29 April 2011

Hikmahnya Memohon Maaf dan Memberi Maaf

"Memohon maaf itu sifat yang mulia, menerima kemaafan itu dengan hati yang terbuka tanpa ada dendam kesumat di dada itu sifat terpuji dan mulia". Rasulullah saw menjadi contoh terulung yang memperlihatkan sifat-sifat terpuji bagi manusia yang mengaku BerTuhankan ALLAH swt dan Rasulullah saw itu UtusanNya, yang bersyahadah dengan kalimah "Laailaahaillah Muhammadan Rasulullah".
Orang yang memohon kemaafan itu seumpama memecahkan batu dan beban yang berat yang berada di kepala dan hatinya. Yang memberi kemaafan tersebut pula disusupkan ke urat nadinya satu perasaan luar biasa tenangnya dan indahnya. Pun begitu, kita sebagai manusia biasa dan bukannya maksum pasti akan merasa sukar untuk memberi maaf kerana luka yang terguris di hati sanubari itu amat sukar untuk dipulihkan apatah lagi hati dihiris dan disiat-siat oleh sahabat-sahabat yang rapat dengan kita...kemaafan itu memang sukar untuk dilepaskan. Namun, sebagai saudara semuslim apatah lagi Rasulullah saw sendiri bersabda bahawa seorang muslim dengan muslim yang lain itu bersaudara. Bila paha kiri dicubit terasa sakitnya, manakan pula paha kanan tidak terasa. Paha kanan pasti akan terasa sakitnya juga. 

Disaat kita berkata "Aku ingin memohon maaf di atas kesalahan yang telah aku lakukan kepada kamu wahai sahabatku", di saat itulah hati kita akan merasakan indahnya perasaan tenang yang meresap di dalam hati kita. Begitu jugalah bila kita berkata "Aku memberi maaf wahai sahabatku", satu perasaan indah dan tenang pasti akan menyelinap di seluruh urat nadi kita sehingga melahirkan rasa tenang-setenangnya. Mudah-mudahan kita diberi hidayah dan taufik dari ALLAH swt untuk memohon maaf dan memberi maaf.

Manusia mana yang tidak pernah melakukan kesalahan. Kiranya ada manusia yang sentiasa merasakan dirinya betul dan sentiasa betul dan benar, sungguh merugilah dan jauhlah dia dari hidayah ALLAH swt. Na'udzubillah, sama-samalah kita bermohon dan berdoa dari segala kejahatan dan perbuatan-perbuatan yang menjurus kita kepada neraka jahannam.

Sama-samalah kita memberi kemaafan tanpa bersyarat kerana kemaafan bersyarat itu ibarat seseorang yang cuba meluruskan besi yang bengkok. Selurus manapun besi tersebut, kesan bengkokan masih akan kelihatan - "I can forgive you but I cannot forget". Sebaliknya, berilah kemaafan seumpama menukar kain yang kotor kepada kain yang putih bersih - "I can forgive you and let's forget".

Yang bersalah wajarlah memohon maaf, dan berusaha untuk melakukan anjakkan paradigma di dalam kehidupannya - tidak mengulangi kesilapan yang sama, meninggalkan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat bagi hati kita. Kiranya ada sesuatu yang tidak kena, atau menimbulkan ketidakpuasan hati janganlah dipendam-pendam sehingga menggunung tinggi marah dan ketidakpuasan hati itu, lantas memuntahkan lahar berapi yang lebih hebat dari letupan gunung berapi. Bersemukalah dengan sahabat kita itu, kalaupun tidak mahu bersemuka, gunalah perantaraan e-mel, sms dan segala macam social media dan alat komunikasi yang ada :-)

Yang dimohon kemaafan mulialah hidupnya memberi maaf. - walaupun hati terhiris luka, pedihnya dan sakitnya mungkin tidak akan hilang sampai bila-bila, bukalah hati untuk memberi maaf dan melupakannya, agar kehidupan tidak dihantui oleh bayang-bayang orang yang melukakan hati kita. Let's forgive and learn to forget.

Hakikatnya, manusia pasti tidak akan lari dari melakukan kesilapan. Pun begitu, hakikat kemanusiaan kita itu bukanlah alasan untuk kita berlepas diri dari melakukan kesilapan. Sebaliknya, dengan kesilapan tersebut kita berusaha mengubah diri kita kepada satu tahap yang lebih baik, berazam untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama dan mengambil pengajaran di atas segala khilaf yang kita lakukan.

Saya titipkan satu contoh sifat maaf Rasulullah saw untuk kita jadikan iktibar.
Yahudi Hadiah Daging Beracun Kepada Baginda;
Dari Imam Abu Daud dari Jabir bin Abdullah, diriwayatkan bahawa seorang perempuan yahudi telah menghadiahkan Rasulullah saw daging kambing yang sudah dimasak. Hadiah tersebut diterima oleh Rasulullah saw tanpa menyedari daging kambing tersebut telah diracuni. Namun sebaik sahaja baginda mengunyahnya untuk memakan daging tersebut, baginda terus memuntahkannya kerana baginda mengetahui bahawa daging tersebut mengandungi racun. Walaupun perbuatan perempuan yahudi itu membahayakan baginda, tetapi baginda tidaklah menjatuhkan hukuman kepadanya, sebaliknya memberi kemaafan kepadanya.

Sedangkan Rasulullah saw sendiri memafkan orang yang hendak membunuhnya, apatah lagi kita yang jauh lebih rendah martabatnya dari Rasulullah saw, yang belum diketahui nasib kita di sana nanti untuk tidak memafkan manusia yang lain.

Akhiran kalam dari saya,
~Seseorang yang mulia ialah, apabila memberi kemaafan kepada saudaranya yang berbuat kesalahan kepadanya.
Seseorang itu lagi mulia, apabila memberi kemaafan dan meredhai (melupakan kesalahan)  saudaranya.
Sesorang itu tersangatlah mulia jika memberi kemaafan, meredhai saudaranya dan memperbaiki kekurangan yang ada pada dirinya sendiri.~UA

Wallahua'lamumaafilqalbi

No comments: