21 September 2007

Tombiruo Terakhir—Ramlee Awang Murshid (RM19.90)

Novel ini merupakan pelengkap kepada trilogy Tombiruo dan Semangat Hutan. Walaupun saya belum lagi membaca trilogy sebelumnya, membaca novel terakhir ini, saya boleh membayangkan apa yang berlaku pada novel-novel sebelumnya walaupun tidak secara keseluruhannya.

Saya ringkaskan apa yang terdapat di dalam buku ini:

Ketrampilan dan imej baru Ejim menggugat hati Wan Suraya, sekali gus mencetuskan rasa cemburu Dr. Haslia. Ejim yang telah berubah dari segi fizikal yang menyerupai kembarnya Amiruddin bertukar nama menjadi Amaruddin. Saling tak tumpah seperti kembarnya yang telah meninggal dunia. Munculnya Ejim di KL yang menyerupai kembarnya Amiruddin menggugat rancangan perkahwinan Wan Suraya yang masih dibayangi Amiruddin dalam dirinya.

Wan Suraya yang telah bertunang dengan Tan Sri Nasir tiba-tiba menangguhkan tarikh perkahwinan mereka. Apabila perkara sebenar terbongkar yang menyebabkan penundaan perkahwinan mereka, Tan Sri Nasir yang merupakan tunggak peneraju utama pembedahan wajah Ejim mula memusuhi lelaki Tombiruo ini. Dia tidak mahu kehadiran Ejim mengganggu gugat cinta sucinya terhadap Wan Suraya.

Bagi Ejim, kehidupan di KL rupa-rupanya tidak menjanjikan kebahagiaan. Ejim hidup di dalam tahanan, penghinaan, dugaan dan cabaran. Hasrat hatinya ingin kembali ke tempat asalnya, di Hutan Keningau tidak kesampaian sehinggalah setelah 10 tahun berada di tanah semenanjung, Ejim berjaya mencapai hasrat dan impiannya untuk kembali ke Hutan Keningau tempat tumpah darahnya. Sekembalinya ke Hutan Keningau, dia dapati hutan tersebut bergolak dengan kehadiran dan kemunculan seorang Tombiruo.

Siapakah isteri EJim? Mampukah dia menjiwai semula semangat Hutan Keningau setelah 10 tahun berlalu? Siapakan Tombiruo Terakhir yang mengaku sebagai raja rimba di daerah Keningau tersebut? Bagi saya, novel ini memang menarik untuk dibaca. Penuh dengan suspens dan pergolakan yang sarat dengan cinta agung manusia dan Tuhan, kasih sayang dan kesetiaan.

No comments: