramadhan

Marhaban ya Ramadhan...:-)
Ramadhan bakal menjengah dan menjenguk kita...persiapkan diri untuk berjuang di bulan yang mulia ini dengan melatih diri berpuasa sebanyak yang mungkin di bulan Sya'ban. Siapkan diri dengan telekung baru, sejadah baru, tudung baru, kopiah baru, kain pelekat baru, baju baru dan serba serbi baru sekiranya mampu di dalam kita memuliakan Ramadhan. 
Saya cuba mendidik hati agar lebih cenderung kepada akhirat dengan memperbanyakkan sadaqah, dan segala bentuk amalan yang lain yang boleh dibawa bekalan ke dunia akhirat. Saya cuba mendidik nafsu agar memberi segala yang termampu tanpa mengharapkan balasan dari manusia atau ucap kata terima kasih kerna percaya balasan dari ALLAH SWT itu lebih hebat ganjarannya. Pun begitu, kadang-kadang hati ini sukar untuk dididik kerna telah bercampur baur dengan nafsu dan nafsu itulah perlu ditundukkan setiap saat setiap ketika.

Itulah nafsu - Buat kebajikan tetapi mahu dipuji dan diketahui, beri sadaqah walaupun tidak banyak, sudah cukup berbangga dengan sadaqah tersebut dan kadang-kadang menyebut-nyebut sadaqah yang tidak seberapa itu seolah-olah ianya telah 'confirm' diterima ALLAH SWT.

Amal dan sadaqah kita pada zaman ini tidak sehebat amalan para sahabat Nabi SAW. Apakah kita layak untuk berasa ujub, riak dan bermegah-megah dengan sedikit amalan kita yang belum tentu diterima ALLAH SWT? 

Astaghfirullah...saya mohon perlindungan dari ALLAH SWT dari terbitnya perasaan ujub, riak, takabbur dan sombong di dalam beribadah dan beramal, dan saya doakan jua agar sahabat-sahabat semua dihindari dari perasaan yang sedemikian. Sama-sama kita muhasabah diri kita sendiri...InsyaALLAH :-)
Saya sertakan bersama artikel yang disediakan oleh: Saudara Mohd Hairi Nonchi
(Pendidikan Dengan Sains Sosial, UMS) mengenai hadis-hadis Sahih Fadhilat di Bulan Ramadhan. Tidak kira hari yang ke berapa di dalam bulan Ramadhan, kesemua hari-hari tersebut adalah mulia dan kita sewajarnya memuliakan semua hari di dalam Ramadhan. Marilah kita perbanyakkan saham akhirat kita, marilah kita sama-sama bersihkan jiwa kita dari sifat-sifat mazmumah. Inilah bulan dimana kita berpeluang untuk menyerah diri sepenuh jiwa dan raga kepada ALLAH SWT. Sama-samalah kita ya. Dan inilah juga bulan di mana saya mengimpikan sekiranya sudah sampai ajal kematian saya, ALLAH SWT berbelas kasihan untuk mencabut nyawa saya di dalam bulan yang penuh barakah ini dan juga di Tanah Suci...InsyaALLAH :-)

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, dosanya yang telah lalu telah diampuni (oleh Allah)”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Iman – no: 38)

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Demi Dzat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah daripada aroma (haruman) minyak kasturi”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum – no: 1894)

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Sesungguhnya di syurga terdapat pintu yang dinamakan al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari Kiamat. Tidak ada seseorang pun yang akan masuk melalui pintu ini kecuali mereka .Dikatakan: Mana orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka semua berdiri. Tidak ada seorang pun yang masuk melalui pintu ini selain mereka. Apabila mereka semua telah masuk, pintu ini akan ditutup dan tidak ada seorang pun yang akan masuk melaluinya”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum – no: 1896)

Abu Umamah r.a berkata:
“Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Ya Rasulullah! Tunjukkan kepadaku satu amalan yang membolehkan aku memasuki syurga dengan cara itu. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu hendaklah berpuasa kerana sesungguhnya tidak ada satu cara pun yang mampu menandinginya”
(Diriwayatkan oleh Ibn Hibban – no: 3494)

Sabda Rasulullah s.a.w :
“(Allah s.w.t berfirman) : Sesungguhnya dia (hamba) meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya kerana-KU. Puasa (yang dia kerjakan adalah) kerana-KU. Puasa adalah untuk-KU. Sedangkan, AKU memberi balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ini kerana, ia (puasa) adalah untuk-KU dan (sudah tentu) AKU sendiri yang akan memberi balasannya”
(Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwaththa’, Kitab al-Shiyam – no: 603)

Sabda Rasulullah s.a.w :
“ Setiap amal kebaikan anak Bani Adam pahalanya (dicatat oleh malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-KU dan AKUlah yang memberi pahala puasanya”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Libas – no: 5927)

Al-Hafidz Ibn Hajar al-Asqalani r.h berkata mengenai hadis di atas:
“ Ibadah puasa ini dianggap sebagai ibadah khusus untuk Allah kerana ia bebas daripada unsur riak. Ini kerana, perlaksanaannya tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Orang yang sedang berpuasa dan orang yang tidak berpuasa sama sahaja dari segi luarannya. Berbeza dengan ibadah seperti solat, membaca al-Quran, berzikir atau bersedekah yang mana perlaksanaannya dapat dilihat secara terbuka dan membuka ruang timbulnya perasaan riak. Oleh itu al-Imam al-Qurtubi r.h berkata: Disebabkan semua amal perbuatan yang ada ini dapat dimasuki unsur riak, sedangkan puasa itu hanya dilakukan semata-mata kerana Allah, tidak hairanlah Allah menisbbahkan puasa itu kepada diri-Nya”
(Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Baari, jilid 11, halaman 20)

Sebar-sebarkanlah risalah ini. Rasulullah s.a.w bersabda
“Sesiapa yang menunjukkan suatu kebaikan, maka dia akan memperoleh pahala (sama) seperti pelakunya ”
(Diriwayatkan oleh Muslim, at-Tirmizi, Ibn Hibban, al-Baihaqi dan at-Thabrani daripada Ibnu Mas’ud al-Badri r.a)

Mudah-mudahan artikel kali ini memberi manafaat buat yang membaca. :-)
Wallahu Ta'ala A'lam
Post a Comment