24 December 2010

Hati-hati di dalam mempraktikkan Konsep 1Malaysia

Salam Ukhuwah...
Dewasa ini banyak sungguh iklan, promosi bergerak dan berita-berita yang mempromosikan 1Malaysia oleh YB-YB kita...di mana-mana, ada sahaja promosi memperkasakan 1Malaysia.
Menurut Bahagian Penerbitan Dasar Negara - "Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri MohdNajib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat.Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara 1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. ‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan".
Pandangan peribadi saya, konsep 1Malaysia itu memang penting di dalam membangkitkan keharmonian di kalangan penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan mempunyai sensitiviti yang berbeza. Elemen-elemen perpaduan bagi mewujudkan sikat hormat-menghormati, saling mempercayai, telus, amanah jujur dan amalan-amalan murni sememangnya disarankan di dalam Islam untuk dipraktikkan sesama Muslim dan juga yang bukan Muslim.

Sikap hormat-menghormati sesama jiran tetangga yang berlainan agama dan bangsa perlu di dalam mencapai kehidupan yang harmoni dan aman damai.

Walaubagaimanapun, di dalam keghairahan mempraktikkan keharmonian hidup, kesucian Islam dan pegangan aqidah kita perlu dipertahankan. Janganlah kerana ghairah dengan 1Malaysia, agama pun hendak disatukan dengan mengadakan Kongsi Raya. Aidil Fitri dan Aidil Adha dan perayaan-perayaan Islam yang lain boleh dirayakan oleh semua bangsa...tetapi, sekiranya orang Islam ingin merayakan perayaan-perayaan agama yang lain, seolah-olah kita sebagai umat Islam mengakui dan membenarkan bahawa ada Tuhan selain Allah SWT. 

Persoalan mengenai merayakan bersama perayaan agama penganut agama yang lain, pernah diajukan di dalam majlis ilmu soal jawab bersama ustaz di Yayasan Ta'lim, TTDI. Menurut Ustaz Yunus, "Merayakan bersama perayaan Hari Krismas, bermakna kita membenarkan konsep trinity yang dianuti oleh penganut agama kristian, merayakan bersama Deepavali bermakna kita membenarkan dan mengakui adanya tuhan cahaya yang dipercayai oleh penganut agama hindu di dalam menentang tuhan kegelapan, dan sebagainya. Tidak salah bagi kita hadir sekiranya dijemput untuk menghadiri jamuan harijadi, jamuan makan jiran, kawan-kawan, saudara mara yang bukan Islam untuk merayakan bersama-sama. Tetapi, sekiranya jemputan tersebut bersempena dengan perayaan keagamaan mereka, seboleh-bolehnya kita menolak jemputan tersebut dengan penuh tertib dan berhemah agar tidak mengguris hari mereka dan dengan alasan yang kuat bahawa ianya bersangkutan dengan aqidah Islamiah kita yang tidak boleh ditolak ansur."

Aqidah Islamiah itu lebih penting dipertahankan. Jangan dek terlalu ghairah mensatukan Malaysia sehingga tanpa sedar kita mensatukan agama yang pelbagai atas nama 1Malaysia.
Yang perlu di 1Malaysia-kan adalah keharmonian, perpaduan, sikap hormat-menghormati, sikap belas kasihan, semangat kejiranan dan banyak lagi...bukannya menyatukan agama dengan merayakannya bersama di bawah naungan dan atas nama 1Malaysia. Banyak lagi cara yang lain di dalam kita membangkitkan keharmonian dan perpaduan dikalangan rakyat yang berbilang bangsa dan agama tanpa mencemarkan ketauhidan dan aqidah Islam kita...Wallahua'lam.