30 March 2011

Monolog Sebuah Perjalanan...

Gelojak jiwa mula terasa sebermula ditawarkan untuk pergi ke sana. Persoalan demi persoalan bermain-main di jiwa dan hati seorang ‘abid ini. Resah menerjah ruang hati dan gelisah bermain-main di kalbu. 
Perasaan gelisah, resah, khuatir, berdebar dan campuran-campuran rasa wasangka lebih besar dari perasaan untuk menerima cinta seorang ajnabi. Persoalan mampukah ‘abid ini untuk menjejak kaki di bumi Haram semakin menebal dan memenuhi ruangan angkasa minda. Jawapannya hanya ada satu sahaja – ‘abid ini perlu memohon dengan serendah dirinya kepada Yang Maha Pencipta agar ditenangkan hati dari wasangka syaitan yang sentiasa ingin merosakkan dan menjauhkan hamba dari Tuhannya, memohon pengampunan dosa-dosa dan taubat dengan sebenar-benar taubat agar diri ‘abid bersih dan terhindar dari kecelakaan dunia sehingga dapat menjejakkan kaki ke Tanah Haram dengan tenang, dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna dan urusan di sana dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya tanpa sebarang perasaan gundah gulana,resah,wasangka,teringat-ingatkan dunia yang fana’. Doa demi doa di dalam setiap solat dipohon oleh seorang ‘abid ini agar perjalanan ke sana dipermudahkan dan dibuka ruang yang luas untuk melakukan ‘ibadah sebanyak-banyaknya...

No comments: